Monday, 26 September 2016

Tutor mesti cikgu sekolah ke?

Teks : Faizah Yusoff
Foto : Tiada
Entri 86

Assalamualaikum wbt.
Minggu lepas saya bertemu seorang klien (ibu kepada seorang pelajar). Dia menghubungi saya untuk bertanyakan tentang tuisyen individu. Sebenarnya isu ini memang akan ditanyakan oleh klien sama ada anda sebagai tutor mampu mengajar dengan baik atau tak. Terutamanya terang-terangan anda bukanlah seorang guru sekolah. Bahkan mungkin ada yang tak pernah langsung ada pengalaman. 
Jangan cepat melenting jika berhadapan dengan soalan ini.
Saya tahu, ada orang merasakan kredibiliti tergugat dan macam 'down' sedikit semangat bila ada yang tanya soalan ni.

Jawapan saya mudah sahaja :
Puan, ada beza cikgu sekolah yang mengajar atau tutor yang memang minat mengajar yang kami hantar. 
Pertama, cikgu sekolah kebanyakannya lebih fokus pada peperiksaan dan ajar ikut skema jawapan yang dikehendaki pemeriksa. Ini sangat bagus.
Berbanding tutor yang mengajar yang memang minat mendalam untuk mengajar. Dia lebih fokus kepada teknik mudah seperti apa yang pernah dia buat semasa dia belajar dahulu. Dan teknik inilah yang biasanya pelajar akan ingat sampai bila-bila.
Kami memilih tutor yang memang kami yakin mampu menngajar dengan baik. Kerana jiwa pendidik ini bukan semua guru ada. 

Saya bukanlah mengatakan cikgu semuanya skema atau ikut buku semata, saya cuma yakin jiwa pendidik bukanlah semua orang ada. 
Semasa di sekolah, ada cikgu yang sangat kita sayang dan hormat tapi ada pula cikgu yang ada isu tapi kita tetap hormat sebagai seorang guru.
Alhamdulillah, akhirnya dia beri saya peluang mengahantar tutor saya untuk mengajar subjek Biologi dan Kimia anaknya.

Buat tutor yang baru berjinak dalam bidang tuisyen individu, saya ucapkan selamat datang ke dunia pendidik. Jangan cepat 'down' kalau berjumpa dengan soalan-soalan daripada klien anda. Yakinlah dengan diri sendiri dan ikhlaskan hati mencurahkan pengalaman dan ilmu kepada adik-adik pelajar. Selamat maju jaya!

Monday, 22 August 2016

CARA TANGANI STRESS

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
Entri 85

Setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai situasi yang seakan menekan dan tiada jalan penyelesaian.
Minda positif ada mengatakan, tekanan tu bukan apa-apa, sekadar datang menguji kekuatan hati. Hadapi dengan redha.
Tapi mampukah kita meletakkan minda positif di hadapan setiap hari?
Walaupun jauh di sudut hati kita sedar bahawa hidup tanpa ujian adalah tiada erti.


Macam mana caranya nak menangani stress? Penerimaan seseorang individu terhadap 'stress' ni sebenarnya tak sama, Ada orang bergaduh dengan rakan sekerja pun satu tekanan. Dan ada orang, kucing jiran masuk rumah pun satu benda yang menekan. Ia bergantung kepada kita untuk menghadapinya.

Baiklah di sini saya kongsikan beberapa cara mudah nak rasionalkan balik emosi dan perasaan kita bila kita stress.

1. Ambil pendekatan untuk duduk sekejap dan tarik nafas dalam-dalam. Istighfar dalam hati buat yang muslim.

2. Tengok cermin. Muka stress memang tak cantik/hensem. Pandang wajah sendiri lama-lama.

3. Tidur sejenak. Tidur merupakan terapi terbaik setakat ini selain makan kerana makan bila stress akan menyebabkan kita makan banyak.

4. Baca komik atau majalah atau buku-buku yang lebih bersifat ringan atau lucu. Bukan bahan bacaan yang berat dan terlebih ilmiah.

5. Berbual-bual dengan rakan-rakan atau keluarga. Kalau sedang berseorangan, bolehlah hubungi atau mesej rakan-rakan. Cara terbaik, join 'whatsapp group' member-member sekolah lama.

6. Merenung langit biru atau pantai. Yang ini yang saya selalu buat. Warna biru memang memberi satu aura ketenangan. Maha Bijaksana Allah.

7. Buat yang masih ada ibu atau ayah, peluklah ibu atau ayah anda. Memang boleh hilangkan stress. 

Semuanya bergantung kepada diri sendiri, kalau tengok kambing meliuntas pun anda sudah stress bagaikan taufan melanda, tolong reset minda. Allah tak akan menguji melampaui batasan minda hambaNya. 
Selamat Mencuba!

Wednesday, 27 July 2016

Salam Aidilfitri.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
Entri 84


Assalamualaikum wbt. Belum terlewat rasanya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon maafkan segala yang secara sengaja atau tak sengaja menyentuh sensitiviti sahabat-sahabat blogger pernah singgah di laman blog saya ini. 
Hampir 3 bulan saya menyepikan diri dari terus menulis dan menulis. Bulan Mei sebelum melangkah ke bulan Ramadhan, kami dari Alwaqiah Group telah membuka satu cawangan kecil di Tawang, Bachok. Alhamdulillah, walaupun sekejap cuma kami merancang, semuanya berjalan lancar. Syukur ke hadrat Allah SWT.
Jadual harian kini sungguh padat. Tapi saya masih mengajar kelas tuisyen seperti biasa. Walaupun masa agak terhad untuk membuat persediaan, jadual kelas masih berjalan seperti biasa. Masih ada ibu bapa yang nak menghantar anak ke rumah saya untuk kelas latihan matematik pada waktu malam. Setelah saya buka pusat pembelajaran berdekatan rumah, saya pindahkan mereka semua ke sana. Alhamdulillah.
Cuma, untuk ke rumah-rumah pelajar saya terpaksa berhenti mengajar dari rumah ke rumah memandangkan jadual kerja yang memang padat. Yakin dengan rezeki yang telah ditetapkan. Insya'allah.





Monday, 16 May 2016

SELAMAT HARI GURU 2016

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
Entri 83


Siapakah guru?
Guru dalam Bahasa Arab ialah al-'alim (jamak atau plural: 'ulamak) atau Mu'allim, yang bererti orang yang mengetahui.
Dalam Al-Qur'an, istilah yang menunjuk pada pengertian guru atau pendidik ialah al-'alim atau mu'allim. Kata al-'alim diungkap dalam bentuk jamak, iaitu al-'aalimun.




