Wednesday, 27 January 2016

TERHARU.

TEKS: Faizah Yusoff
FOTO: Faizah Yusoff
#Entri 73

Terasa macam nak berkongsi cerita cinta pula bila letak tajuk terharu. Ya, kisah cinta saya pastinya dengan kelas-kelas tuisyen saya yang memang ada saja cerita pelajar-pelajar kesayangan saya.

Beberapa malam lepas, pelajar saya ada tanya, ''teacher nak tak kalau saya buatkan hadiah untuk teacher? saya buat sendiri tau." Saya senyum sambil anggukkan kepala. Malas nak jawab panjang nanti makin panjang cerita dia sebab pelajar yang sorang ni memang 'clever boy'. Ada saja ayat pancing dia nak bagi saya kurangkan latihan matematik dia yang memang saya suruh buat banyak-banyak. Hehe.

Dan malam seterusnya, tengok lah apa yang saya dapat....jeng jeng jeng....
Inilah hadiah key-chain buatan sendiri pelajar saya. Hehe


Dan mula-mula saya baca, TO FAIZAH... Sekali pelajar saya sebut dia tulis I love faizah sebenarnya. Tiba-tiba rasa terharu, sebabnya dia adalah pelajar saya yang memang nakal. Sangat bencikan matematik dan memang aksi pujuk memujuk memang tak boleh pakai langsung kalau kelas dia. Pernah saya ugut nak letak dia kat luar rumah sebab saya tahu dia agak penakut. Sebabnya? Nak bagi syaitan pemalas dia keluar dari badan. Hehehe. Scary kan tutor macam saya. Ya lah masa tu masih awal-awal tuisyen, memang saya tak mahir bab pujuk memujuk. Akhirnya saya ugut kalau tak siap saya letak luar rumah. Sekian. Memang menjadi jugak rupanya. Tapi tu memang solusi terakhir lah dan kena bagitahu parent siap-siap kalau nak buat ala-ala 'hulk' ya.

Dan tahun ini dia mula kenal 'mudah matematik'. Setiap hari mintak nak buat latihan matematik. Alhamdulillah. Semoga ini pemula yang baik sebelum dia menduduki UPSR tahun depan. Doa teacher sentiasa mengiringimu pelajar. Saya ala-ala 'sweety' ni bukan sebab dapat hadiah tau. Tapi sebab bangga dia sudah berubah 100%. Terasa macam nak 'screenshot' mesej yang saya dapat daripada mamanya. Katanya, 100% berubah. Sampai cikgu di sekolah naik hairan. Kalau dulu nakalnya hanya Tuhan yang tahu. Itulah kuasa yang tak mampu kita sangkal. Saya cuma perantara untuk mengubah sedikit sikap anak ini. Alhamdulillah. Semuanya dengan izin Allah S.W.T.

Monday, 25 January 2016

MATEMATIK OH MATEMATIK

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 72



Ini pelajar saya. Selain mengajar adik dan anak-anak saudara saya, dia memang akan ada bersama. Sejak tahun lepas dia menjadi pelajar tetap saya, hampir setiap malam. Nakal tapi rajin belajar. Alhamdulillah. Subjek utama yang memang dia agak 'benci' ialah tak lain tak bukan MATEMATIK! Hujung tahun lepas pun masih di tahap lemah. Saya cukup bimbang dengan pencapaiannya. Kadang-kadang rasa gagal bagi dia faham dengan baik. Mungkin dia lebih faham semasa bersama saya bila di kelas dia lupa-lupa. 
Tapi saya perhatikan, cara jawab sudah ada, teknik sudah betul tapi kelemahan utama ialah 
'nak siap jawab cepat'.

Saya cukup yakin, mesti ramai guru matematik di sekolah ataupun yang menjadi guru tuisyen hari ini bersetuju dengan saya. 
Pelajar hari ini memang kebanyakannya 
NAK JAWAB SOALAN CEPAT-CEPAT.
Dan kesannya, mereka akan baca soalan sambil lewa dan tidak cermat semasa menyalin soalan dan membuat jalan kira.
Tak kiralah pelajar sekolah rendah mahupun pelajar sekolah menengah.
Isu yang timbul ialah : cepat siap, cepat jawab.