Thursday, 12 May 2016

PROGRAM 'EASY ENGLISH' 20 MEI 2016

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
Entri 82

Assalamualaikum wbt.
Minggu depan pada hari Jumaat (20 Mei 2016), kami di Pusat Tuisyen Al-Waqiah akan menganjurkan satu bengkel Easy English untuk para pelajar sekolah sekitar Kota Bharu, Kubang Kerian, Pengkaln Chepa dan Bachok. 


Majoriti pelajar menganggap Bahasa Inggeris adalah bahasa yang susah untuk dikuasai. Terutamanya dalam kalangan anak kelantan khususnya. Kadang-kadang faktor kurang keyakinan diri yang membatasi penguasaan bahasa ini.
Semoga usaha kecil ini akan membantu anak pelajar sedikit sebanyak mampu meningkatkan keyakinan diri. Insya' Allah.


Sunday, 8 May 2016

PROGRAM MOTIVASI SEKOLAH RENDAH DAN SEKOLAH MENENGAH

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
Entri 81

Assalamualaikum wbt. Kurang dua bulan lagi kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Hari Rabu ini adalah tarikh kewujudan Pusat Tuisyen Al-Waqiah. Alhamdulillah sudah hampir 3 bulan kami beroperasi. Semoga usaha kecil kami membantu anak pelajar yang ada masalah dari sudut pembelajaran dan semangat untuk belajar. Setakat ini kami lebih tekankan suasana pembelajaran berkonsepkan rumah. Belajar secara berkumpulan dan kita adalah satu keluarga. Malah kami memang akan mengenali antara satu sama lain.
Kami menekankan budaya jumpa dan bersalam. Alhamdulillah, pelajar kami sangat bermotivasi dan cita-cita kami adalah untuk melahirkan pelajar yang sentiasa bersemangat dan bermotivasi.

Kami banyak menjalankan program motivasi di sekitar Kelantan. Setakat ini kami mendapat jemputan untuk membuat program motivasi di sekolah dan universiti di sekitar Kota Bharu dan Bachok. Alhamdulillah.

Pada minggu lepas kami telah menganjurkan Program Smart Student dengan mensasarkan semua pelajar sekolah. Pada hari Jumaat (29 April 2016) kami khaskan untuk pelajar sekolah rendah manakala pada Sabtu (30 April 2016) adalah untuk pelajar sekolah menengah. Alhamdulillah sungguh mendapat sambutan.


Dalam melahirkan pelajar yang cemerlang, bukan sahaja akademik yang harus ditekankan, tetapi spiritual. Sesi kaunseling yang sempat kami buat bersama anak pelajar memang telah terbukti pelajar-pelajar ini bukanlah pelajar yang lemah. Tetapi masih belum bertemu rentak. Masih keliru dalam mencari hala tuju dan minat. Sedangkan ibu dan ayah hanya mengaharapkan yang terbaik dari mereka.

Buat para ibu bapa, saya juga ingin berpesan kepada diri sendiri supaya tidak lupa akan hal ini. Setiap manusia yang Allah SWT cipta masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Kelebihan yang diperoleh bukan satu perkara yang kita boleh anggap aku hebat kerana aku memang hebat. Kerana ia hanyalah pinjaman daripada-Nya.
Setiap kelemahan yang kita ada pula sememangnya itu adalah diri kita kerana azalinya memang manusia bersifat lemah dan memerlukan bantuan orang lain. Maka carilah cara bagaimana kita mahu jadikan kelemahan kita itu sebagai satu pelengkap kepada orang lain dalam masyarakat.

Anak-anak kita semuanya bijak. Mungkin anak pertama bijak Matematik, anak kedua bijak Sains. Raikan setiap kelebihan mereka, Jangan hanya mengharapkan nombor pertama di dalam kelas.


Selamat Maju Jaya! 



Thursday, 21 April 2016

BULAN-BULAN PERTAMA BERSAMA PUSAT TUISYEN

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
Entri 80


Sekarang sudah 2 bulan saya bersama Pusat Tuisyen Al-Waqiah. Hasil usaha kami berempat, alhamdulillah di sini kami berdiri sekarang. Mungkin pencapaian pusat tuisyen kami bukanlah di peringkat cemerlang tapi sekurang-kurangnya  kami sudah berjaya menjayakan beberapa program berbentuk akademik dan motivasi. Alhamdulillah. Syukur ya Allah. Saya sangat bersyukur.

Sudah lama tidak melakar idea di ruangan ini. Sungguh saya rindu tapi masa sangat terbatas. Insya Allah saya akan cuba untuk meneruskan usaha berkongsi maklumat dan pengalaman yang sedikit ini bersama rakan-rakan maya yang lain. 

Dalam setiap apa pun yang kita lakukan, tak kira lah bisnes atau pekerjaan, doa adalah kunci penguat hati. Dan sesungguhnya doa adalah senjata terhebat orang-orang muslim yang mukmin. Yakinlah di setiap pilihan yang kita buat, kita akan menemui satu titik kesusahan yang manisnya selepas ini hanya kita sahaja yang merasa. Bahkan mungkin boleh dikongsi bersama orang lain. Insya Allah.

Saat awal-awal buka pusat tuisyen ni, nak kongsi ilmu pinjaman Allah ini buat adik-adik yang masih tercari-cari. Sebenarnya saya ingin sekali menukar fahaman 'susahnya belajar' kepada 'oh..macam ni saja rupanya'. Tapi usaha ini bukanlah satu usaha yang memerlukan tempoh dua bulan sahaja untuk dibangunkan. Semoga saya terus istiqamah. Mohon doa sahabat-sahabat maya. Saya doakan kalian juga terus sukses dalam apa jua bidang yang kalian ceburi selagi tidak bertentangan dengan agama kita. Selamat maju jaya. 

Wednesday, 9 March 2016

SPM YANG MENDEBARKAN.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff

Lambatnya saya. Sudah ketinggalan bas rupanya. Sudah hampir seminggu keputusan SPM diumumkan dan saya baru sahaja berpeluang berkongsi sedikit cerita tentang kelas SPM saya tahun lalu.
Pagi Khamis lepas semasa keputusan diumumkan, saya sudah seram sejuk mengingatkan pelajar yang saya ajar. 
Seorang pelajar saya memang menjadi anak murid saya selama dua tahun, sejak dia di Tingkatan 4. Sampaikan semua ahli keluarga pelajar ini saya kenal. Bagaimana agaknya keputusan dia. Sungguh saya sangat takut.
Seorang lagi memang sepenuhnya belajar melalui tuisyen bersama saya dan kumpulan hometutor kami. Saya juga mengajarnya Matematik.
Semasa di pejabat, saya mula berkira-kira nak 'wassap' mereka bertanyakan keputusan. Tetapi kurang seminit, ada panggilan masuk.
Eh, ini pelajar saya!
Terdengar suara ceria di hujung talian. "Cikgu! Syah dapat B! Terima kasih, cikgu!" Saya tak terkata, hanya senyuman lebar kepuasan menghiasi wajah. Sampaikan hampir terloncat dalam pejabat tuisyen.
Alhamdulillah. 
Selama dua tahun saya mengahajar dia. Dan setiap kali ujian atau peperiksaan markah tertinggi hanyalah C. Kalau tidak, D sajalah yang diperoleh. Bagaimana harus saya gambarkan perasaan ini. Alhamdulillah ya Allah. Terus di hati saya sematkan semangat mahu bantu ramai lagi pelajar yang lemah dan memang hampir berputus asa dalam pelajaran.