Begitu juga bila sesi pengajaran, bila tutor mengajar, pelajar yang faham akan cepat merasakan diri memang sudah cukup faham. Jadi dia mulai tak mahu buat latihan tambahan. Itulah kesalahan terbesar pelajar bila melibatkan subjek pengiraan. Latihan tambahan sangat sangat sangat diperlukan.

Cara mengatasinya? 
Bagi pelajar sekolah rendah, ibu atau ayah atau kakak atau abang harus memainkan peranan. Paksa dia buat latihan tambahan minimum 5 soalan sehari.
Bagi sekolah menengah pula, ibu atau ayah atau kakak atau abang boleh menyuruh tapi kesedaran diri sendiri juga yang paling penting.
Ambil masa 10 minit cuma sehari untuk buat latihan walaupun hanya soalan mudah tapi pastikan soalan di tahap anda. 10 soalan minimum. Mungkin sementara menanti ayah datang atau smentara menunggu bas sekolah untuk pulang. 

Ramai pelajar saya yang mengatakan mereka benci matematik.
'Cikgu, saya tak suka matematik!'
'Cikgu, matematik tak best langsung!'

Saya katakan kelas batal semalam sebab memang saya kurang sihat beberapa hari ini. Batuk dan selsema. Tapi datang juga semata-mata nak berikan saya ini. Hmm.. Dan siap minta soalan matematik banyak-banyak sebab katanya apa yang pernah saya ajar, cikgu di sekolah baru ajar. Alhamdulillah.
Saya sentiasa doakan kejayaan pelajar-pelajar saya. Walau di tahap mana pun mereka bermula, semangat belajar yang mereka tunjukkan memang buatkan hati saya makin kuat untuk membantu mereka.
Gudluck students!



Sunday, 24 January 2016

USTAZ MUSTAFA AL-JIASI

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 71


Perginya seorang murabbi. Alfatihah. 
Hari ini 24 Januari 2016, seorang murabbi ummah gugur menemui Sang Pencipta.
Innalillahiwainnailaihiroji'un...

Ustaz Mustafa Aljiasi ialah pengarang kitab Mengenal Diri dan Wali Allah tarikat Ahmadiah telah kembali ke rahmatullah pada jam. 11.37 mlm tadi di Kota Bharu Kelantan. Alfatihah.

Kenapa saya berminat menulis tentang beliau? Kerana beliau ialah seorang guru. Penyebar ilmu dan setiap yang menyebarkan ilmu walau satu ayat itulah yang dinamakan 'guru'.

Ayah saya pagi-pagi lagi balik awal dari 'mengeteh'. Katanya ada kematian. Seorang ulamak tarekat. Penulis buku tarekat .


Kalau tak silap saya ini buku versi rumi. Rupanya setiap pelosok negeri mengenali beliau. Hebatnya aura seorang 'guru'. Kata abang saya pula, berita kematian guru ini diperoleh dari seorang sahabat di Johor. Masya'Allah, sungguh ilmu ini satu perkara ajaib yang Allah berikan kepada manusia. 

Ayah saya pernah bercerita tentang beliau, kata ayah Ustaz Mustafa ialah anak murid kepada Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal. Seorang ulamak tarekat yang memang ayah suka ceritakan kisah hidup beliau. Ustaz Mustafa semasa hidupnya pernah disangka 'gila' dan dihantar ke hospital kerana penduduk setempat menyangkakan beliau 'tidak sihat minda'. 

Sedikit perkongsian di sini tentang ahli ilmuan islam yang mendalami ilmu tauhid, sebenarnya apa yang mereka nampak, apa yang mereka bicarakan sepenuhnya berbeza dengan pandangan dan bicara kita sebagai orang awam. Kedudukan mereka dan kebergantungan mereka kepada Yang Esa memang tak dapat kita lihat dengan mata kasar. Ayah suka ceritakan kehebatan ahli sufi pada zaman dahulu. Antaranya Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal dan Tok Kenali. Kisah mereka memang sesuatu yang tak dapat kita fikirkan secara logik. Malah ada yang kata mereka gila. Sesungguhnya hanya Allah yang lebih tahu. 
Alfatihah.

Wednesday, 20 January 2016

FAHAMKAN ASAS MATEMATIK

TEKS & FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 70

Sudah lama saya tak berkongsi tentang kaedah dan teknik mengajar 'hometuition'. Kebelakangan ini kelas agak padat dan kekangan internet yang entah kenapa kadang-kadang ada kadang-kadang ghaib tak dapat dikesan. Tapi tak mengapa saya akan cuba yang terbaik untuk berkongsi di laman ini. Buat rujukan suri yang ingin menjana pendapatan sampingan sebagai cikgu tuisyen atau sekadar ibu yang ingin mengajar sendiri anak tersayang.