Tangan saya laju menaip pesanan 'whatsapp' untuk dihantar kepada seorang lagi pelajar saya. Dan akhirnya saya dapat tahu dia juga memperoleh B+. Alhamdulillah. Sungguh saya takut. Memikirkan mereka yang mengharapkan kita. 
Saya nekad akan cuba pulihkan semangat ramai pelajar supaya melihat matematik itu dari sudut pandangan yang berbeza.

Di sini, di Pusat Tuisyen Al-Waqiah, setiap hari kami memperoleh pelajar yang sememangnya ada isu. Ibu atau ayah hadir bercerita tentang minat si anak yang memang langsung tak terarah kepada pelajaran dan sangat benci ke sekolah. Di sinilah kami akan cuba serapkan, sebenarnya, belajar itu mudah. Hanya bergantung pada minda kita, adakah mahu menerimanya atau sekadar menolak ke pinggir.

Ibu bapa yang hadir ramai yang gusar, bertanyakan tentang pengalaman kami sebagai pendidik. Adakah kami cukup berpengalaman untuk mendidik anak mereka.Apakah kelayakan yang ada pada kami untuk membantu anak-anak mereka untuk berjaya.

Insya'allah, mungkin usia kami masih muda, tapi kami punyai cara tersendiri untuk menarik minat pelajar. Insya'Allah. 




Wednesday, 24 February 2016

TAWARKAN KELAS PERCUMA

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff


Bagaimana mahu diri dikenali dalam bidang tuisyen ini jika mahu buat sendiri-sendiri secara separuh masa?
Ini ideanya... 
Tawarkan kelas secara percuma!
Usah bimbang akan rugi kerana menawarkan kelas percuma kerana rezeki itu milik Allah.

Selamat mencuba!

Tuesday, 23 February 2016

JOM BUAT KERJA SEKOLAH!!!

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yussoff
Entri 77


Assalamualaikum warga sahabat sekalian.
Alhamdulillah akhirnya kami membuka pakej tuisyen per subjek untuk semua pelajar UPSR, PT1, PT2, PT3, SPM, STPM, MUET, English For Communication, Grammar, SPSS dan Kaedah Penyelidikan untuk pelajar-pelajar di Universiti berhampiran USM, UMK, UiTM di sekitar Kelantan.

Kami menawarkan juga khidmat nasihat untuk membuka syarikat atau menjalankan bisnes secara
kecil-kecilan.

Selain itu, buat pelajar yang berdekatan bolehlah singgah untuk pakej JOM BUAT HOMEWORK pada waktu petang selepas sesi persekolahan.

Kepada mereka yang berada di Kelantan, bolehlah menghubungi 014 833 2052.



Friday, 19 February 2016

NOTA SAINS UPSR TERKINI

TEKS: Faizah Yusoff
FOTO: Sumber Facebook Page SK Putrajaya Presint 8(2)
Entri 76

Beberapa minggu yang sangat sibuk. Memang sangat sibuk. Saya dalam proses merangka pusat tuisyen yang baru sahaja mula beroperasi pagi tadi dan perjumpaan guru dan ibu bapa juga baru sahaja berlangsung selepas solat jumaat tadi. Alhamdulillah, sambutan yang menggalakkan. Rupa-rupanya masih ramai yang tidak berani mencuba bidang tuisyen ini sebagai satu cara menjana ekonomi secara sampingan. Entri lain saya akan kongsikan pengalaman membuka tuisyen. Jadi sesiapa yang berada di sekitar Kota Bharu Kelantan, bolehlah datang ke pejabat urusan kami.

Baiklah,di sini sedikit idea cara untuk menarik anak-anak atau pelajar-pelajar yang bakal menduduki UPSR versi baru bermula Tahun ini.



Mula-mula perkenalkan subjek ini sebagai satu subjek yang menarik dan 'fun'. Sebenarnya kebanyakan pelajar merasakan sains adalah satu subjek yang seronok untuk dipelajari. Tambahan pula cerita-cerita kartun di televisyen biasanya berkaitan dengan sains. Contoh mudah, siri Spongebob. Sejenis haiwan yang hidup di laut dalam. Pelajar akan tahu serba sedikit apa yang ada di dalam laut. Tapi kenapa ramai yang gagal dalam ujian sains di sekolah?

Kerana mereka tahu ia perkara yang seronok tetapi terasa sukar untuk diingat setiap perkataan atau bahasa tingginya 'jargon-jargon sains'. Kenapa mereka merasa sukar? Kerana mereka langsung tidak faham konsep dan tidak tahu apa sebenarnya yang harus mereka ingat dan faham. Guru yang hebat ialah guru yang boleh menukarkan persepsi pelajar terhadap sesuatu subjek. Sekurang-kurangnya dari gagal kepada lulus. Alhamdulillah sekiranya kita tergolong dalam kalangan guru sebegitu.

Sekadar perkongsian idea, lebih lagi gambar Like Page yang saya sebutkan di atas.
Semoga bermanfaat.




Friday, 12 February 2016

K.B.A.T

TEKS: Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
Entri 75

Assalamualaikum wbt.
Apa khabar sahabat sekalian? Sudah hampir dua minggu rupanya kita melangkah ke bulan Februari 2016. Sudah hampir 2 minggu juga saya bertungkus lumus dengan sedikit projek berkaitan tuisyen. Kelak jika diizinkan Tuhan saya akan ceritakan kelak. Cepat sunnguh masa berlalu dan berdetik, meninggalkan kita di belakang. Tak terkejar rasanya.


Macam mana projek hometution kalian? Saya alhamdulillah masih berjalan seperti biasa. Pelajar bertambah dan berkurang itu rencah biasa. 
Terus ke poin utama, iaitu tentang isu K.B.A.T.
KBAT ialah singkatan bagi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Info dan rujukan ada di sini.