Untuk mata pelajaran matematik, isu utama pelajar ialah kurang latihan berterusan dan tidak menguasai dengan baik konsep yang dipelajari.
Oleh itu, saya mulai sesi pembelajaran saya bersama pelajar dengan memperkemas konsep tambah, tolak, bundar, bahagi dan darab. Ini adalah asas matematik sekolah rendah yang paling penting untuk pelajar kuasai.

Di bawah antara contoh soalan yang memang saya wajibkan pelajar saya buat setiap kali kelas.




Pelajar saya selalu mengeluh, katanya mudah sangat. Saya tetap akan suruh buat dan pastikan anda cek jawapan itu betul atau salah. Tandakan besar-besar kesalahan mereka. Dan jelaskan pada mereka kenapa harus dibuat berulang-ulang latihan sebegini. Walaupun nampak mudah tapi isu bagi soalan mudah ialah kecuaian. Kita cuba untuk atasi kecuaian dengan menggunakan kaedah 'biasa buat'.
Tekankan pada latihan menambah menolak mendarab dan membahagi. 
Berikan lebih banyak soalan berbentuk permasalahan atau soalan cerita.
Kenapa? 
Kerana sekarang adalah musim KBAT. 
Ini adalah sebagai persediaan kepada KBAT.
*KBAT= Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.

Ini adalah untuk rujukan cikgu tuisyen yang mengajar matematik sekolah rendah ya. Kelak saya akan kongsikan lagi cara mempelbagai cara kira. Kita memang seboleh-bolehnya tidak statik pada satu jalan kira sahaja. Jom jadi cikgu tuisyen serba boleh serba tahu. Semoga terus sukses.

KEMPEN CINTA RASULULLAH

TEKS & FOTO :Faizah Yusoff
#Entri 69



Assalamualaikum warga Bangi dan Kajang, anda dijemput untuk memeriahkan Sambutan Maulidurrasul bertempat di SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi pada 21 Januari 2016 iaitu esok ya...
Boleh dengar bicara orang bijak ni sekejap pun terasa lain dah ya... PU Amin ni adalah bekas Pencetus Ummah yang memang ada aura tersendiri sebagai seorang penceramah muda. 
Semoga bermanfaat.


Monday, 11 January 2016

SAYA YANG DAHULU.

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 68
Catatan hari ini. Sesi sekolah bermula.
Jadual saya turut berubah sudah...
Hari ini pukul 4 petang kelas di rumah pelajar. Dan bersambung di sebelah malam pula. Alhamdulillah, sungguh rezeki dari-Mu tak pernah putus.

Dalam hati, saya pasangkan niat untuk teruskan usaha membantu pelajar yang lemah dalam matematik, subjek yang pernah saya benci  satu ketika dulu. 
Bila teringat zaman sekolah rendah, saya cukup tak suka matematik. Cikgu saya masa Darjah 6 namanya Cikgu Omar, apa khabar beliau sekarang agaknya?
Cikgu Omar memang jenis lucu, suka berleter dalam kelas tapi sungguh kami semua sayangkan beliau. Sangat baik dan lucu sekali.
Saya dapat 4A 1B dalam UPSR.
Sudah tentu lah B Matematik. 
Saya pun tak tahu di mana silap saya, semasa latihan dalam kelas, memang saya boleh buat sebaiknya, siap tukang ajar kawan-kawan lain pula. Tapi bila peperiksaan mesti tak dapat A, B sahaja tahap saya semasa sekolah rendah.

Lain isu pula bila melangkah ke sekolah menengah. Saya sudah agak boleh menerima subjek matematik ini. Tapi, saya agak malas bila kena buat latihan.
Kisahnya saya bersekolah di bandar Kota Bharu yang sememangnya jauh dari rumah saya. Dan, bila ayah usulkan mahu letak saya di asrama, saya taknak, maka terpaksalah berulang-alik ke sekolah setiap hari dengan bas. Seawal 6.30 pagi saya sudah mula kayuh basikal 'racing' hadiah daripada ayah ke tepi jalan utama sebab rumah saya agak terkedalam. Melalui jalan kampung yang sunyi, melalui padang yang memang tiada rumah orang, melalui tanah kubur yang sunyi. Tapi saya tabahkan hati. Dan saya memang tak pernah rasa takut walau hanya bertemankan lampu suluh kecil hadiah daripada ibu. Hanya doa dari ibu dan ayah peneman saya ketika itu.