Kalau dahulu mungkin pada zaman kita diperkenalkan dengan konsep KBKK iaitu Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif. 
Asasnya hampir sama cuma lebih tinggi sedikit tahapnya. Kerana KBAT mengutamakan soalan logik dan isu semasa dan kadang-kadang jawapan kepada soalan tersebut sudah tersedia di dalam soalan tersebut.

Seorang pelajar pernah bertanya pada saya, apa tips untuk menjawab soalan KBAT? Kenapa bila ada tulis KBAT kat tepi, saya mesti akan rasa susah?
Tambahnya, saya tanya kat cikgu sekolah pun kadang-kadang cikgu sekolah cuma bagi jawapan tanpa ada huraian lengkap.

Baiklah, di sini saya ingin berkongsi sedikit kaedah mudah untuk faham dan jawab soalan KBAT. Minda kita semua memang sudah dimomokkan dengan istilah KBAT=SUSAH!
Sebagai guru (tak kiralah guru sekolah atau guru tuisyen), cuba fahamkan konsep soalan dan kehendak soalan dengan baik. Jangan terus melatah bila soalan ditandai dengan KBAT.

Ramai saya 'interview' lepasan Master dan Degree yang berminat mahu menjana pendapatan sampingan sebagai hometutor, yang cepat melatah bila mendengar istilah KBAT yang diterapkan kini. Kata mereka : "bila ada soalan KBAT saya mesej kakak ya? Sebab saya mana tahu solan KBAT..."
Apa pun pekerjaan yang kita pilih, kita harus cuba sebelum berkata, TIDAK.

Sila cabar diri untuk CUBA FAHAM apa kehendak soalan. 
Tips saya buat pelajar cuma satu, terutamanya bagi subjek Matematik yang saya ajar,
Sebolehnya pelajar tahu melakar apa yang soalan beri dan apa yang soalan mahu dalam sebutan Matematik.

Contoh:

Gambarkan soalan dalam bentuk lukisan yang mudah supaya tak jemu memandang ayat panjang. Soalan di atas adalah soalan peringkat SPM.
Fahamkan konsep, dan cuba gambarkan dalam bentuk lakaran seperti di atas.
Semoga bermanfaat.
Bila lagi nak asah bakat melukis yang terpendam... =)









Monday, 1 February 2016

KELUARGA BESAR ABDR

TEKS : Faizah Yusoff
Entri 74

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
Saya pernah terbaca satu ungkapan yang mengatakan:
"Tulislah perkara yang pembaca mahu ingin tahu, bukan apa yang kamu mahu"
 Macam terasa pada diri sendiri bila melihatkan entri-entri saya yang dulu. Saya akan cuba menambaik baik kandungan blog ini insya'Allah.

Sudah hampir 3 bulan rupanya saya menjadi ahli keluarga ABDR, hampir terlewat untuk menulis review buku dan review kelas. Tapi tak mengapa, bak kata pepatah:
"Better late than never"
Entah betul entah tidak Bahasa Inggeris saya.

Pada asalnya saya menghubungi Puan Masayu setelah mendapat tahu daripada kakak saya tentang kisah Puan Pengetua ABDR yang berhenti kerja dan memulakan kerja dari rumah. Saya mulai mencari info dan maklumat. Saya pendamkan hasrat untuk menghubungi beliau kerana pada masa itu saya agak sibuk dengan kelas tuisyen yang silih berganti dan tak pernah putus. Faktor lain ialah capaian internet pada masa itu (awal tahun lepas) agak terhad. Sedangkan saya tahu saya harus menulis dan menulis setiap hari sebaik-baiknya.

Akhirnya nak dijadikan cerita, saya mula tekad mahu menulis walaupun asalnya saya menghubungi Pn.Masayu dek kerana mahu bertanyakan pendapat tentang mahu menulis himpunan soalan-soalan matematik untuk pelajar yang lemah matematik sahaja. Saya rasakan kenapa tidak saya menulis untuk berkongsi cerita tentang khidmat hometuition saya yang selama ini saya lakukan sendiri sampai hari ini. Disamping mencari idea mengumpulkan modul-modul matematik, saya boleh berkongsi idea juga. Alhamdulillah akhirnya, di sini lah saya menjadi sebahagian kecil dari warga ABDR yang hebat-hebat belaka.

Saya diletakkan di bawah tunjuk ajar Cikgu Anys Idayu. Terima kasih cikgu sebab selalu layankan saja soalan-soalan saya yang entah apa-apa. Kadang-kadang saya akui agak kelam idea memandangkan bila melihat blog rakan-rakan yang lain kebanyakannya mempunyai produk dan cantik-cantik tersusun blog mereka. Sedangkan saya selalu cerita perkara yang sama. Modul saya pula bukan saya tak mahu masukkan di sini tetapi macam atk yakin untuk saya tunjukkan di sini. Keyakinan tu memang selalu membunuh niat saya.

Saya mula belajar satu persatu dan penulisan saya, saya rasakan semakin baik dari satu entri ke entri yang lain. Tak tahu lah apa kata pembaca saya. Kadang-kadang terfikir juga, entah-entah saya yang menulis syok sendiri. Dah lah asyik terlepas hari, kadang-kadang 2,3 hari baru muncul satu entri, sedangkan kata sifu saya Cikgu Anys, entri ni macam satu kad nama untuk kita. Maaf ya cikgu, saya tak berjaya lagi dalam ujian 'istiqamah' walaupun pernah tulis pasal tajuk Istiqamah. 

Saya selalu menjadi 'silent reader' dalam kelas. Bila mahu bertanya, saya akan mesej tepi Cikgu Anys. Ketakyakinan pada servis sendiri masih menebal. Entah macam mana lah ya saya mampu menjadi yakin dengan pelajar saya. Sampaikan ada yang kata, bila tengok saya tunjukkan satu-satu cara, semuanya nampak mudah. Sedikit kelebihan di situ mungkin. *Puji diri sendiri*

Apa yang saya rasa, penulisan saya sudah bertambah baik. Ini perubahan yang paling ketara, sedangkan sebelum ini saya akan menulis berjam-jam sambil memikirkan entri apa yang mahu saya tulis, tapi sekarang, cukup beberapa minit saja sudah siap satu entri. Memang ini satu kemajuan sebab saya memang tak suka menulis dari dulu. *Faktor utama sebab tulisan saya tak cantik dan tersusun*

Dan, saya mulai baca e-book Asas Blog yang akan kita peroleh setelah mendaftar menjadi ahli Akademi Bekerja Dari Rumah ini.
Bagaikan terbangun dari mimpi, rupanya bukan saya seorang punyai masalah dilema dalam mencari pekerjaan. Bezanya, wanita-wanita ini sudah lebih makan garam daripada saya dan semuanya mempunyai latar belakang pernah bekerja berbanding saya yang selepas konvo terus menjadi hometutor sepenuh masa walaupun pada masa itu pulangan tidaklah lumayan mana. Dan semangat yang luntur terus kembali berkobar-kobar untuk terus menjadi sebahagian daripada mereka yang hebat.
Hanya saya yang mampu mengubah diri saya. Kenapa mesti saya mendengar 'apa orang kata' sedangkan saya sedar apa yang saya sedang lakukan langsung tidak menyimpang dengan ajaran agama bahkan dituntut pula.

Melalui ebook Asas Blog saya semakin faham kenapa kita harus menulis dengan jujur dan penjenamaan diri sangat penting. Sungguh saya bersyukur berkenalan dengan wanita-wanita hebat ini Pn. Masayu, Pn. Nashriah, Pn. Anys Idayu. 
Kenapa? 
Kerana mereka benar mahu membantu kaum wanita bangkit untuk menjadi hebat dalam versi mereka sendiri. Bukan hebat kerana meniru orang lain. Bukan menjadi hebat kerana cuba menjadi orang lain.
Syabas team ABDR! 
Pernah saya ditegur dek kerana kesilapan menulis sumber foto dari simpanan sendiri sedangkan foto itu saya ambil dari carian google, kata sifu, kita jangan menipu pembaca kita. Jujurlah dalam penulisan. Saat itu saya terasa, memang saya tak salah membuat keputusan untuk menyertai ABDR ini.
Banyak tulisan-tulisan daripada ahli-ahli lain yang Pn. Masayu kongsikan di dalam ebook, buatkan saya yakin, saya juga mampu membina kerjaya di rumah seperti mereka. Asalkan saya tak pernah berhenti berusaha.

Walaupun hanya belajar melalui FB, kelas yang saya hadiri walaupun hanya di alam maya, terasa macam masuk kuliah universiti pula. Ya lah, seakan setiap pelajar mempuanyai akses ke portal dan mulai menjawab soalan melalui portal tersebut. Banyak perkara yang bermanfaat yang dikongsi di kelas. Dan walaupun perkara sama yang diulang setiap kali ada pelajar baru masuk ke kelas, ia seakan menjadi 'reminder' kepada diri sendiri.

Buat yang baru berkenal-kenalan dengan blog, jom sertai jemaah kami di ABDR. Jadilah hebat di atas usaha dan kepakaran sendiri. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua yang sudi menyinggah. 

Wednesday, 27 January 2016

TERHARU.

TEKS: Faizah Yusoff
FOTO: Faizah Yusoff
#Entri 73

Terasa macam nak berkongsi cerita cinta pula bila letak tajuk terharu. Ya, kisah cinta saya pastinya dengan kelas-kelas tuisyen saya yang memang ada saja cerita pelajar-pelajar kesayangan saya.

Beberapa malam lepas, pelajar saya ada tanya, ''teacher nak tak kalau saya buatkan hadiah untuk teacher? saya buat sendiri tau." Saya senyum sambil anggukkan kepala. Malas nak jawab panjang nanti makin panjang cerita dia sebab pelajar yang sorang ni memang 'clever boy'. Ada saja ayat pancing dia nak bagi saya kurangkan latihan matematik dia yang memang saya suruh buat banyak-banyak. Hehe.

Dan malam seterusnya, tengok lah apa yang saya dapat....jeng jeng jeng....
Inilah hadiah key-chain buatan sendiri pelajar saya. Hehe


Dan mula-mula saya baca, TO FAIZAH... Sekali pelajar saya sebut dia tulis I love faizah sebenarnya. Tiba-tiba rasa terharu, sebabnya dia adalah pelajar saya yang memang nakal. Sangat bencikan matematik dan memang aksi pujuk memujuk memang tak boleh pakai langsung kalau kelas dia. Pernah saya ugut nak letak dia kat luar rumah sebab saya tahu dia agak penakut. Sebabnya? Nak bagi syaitan pemalas dia keluar dari badan. Hehehe. Scary kan tutor macam saya. Ya lah masa tu masih awal-awal tuisyen, memang saya tak mahir bab pujuk memujuk. Akhirnya saya ugut kalau tak siap saya letak luar rumah. Sekian. Memang menjadi jugak rupanya. Tapi tu memang solusi terakhir lah dan kena bagitahu parent siap-siap kalau nak buat ala-ala 'hulk' ya.

Dan tahun ini dia mula kenal 'mudah matematik'. Setiap hari mintak nak buat latihan matematik. Alhamdulillah. Semoga ini pemula yang baik sebelum dia menduduki UPSR tahun depan. Doa teacher sentiasa mengiringimu pelajar. Saya ala-ala 'sweety' ni bukan sebab dapat hadiah tau. Tapi sebab bangga dia sudah berubah 100%. Terasa macam nak 'screenshot' mesej yang saya dapat daripada mamanya. Katanya, 100% berubah. Sampai cikgu di sekolah naik hairan. Kalau dulu nakalnya hanya Tuhan yang tahu. Itulah kuasa yang tak mampu kita sangkal. Saya cuma perantara untuk mengubah sedikit sikap anak ini. Alhamdulillah. Semuanya dengan izin Allah S.W.T.

Monday, 25 January 2016

MATEMATIK OH MATEMATIK

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 72



Ini pelajar saya. Selain mengajar adik dan anak-anak saudara saya, dia memang akan ada bersama. Sejak tahun lepas dia menjadi pelajar tetap saya, hampir setiap malam. Nakal tapi rajin belajar. Alhamdulillah. Subjek utama yang memang dia agak 'benci' ialah tak lain tak bukan MATEMATIK! Hujung tahun lepas pun masih di tahap lemah. Saya cukup bimbang dengan pencapaiannya. Kadang-kadang rasa gagal bagi dia faham dengan baik. Mungkin dia lebih faham semasa bersama saya bila di kelas dia lupa-lupa. 
Tapi saya perhatikan, cara jawab sudah ada, teknik sudah betul tapi kelemahan utama ialah 
'nak siap jawab cepat'.

Saya cukup yakin, mesti ramai guru matematik di sekolah ataupun yang menjadi guru tuisyen hari ini bersetuju dengan saya. 
Pelajar hari ini memang kebanyakannya 
NAK JAWAB SOALAN CEPAT-CEPAT.
Dan kesannya, mereka akan baca soalan sambil lewa dan tidak cermat semasa menyalin soalan dan membuat jalan kira.
Tak kiralah pelajar sekolah rendah mahupun pelajar sekolah menengah.
Isu yang timbul ialah : cepat siap, cepat jawab.

Begitu juga bila sesi pengajaran, bila tutor mengajar, pelajar yang faham akan cepat merasakan diri memang sudah cukup faham. Jadi dia mulai tak mahu buat latihan tambahan. Itulah kesalahan terbesar pelajar bila melibatkan subjek pengiraan. Latihan tambahan sangat sangat sangat diperlukan.