Bila diingatkan kembali, masih terbau suasana pagi hampir 4 tahun yang saya lalui. Mungkin di situ letaknya hikmah saya mulai menerima semua pelajaran di sekolah dengan baik sekali. Walaaupun pada asalnya saya cuma pelajar biasa-biasa yang memang tak pernah memegang rekod pelajar cemerlang.

Keberkatan dalam pelajaran dan rezeki adalah sesuatu yang memang kita tak dapat bayangkan. Semoga kalian terus istiqamah dalam haluan yang kalian pilih dalam hidup.

Kenapa saya berkongsi cerita ini? 
Sekadar renungan. Lain orang lain kisahnya. Saya punyai sedikit kesusahan tapi Allah hadirkan 1001 kejayaan dalam pelajaran semenjak saya melangkah ke sekolah menengah. Sungguh, Dia tak kan pernah meninggalkan kita sendirian.
Maka, yakinlah dengan rezeki yang telah ditetapkan. Janji, kita berusaha, bukan sekadar mengharap dan berdoa semata.

Saturday, 9 January 2016

TUISYEN RM10

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 67




















Semalam adalah Jumaat kedua dalam Tahun 2016.
Saya sudah mulakan Tuisyen RM10 saya, kalian bagaimana pula?
Sebenarnya, ini satu kaedah tuisyen yang mudah untuk dipraktikkan. 
Sekali datang, sekali bayar. Kalau tak datang, tak payah bayar.
Sebabnya, di zaman yang serba canggih manggih ni, nilai RM10 seperti RM1. kalau dahulu, nak minta RM10 dengan mak, mesti mak bagi alasan ''cuba minta pada ayah''. Bagaikan RM100 bila si anak mintakan RM10.
Sekarang, buka saja kelas tuisyen RM10 tapi pastikan ada yang pelajar peroleh dan berbaloi dengan harga yang dibayar.
RM10 untuk satu sesi tuisyen di rumah anda? Tanpa ke mana-mana. Sambil tunggu waktu Asar pun boleh dibuat kelas sekejap. 
Mudah dan praktikal.

Saya sudah mulakan kelas tuisyen RM10 sejak awal tahun lepas. Saya macam tak sampai hati juga walaupun ada yang kata sudah murah sangat. Akhirnya, dek kerana terasa tersekat di hati, saya usahakan bahan mengajar dengan membekalkan buku dan nota mudah versi saya sendiri buat pelajar tersayang.
Mulai tahun ini saya sudah sediakan modul mingguan buat pelajar.

Adakah saya terlalu bermurah hati atau terlalu berkira?
Mungkin itu yang terlintas di hati kalian.
Saya cuma letakkan diri saya sebagai pelajar, adakah saya akan bayar upah seorang tutor yang memang akan ajar saya mula dari awal sampai saya faham dengan RM10?
Saya letakkan pula diri saya sebagai seorang ibu, adakah saya akan bayar upah seorang tutor yang akan memberi ilmu dan memahamkan anak saya dengan RM10?
Jawapannya, ya!

Tapi kenapa mesti bayar? Ilmu kan dari Allah, sekadar untuk kongsi ilmu je pun?
Sahabat, apa akan jadi kalau kita berikan khidmat secara percuma agaknya?
Sebetulnya, saya pernah cuba buat 'kelas percuma' tanpa apa-apa bayaran. Saya memang sudah bereksperimentasi hampir 100% dalam bidang hometuition ini.
Dan apa yang terjadi?
Nah! Pelajar hanya datang seminggu sebelum peperiksaan!
Biar benar?
Jawapan saya sejujurnya, ya, memang benar.
Secara logiknya, manusia memang tetap namanya manusia. Kita akan kurang menghargai atau bersyukur dengan sesuatu perkara yang diperoleh secara percuma.
Kita merasakan 'alah, kalau tak pergi pun, bukan rugi pun duit aku'.
Contoh terdekat? Kita mendapat udara secara percuma.
Nah, adakah setiap hari kita bersyukur?
Maka, ucapkanlah Alhamdulillah sekiranya kalian terbaca entri ini.
Selamat Mencuba!

P/S : Didiklah mereka dengan ikhlas. Love you all my students.



Thursday, 7 January 2016

KELAS ASAS MATEMATIK SPM 2016

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 66

Dalam bulan lepas, saya mula dihubungi oleh pelajar-pelajar yang bakal menduduki SPM tahun ini. Khabarnya, SPM tahun ini agak mencabar mungkin kerana wujudnya soalan-soalan KBAT atau jenis soalan yang memerlukan kemahiran berfikir yang agak tinggi. Oleh sebab itu, pelajar-pelajar ini sudah tidak senang duduk. Seperti biasa, mereka hubungi saya untuk kelas tuisyen individu Matematik.

Alhamdulillah, kertas soalan untuk Kelas Asas sudah siap untuk minggu pertama di bulan Januari 2016.


Saya akan mulakan dengan tajuk-tajuk dari Tingkatan 1-3 yang akan disoal juga dalam soalan SPM, dan tumpuan saya ialah pelajar mampu kemaskan pemahaman konsep dan boleh menjawab 'pattern' soalan SPM. Sebetulnya, soalan-soalan yang bakal ditanya mungkin dah boleh diagak tapi memerlukan latihan berpanjangan. Berbeza dengan pelajar hari ini yang gemar 'simpan' apa yang mereka faham. Bila sudah faham di sekolah, mereka mula senang hati dan beranggapan 'keluarlah soalan macam mana pun, aku mesti boleh jawab'. Satu lagi sikap pelajar ialah 'tangguh-tangguh buat latihan'. Sedangkan sekarang sudah bulan Januari dan mungkin dalam bulan Mac, mereka sudah mulai menduduki Ujian Bulanan atau Peperiksaan Awal Tahun.

Buat pelajar saya, memang saya bagitahu siap-siap, usaha cikgu hanya dalam 20-30% sahaja. Selebihnya adalah daya usaha awak sendiri. Tapi ramai yang meletakkan 100% usaha daripada tutor, nak-nak kalau memang dah guna khidmat tuisyen individu. Ibubapa memang letakkan harapan yang tinggi.

Matematik memang menjadi keutamaan saya. Ada juga saya mengajar untuk subjek Matematik Tambahan dan Kimia. Tapi dua subjek tersebut masih diperingkat kena baikpulih sebab tumpuan utama saya ialah Matematik. Lagipun, berdasarkan pemerhatian saya ramai pelajar lemah Matematik, bahkan ada di sekolah-sekolah tertentu, hanya beberapa orang saja yang lulus. Jom sama-sama kita bantu pelajar kita. Saya tahu ramai guru hebat di luar sana yang tidak memilih profesion guru sebagai pekerjaan tapi lebih gemar bergerak atau bekerja sendiri. Semoga kalian terus sukses dalam apa jua bidang.

Sunday, 3 January 2016

MAAHAD DI HATI...

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 65

Cuti sekolah sudah berakhir di Kelantan. Hari ini saya menemani anak saudara yang pertama kali ke pasti. Pasti Al-Hidayah. Juga tempat saya mula-mula mengenal huruf dan belajar berdoa. Rindu betul zaman itu. Nak makan baca doa, siap makan baca doa, nak balik cikgu akan bekalkan satu doa setiap seorang, kena ingat dan tiap-tiap hari cikgu akan panggil secara rawak siapa yang dah ingat doa, boleh ke depan dan baca kuat-kuat. Alangkah bangganya hati bila kita seorang saja yang ingat, rakan-rakan lain masih termanggu-manggu sebab asyik lupa hafal. Semuanya tersimpan kemas dalam lipatan sejarah hidup saya. 

Hari ini saya sudah mula siapkan tugasan untuk kelas Tuisyen Asas Matematik saya. Penat memang agak penat buat soalan, nak bagi pelajar faham dengan konsep dan tajuk apa yang memang kerap kali pelajar buat kesalahan. Nanti bila dah siapkan modul tersebut saya tunjukkan kat sini Insya'Allah. Teristimewa buat anak pelajar saya saja setakat ini. Saya memang teruskan niat untuk membuka kelas harian di rumah saya saja sekarang ini. Alhamdulillah, pelajar tak putus-putus datang. Cuma sedikit isu bila setiap pelajar mahukan kelas perseorangan. Insya'Allah saya akan cuba ikhtiarkan sedaya upaya saya.