Cara mengatasinya? 
Bagi pelajar sekolah rendah, ibu atau ayah atau kakak atau abang harus memainkan peranan. Paksa dia buat latihan tambahan minimum 5 soalan sehari.
Bagi sekolah menengah pula, ibu atau ayah atau kakak atau abang boleh menyuruh tapi kesedaran diri sendiri juga yang paling penting.
Ambil masa 10 minit cuma sehari untuk buat latihan walaupun hanya soalan mudah tapi pastikan soalan di tahap anda. 10 soalan minimum. Mungkin sementara menanti ayah datang atau smentara menunggu bas sekolah untuk pulang. 

Ramai pelajar saya yang mengatakan mereka benci matematik.
'Cikgu, saya tak suka matematik!'
'Cikgu, matematik tak best langsung!'

Saya katakan kelas batal semalam sebab memang saya kurang sihat beberapa hari ini. Batuk dan selsema. Tapi datang juga semata-mata nak berikan saya ini. Hmm.. Dan siap minta soalan matematik banyak-banyak sebab katanya apa yang pernah saya ajar, cikgu di sekolah baru ajar. Alhamdulillah.
Saya sentiasa doakan kejayaan pelajar-pelajar saya. Walau di tahap mana pun mereka bermula, semangat belajar yang mereka tunjukkan memang buatkan hati saya makin kuat untuk membantu mereka.
Gudluck students!



Sunday, 24 January 2016

USTAZ MUSTAFA AL-JIASI

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 71


Perginya seorang murabbi. Alfatihah. 
Hari ini 24 Januari 2016, seorang murabbi ummah gugur menemui Sang Pencipta.
Innalillahiwainnailaihiroji'un...

Ustaz Mustafa Aljiasi ialah pengarang kitab Mengenal Diri dan Wali Allah tarikat Ahmadiah telah kembali ke rahmatullah pada jam. 11.37 mlm tadi di Kota Bharu Kelantan. Alfatihah.

Kenapa saya berminat menulis tentang beliau? Kerana beliau ialah seorang guru. Penyebar ilmu dan setiap yang menyebarkan ilmu walau satu ayat itulah yang dinamakan 'guru'.

Ayah saya pagi-pagi lagi balik awal dari 'mengeteh'. Katanya ada kematian. Seorang ulamak tarekat. Penulis buku tarekat .


Kalau tak silap saya ini buku versi rumi. Rupanya setiap pelosok negeri mengenali beliau. Hebatnya aura seorang 'guru'. Kata abang saya pula, berita kematian guru ini diperoleh dari seorang sahabat di Johor. Masya'Allah, sungguh ilmu ini satu perkara ajaib yang Allah berikan kepada manusia. 

Ayah saya pernah bercerita tentang beliau, kata ayah Ustaz Mustafa ialah anak murid kepada Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal. Seorang ulamak tarekat yang memang ayah suka ceritakan kisah hidup beliau. Ustaz Mustafa semasa hidupnya pernah disangka 'gila' dan dihantar ke hospital kerana penduduk setempat menyangkakan beliau 'tidak sihat minda'. 

Sedikit perkongsian di sini tentang ahli ilmuan islam yang mendalami ilmu tauhid, sebenarnya apa yang mereka nampak, apa yang mereka bicarakan sepenuhnya berbeza dengan pandangan dan bicara kita sebagai orang awam. Kedudukan mereka dan kebergantungan mereka kepada Yang Esa memang tak dapat kita lihat dengan mata kasar. Ayah suka ceritakan kehebatan ahli sufi pada zaman dahulu. Antaranya Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal dan Tok Kenali. Kisah mereka memang sesuatu yang tak dapat kita fikirkan secara logik. Malah ada yang kata mereka gila. Sesungguhnya hanya Allah yang lebih tahu. 
Alfatihah.

Wednesday, 20 January 2016

FAHAMKAN ASAS MATEMATIK

TEKS & FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 70

Sudah lama saya tak berkongsi tentang kaedah dan teknik mengajar 'hometuition'. Kebelakangan ini kelas agak padat dan kekangan internet yang entah kenapa kadang-kadang ada kadang-kadang ghaib tak dapat dikesan. Tapi tak mengapa saya akan cuba yang terbaik untuk berkongsi di laman ini. Buat rujukan suri yang ingin menjana pendapatan sampingan sebagai cikgu tuisyen atau sekadar ibu yang ingin mengajar sendiri anak tersayang.

Untuk mata pelajaran matematik, isu utama pelajar ialah kurang latihan berterusan dan tidak menguasai dengan baik konsep yang dipelajari.
Oleh itu, saya mulai sesi pembelajaran saya bersama pelajar dengan memperkemas konsep tambah, tolak, bundar, bahagi dan darab. Ini adalah asas matematik sekolah rendah yang paling penting untuk pelajar kuasai.

Di bawah antara contoh soalan yang memang saya wajibkan pelajar saya buat setiap kali kelas.




Pelajar saya selalu mengeluh, katanya mudah sangat. Saya tetap akan suruh buat dan pastikan anda cek jawapan itu betul atau salah. Tandakan besar-besar kesalahan mereka. Dan jelaskan pada mereka kenapa harus dibuat berulang-ulang latihan sebegini. Walaupun nampak mudah tapi isu bagi soalan mudah ialah kecuaian. Kita cuba untuk atasi kecuaian dengan menggunakan kaedah 'biasa buat'.
Tekankan pada latihan menambah menolak mendarab dan membahagi. 
Berikan lebih banyak soalan berbentuk permasalahan atau soalan cerita.
Kenapa? 
Kerana sekarang adalah musim KBAT. 
Ini adalah sebagai persediaan kepada KBAT.
*KBAT= Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.

Ini adalah untuk rujukan cikgu tuisyen yang mengajar matematik sekolah rendah ya. Kelak saya akan kongsikan lagi cara mempelbagai cara kira. Kita memang seboleh-bolehnya tidak statik pada satu jalan kira sahaja. Jom jadi cikgu tuisyen serba boleh serba tahu. Semoga terus sukses.

KEMPEN CINTA RASULULLAH

TEKS & FOTO :Faizah Yusoff
#Entri 69



Assalamualaikum warga Bangi dan Kajang, anda dijemput untuk memeriahkan Sambutan Maulidurrasul bertempat di SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi pada 21 Januari 2016 iaitu esok ya...
Boleh dengar bicara orang bijak ni sekejap pun terasa lain dah ya... PU Amin ni adalah bekas Pencetus Ummah yang memang ada aura tersendiri sebagai seorang penceramah muda. 
Semoga bermanfaat.


Monday, 11 January 2016

SAYA YANG DAHULU.

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 68
Catatan hari ini. Sesi sekolah bermula.
Jadual saya turut berubah sudah...
Hari ini pukul 4 petang kelas di rumah pelajar. Dan bersambung di sebelah malam pula. Alhamdulillah, sungguh rezeki dari-Mu tak pernah putus.

Dalam hati, saya pasangkan niat untuk teruskan usaha membantu pelajar yang lemah dalam matematik, subjek yang pernah saya benci  satu ketika dulu. 
Bila teringat zaman sekolah rendah, saya cukup tak suka matematik. Cikgu saya masa Darjah 6 namanya Cikgu Omar, apa khabar beliau sekarang agaknya?
Cikgu Omar memang jenis lucu, suka berleter dalam kelas tapi sungguh kami semua sayangkan beliau. Sangat baik dan lucu sekali.
Saya dapat 4A 1B dalam UPSR.
Sudah tentu lah B Matematik. 
Saya pun tak tahu di mana silap saya, semasa latihan dalam kelas, memang saya boleh buat sebaiknya, siap tukang ajar kawan-kawan lain pula. Tapi bila peperiksaan mesti tak dapat A, B sahaja tahap saya semasa sekolah rendah.

Lain isu pula bila melangkah ke sekolah menengah. Saya sudah agak boleh menerima subjek matematik ini. Tapi, saya agak malas bila kena buat latihan.
Kisahnya saya bersekolah di bandar Kota Bharu yang sememangnya jauh dari rumah saya. Dan, bila ayah usulkan mahu letak saya di asrama, saya taknak, maka terpaksalah berulang-alik ke sekolah setiap hari dengan bas. Seawal 6.30 pagi saya sudah mula kayuh basikal 'racing' hadiah daripada ayah ke tepi jalan utama sebab rumah saya agak terkedalam. Melalui jalan kampung yang sunyi, melalui padang yang memang tiada rumah orang, melalui tanah kubur yang sunyi. Tapi saya tabahkan hati. Dan saya memang tak pernah rasa takut walau hanya bertemankan lampu suluh kecil hadiah daripada ibu. Hanya doa dari ibu dan ayah peneman saya ketika itu.

Bila diingatkan kembali, masih terbau suasana pagi hampir 4 tahun yang saya lalui. Mungkin di situ letaknya hikmah saya mulai menerima semua pelajaran di sekolah dengan baik sekali. Walaaupun pada asalnya saya cuma pelajar biasa-biasa yang memang tak pernah memegang rekod pelajar cemerlang.

Keberkatan dalam pelajaran dan rezeki adalah sesuatu yang memang kita tak dapat bayangkan. Semoga kalian terus istiqamah dalam haluan yang kalian pilih dalam hidup.

Kenapa saya berkongsi cerita ini? 
Sekadar renungan. Lain orang lain kisahnya. Saya punyai sedikit kesusahan tapi Allah hadirkan 1001 kejayaan dalam pelajaran semenjak saya melangkah ke sekolah menengah. Sungguh, Dia tak kan pernah meninggalkan kita sendirian.
Maka, yakinlah dengan rezeki yang telah ditetapkan. Janji, kita berusaha, bukan sekadar mengharap dan berdoa semata.

Saturday, 9 January 2016

TUISYEN RM10

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 67




















Semalam adalah Jumaat kedua dalam Tahun 2016.
Saya sudah mulakan Tuisyen RM10 saya, kalian bagaimana pula?
Sebenarnya, ini satu kaedah tuisyen yang mudah untuk dipraktikkan. 
Sekali datang, sekali bayar. Kalau tak datang, tak payah bayar.
Sebabnya, di zaman yang serba canggih manggih ni, nilai RM10 seperti RM1. kalau dahulu, nak minta RM10 dengan mak, mesti mak bagi alasan ''cuba minta pada ayah''. Bagaikan RM100 bila si anak mintakan RM10.
Sekarang, buka saja kelas tuisyen RM10 tapi pastikan ada yang pelajar peroleh dan berbaloi dengan harga yang dibayar.
RM10 untuk satu sesi tuisyen di rumah anda? Tanpa ke mana-mana. Sambil tunggu waktu Asar pun boleh dibuat kelas sekejap. 
Mudah dan praktikal.

Saya sudah mulakan kelas tuisyen RM10 sejak awal tahun lepas. Saya macam tak sampai hati juga walaupun ada yang kata sudah murah sangat. Akhirnya, dek kerana terasa tersekat di hati, saya usahakan bahan mengajar dengan membekalkan buku dan nota mudah versi saya sendiri buat pelajar tersayang.
Mulai tahun ini saya sudah sediakan modul mingguan buat pelajar.

Adakah saya terlalu bermurah hati atau terlalu berkira?
Mungkin itu yang terlintas di hati kalian.
Saya cuma letakkan diri saya sebagai pelajar, adakah saya akan bayar upah seorang tutor yang memang akan ajar saya mula dari awal sampai saya faham dengan RM10?
Saya letakkan pula diri saya sebagai seorang ibu, adakah saya akan bayar upah seorang tutor yang akan memberi ilmu dan memahamkan anak saya dengan RM10?
Jawapannya, ya!

Tapi kenapa mesti bayar? Ilmu kan dari Allah, sekadar untuk kongsi ilmu je pun?
Sahabat, apa akan jadi kalau kita berikan khidmat secara percuma agaknya?
Sebetulnya, saya pernah cuba buat 'kelas percuma' tanpa apa-apa bayaran. Saya memang sudah bereksperimentasi hampir 100% dalam bidang hometuition ini.
Dan apa yang terjadi?
Nah! Pelajar hanya datang seminggu sebelum peperiksaan!
Biar benar?
Jawapan saya sejujurnya, ya, memang benar.
Secara logiknya, manusia memang tetap namanya manusia. Kita akan kurang menghargai atau bersyukur dengan sesuatu perkara yang diperoleh secara percuma.
Kita merasakan 'alah, kalau tak pergi pun, bukan rugi pun duit aku'.
Contoh terdekat? Kita mendapat udara secara percuma.
Nah, adakah setiap hari kita bersyukur?
Maka, ucapkanlah Alhamdulillah sekiranya kalian terbaca entri ini.
Selamat Mencuba!

P/S : Didiklah mereka dengan ikhlas. Love you all my students.



Thursday, 7 January 2016

KELAS ASAS MATEMATIK SPM 2016

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 66

Dalam bulan lepas, saya mula dihubungi oleh pelajar-pelajar yang bakal menduduki SPM tahun ini. Khabarnya, SPM tahun ini agak mencabar mungkin kerana wujudnya soalan-soalan KBAT atau jenis soalan yang memerlukan kemahiran berfikir yang agak tinggi. Oleh sebab itu, pelajar-pelajar ini sudah tidak senang duduk. Seperti biasa, mereka hubungi saya untuk kelas tuisyen individu Matematik.