Saya sebenarnya ingin menyambung cerita menjadi sebahagian daripada pelajar Maahad, sambungan kisah keputusan peperiksaan sebelum ini. Sekadar perkongsian dan luahan kerinduan teramat untuk kembali ke zaman itu. Dulu pada zaman saya kami terpaksa rela menduduki peperiksaan di setiap tingkatan. 

Sebelum melangkah ke Tingkatan 1, kami diwajibkan untuk berada di Tingkatan Peralihan. Peperiksaan besar semasa peralihan ialah UKSA. saya pun dah lupa UKSA tu apa nama penuhnya. Peperiksaan ni kami duduki untuk melayakkan lompat ke Tingkatan 1 tanpa perlu habiskan Tingkatan Peralihan selama setahun.

Seterusnya, Tingkatan 1 memang tiada peperiksaan besar, cuma ada peperiksaan akhir tahun saja. Semasa di Tingkatan 2, ada PMRU iaitu Peperiksaan Menengah Rendah Ugama. Seterusnya Tingkatan 3 PMR macam sekolah menengah biasa. Tingkatan 4 pula, SMU ataupun Sijil Menengah Ugama. Sijil Menengah Ugama ini boleh menggantikan sijil kursus kahwin di Kelantan. Sebab tu lah dulu kami suka buat lawak-lawak tak cerdik bersama kawan-kawan lepas keluar keputusan SMU, bolehlah kahwin ramai-ramai.
Tingkatan 5 pula macam biasa SPM cuma lebih sedikit la matapelajaran. Tingkatan 6 Bawah, ada peperiksaan STAM manakala Tingkatan 6 Atas pula STPM. 

Memang agak banyak peluang lah kiranya sebab peperiksaan memang tiap-tiap tahun. Sepanjang tahun memang pegang nota je kerja kami. Di sini kami dididik dengan bawa buku ke mana sahaja. Bahkan kadang-kadang ke tandas pun kami TERbawa nota kecil. Sungguh melekat budaya 'bawa buku' di sekolah dulu.

Bila datang musim peperiksaan atau ujian bulanan, kami akan bertebaran duduk di bawah pokok, di padang, di pondok bahkan di dalam longkang pun jadi 'port' menghafal. Sungguh meriah. Bising macam lebah sebab semua pakat hafal benda yang sama. Kalau ada yang jenis rileks pun pasti tergugat punya sebab semua kawan-kawan bawa buku dan menghafal. Tapi di sini kami bersaing secara sihat. Sungguh saya rindukan suasana Maahad yang tenang. Walau di tengah bandar utama, tapi suasana di Maahad bagaikan berada di tengah sawah yang tenang dan lapang. 

Bila datang musim peperiksaan kami akan sama-sama mengadakan solat hajat perdana. Pada setiap hari Rabu, corong radio maahad akan berkumandang bacaan Yaasin. Tiada lagu negaraku yang kami dendangkan setiap hari. Cuma nasyidussobah sebagai doa yang ditambah rentak. Sungguh saya rindu. Bukan mahu menunjuk atau berbangga diri jauh sekali, saya cuma ingin lakarkan secebis ingatan saya tentang sebuah Maahad yang mengajar saya ilmu duniawi dan ukhrawi malah semakin saya belajar sampai ke usia ini, semakin banyak yang saya tak tahu. Luasnya ilmu-Mu ya Allah. 

Kenapa saya ceritakan di sini? Kadang-kadang terasa sedih melihatkan akhlak remaja masa kini. Lalu, akhbar yang memang suka mencari cerita panas akan mula besar-besarkan isu 'Pelajar Sekola Agama ditangkap' atau apa-apa saja yang boleh menjatuhkan imej 'Sekolah Agama'. Sedangkan ditulis oleh penulis yang beragama Islam. Kalau sebegini yang kami belajar di sekolah, adakah salah sekolah juga jika kami tidak terus mengamalkan apa yang kami belajar? Sudah tentu salah sendiri.

Saya sama sekali bukanlah orang yang meneruskan imej tudung labuh di sekolah sampai sekarang tapi sekurang-kurangnya saya masih cuba menjaga apa yang sepatutnya. Alhamdulillah. Mungkin entri ini boleh memberi bayangan apa yang boleh kita kongsikan bersama pelajar masing-masing. Kadang-kadang, cubalah kongsi cerita zaman sekolah sahabat semua supaya boleh dijadikan panduan untuk anak pelajar kita yang memang sering dahagakan motivasi. Insya'Allah walau sekali sahaja bertemu seminggu, mungkin sesi pelajaran bersama anda menjadi satu sesi yang ditunggu-tunggu oleh pelajar! Gudluck!

Friday, 1 January 2016

KERJA SENDIRI vs KERJA MAKAN GAJI

TEKS : Faizah Yusoff

Hari ini, sampai naik 'hang' telefon sebab mesej-mesej di 'group whatsapp' yang bertubi-tubi. Semua orang tak lupa saling mengucapkan selamat tahun baru kepada rakan-rakan yang lain.
Semalam, seorang rakan baik saya tiba-tiba menghantar mesej di 'group whatsapp' geng maahadian dahulu. Beliau baru memulakan tugas sebagai seorang doktor di Hospital Besar Kota Bharu (HPRZ).

Katanya, 
''aku sedih sebab tak rasa apa yang aku buat ni adalah satu perkara yang aku minat atau tak''.

Kami yang lain mulai berikan beliau kata-kata semangat supaya terus bertahan. Mana-mana kerja ada tekanan dan bebanan tugas masing-masing. Dan kita tak akan diuji dengan bemda yang tak mampu kita tahan.

Dan sebenarnya, saya pernah berada di tahap beliau sekarang. Cuma saya merasakan lebih awal perasaan itu. Pernah satu ketika saya rasakan, sebenarnya apa yang saya mahukan dalam hidup ini?
Saya tahu ramai graduan yang masih menganggur di luar sana, yang masih tercari-cari apa yang patut dibuat supaya boleh jana pendapatan sendiri. Kalau bermodal alhamdulillah. Boleh saja mulakan bisnes apa pun. Kalau tiada modal atau modal sangat kecil? 
Alkisahnya, mula terjebak dengan pelbagai skim cari duit yang entah benar entah tipu.
Kalau ada yang menjadi pembaca blog saya ini, kalau awak ada sedikit ilmu, bolehlah jadikan cikgu tuisyen sebagai satu kerjaya. Kalau pergi 'apply' mengajar di pusat tuisyen tak lepas, 
awak mengajar saja di rumah, mulakan dengan jiran terdekat, atau boleh saja mulakan dengan orang jauh dengan mengiklankan di media sosial atau mudah.my.
Saya tahu kadang-kadang kita lebih senang berurusan dengan orang jauh berbanding orang depan rumah.

Beberapa hari lepas, saya berjumpa dengan seorang sahabat lama. Katanya, sekarang dia mengajar di Terengganu, suaminya pula mengajar di Sabah, manakala si kecil terpaksa di tinggalkan di Kelantan bersama keluarganya. 
Nak mintak pindah tapi sangat susah katanya.
''Untung Faizah pandai kerja sendiri''
Saya katakan :
Sebelum saya boleh berdiri macam hari ini, bukan semudah yang awak tengok dan dengar.

Sungguh, kadang-kadang kita menyangka, untung menjadi A dah lah kaya, kerja best pula. Tapi bila jumpa si B kita tetap kata, kenapa lah hidup aku tidak seperti B, walaupun miskin tapi bijak belajar. Realitinya, kita memang tak akan pernah berasa cukup.

Sebelum ini, saya pernah jatuh, tak mampu angkat muka, sedih sebab tak tahu apa yang saya mahu buat. Saya rasa saya gagal. Akhirnya saya terjumpa minat kecil yang tersimpan di sudut hati. 
Konsep 'buat orang faham' saya besarkan kepada idea hometutor.
Alhamdulillah setakat ini saya mampu menjana wang di atas bakat sendiri. Bakat 'membuat orang faham'.

Tahun 2016, kelas saya memang tiada cuti. Ada pelajar bercuti tapi ada lagi yang mahu mulakan sesi. Ada pelajar habis SPM tapi ada pula yang baru nak struggle untuk SPM. Alhamdulillah, kata kuncinya, yakin bahawa rezeki adalah daripadaNya.

Petang ini semasa sedang menaip, dua orang lagi pelajar mendaftar. Sesi bermula hari Khamis ini insya'Allah. 
Semoga ada yang terbaca entri saya ini dapat menilai kembali apa yang anda minati dan jadikan ia sebagai satu punca rezeki.
Good Luck!