Alhamdulillah, kertas soalan untuk Kelas Asas sudah siap untuk minggu pertama di bulan Januari 2016.


Saya akan mulakan dengan tajuk-tajuk dari Tingkatan 1-3 yang akan disoal juga dalam soalan SPM, dan tumpuan saya ialah pelajar mampu kemaskan pemahaman konsep dan boleh menjawab 'pattern' soalan SPM. Sebetulnya, soalan-soalan yang bakal ditanya mungkin dah boleh diagak tapi memerlukan latihan berpanjangan. Berbeza dengan pelajar hari ini yang gemar 'simpan' apa yang mereka faham. Bila sudah faham di sekolah, mereka mula senang hati dan beranggapan 'keluarlah soalan macam mana pun, aku mesti boleh jawab'. Satu lagi sikap pelajar ialah 'tangguh-tangguh buat latihan'. Sedangkan sekarang sudah bulan Januari dan mungkin dalam bulan Mac, mereka sudah mulai menduduki Ujian Bulanan atau Peperiksaan Awal Tahun.

Buat pelajar saya, memang saya bagitahu siap-siap, usaha cikgu hanya dalam 20-30% sahaja. Selebihnya adalah daya usaha awak sendiri. Tapi ramai yang meletakkan 100% usaha daripada tutor, nak-nak kalau memang dah guna khidmat tuisyen individu. Ibubapa memang letakkan harapan yang tinggi.

Matematik memang menjadi keutamaan saya. Ada juga saya mengajar untuk subjek Matematik Tambahan dan Kimia. Tapi dua subjek tersebut masih diperingkat kena baikpulih sebab tumpuan utama saya ialah Matematik. Lagipun, berdasarkan pemerhatian saya ramai pelajar lemah Matematik, bahkan ada di sekolah-sekolah tertentu, hanya beberapa orang saja yang lulus. Jom sama-sama kita bantu pelajar kita. Saya tahu ramai guru hebat di luar sana yang tidak memilih profesion guru sebagai pekerjaan tapi lebih gemar bergerak atau bekerja sendiri. Semoga kalian terus sukses dalam apa jua bidang.

Sunday, 3 January 2016

MAAHAD DI HATI...

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 65

Cuti sekolah sudah berakhir di Kelantan. Hari ini saya menemani anak saudara yang pertama kali ke pasti. Pasti Al-Hidayah. Juga tempat saya mula-mula mengenal huruf dan belajar berdoa. Rindu betul zaman itu. Nak makan baca doa, siap makan baca doa, nak balik cikgu akan bekalkan satu doa setiap seorang, kena ingat dan tiap-tiap hari cikgu akan panggil secara rawak siapa yang dah ingat doa, boleh ke depan dan baca kuat-kuat. Alangkah bangganya hati bila kita seorang saja yang ingat, rakan-rakan lain masih termanggu-manggu sebab asyik lupa hafal. Semuanya tersimpan kemas dalam lipatan sejarah hidup saya. 

Hari ini saya sudah mula siapkan tugasan untuk kelas Tuisyen Asas Matematik saya. Penat memang agak penat buat soalan, nak bagi pelajar faham dengan konsep dan tajuk apa yang memang kerap kali pelajar buat kesalahan. Nanti bila dah siapkan modul tersebut saya tunjukkan kat sini Insya'Allah. Teristimewa buat anak pelajar saya saja setakat ini. Saya memang teruskan niat untuk membuka kelas harian di rumah saya saja sekarang ini. Alhamdulillah, pelajar tak putus-putus datang. Cuma sedikit isu bila setiap pelajar mahukan kelas perseorangan. Insya'Allah saya akan cuba ikhtiarkan sedaya upaya saya.


Saya sebenarnya ingin menyambung cerita menjadi sebahagian daripada pelajar Maahad, sambungan kisah keputusan peperiksaan sebelum ini. Sekadar perkongsian dan luahan kerinduan teramat untuk kembali ke zaman itu. Dulu pada zaman saya kami terpaksa rela menduduki peperiksaan di setiap tingkatan. 

Sebelum melangkah ke Tingkatan 1, kami diwajibkan untuk berada di Tingkatan Peralihan. Peperiksaan besar semasa peralihan ialah UKSA. saya pun dah lupa UKSA tu apa nama penuhnya. Peperiksaan ni kami duduki untuk melayakkan lompat ke Tingkatan 1 tanpa perlu habiskan Tingkatan Peralihan selama setahun.

Seterusnya, Tingkatan 1 memang tiada peperiksaan besar, cuma ada peperiksaan akhir tahun saja. Semasa di Tingkatan 2, ada PMRU iaitu Peperiksaan Menengah Rendah Ugama. Seterusnya Tingkatan 3 PMR macam sekolah menengah biasa. Tingkatan 4 pula, SMU ataupun Sijil Menengah Ugama. Sijil Menengah Ugama ini boleh menggantikan sijil kursus kahwin di Kelantan. Sebab tu lah dulu kami suka buat lawak-lawak tak cerdik bersama kawan-kawan lepas keluar keputusan SMU, bolehlah kahwin ramai-ramai.
Tingkatan 5 pula macam biasa SPM cuma lebih sedikit la matapelajaran. Tingkatan 6 Bawah, ada peperiksaan STAM manakala Tingkatan 6 Atas pula STPM. 

Memang agak banyak peluang lah kiranya sebab peperiksaan memang tiap-tiap tahun. Sepanjang tahun memang pegang nota je kerja kami. Di sini kami dididik dengan bawa buku ke mana sahaja. Bahkan kadang-kadang ke tandas pun kami TERbawa nota kecil. Sungguh melekat budaya 'bawa buku' di sekolah dulu.

Bila datang musim peperiksaan atau ujian bulanan, kami akan bertebaran duduk di bawah pokok, di padang, di pondok bahkan di dalam longkang pun jadi 'port' menghafal. Sungguh meriah. Bising macam lebah sebab semua pakat hafal benda yang sama. Kalau ada yang jenis rileks pun pasti tergugat punya sebab semua kawan-kawan bawa buku dan menghafal. Tapi di sini kami bersaing secara sihat. Sungguh saya rindukan suasana Maahad yang tenang. Walau di tengah bandar utama, tapi suasana di Maahad bagaikan berada di tengah sawah yang tenang dan lapang. 

Bila datang musim peperiksaan kami akan sama-sama mengadakan solat hajat perdana. Pada setiap hari Rabu, corong radio maahad akan berkumandang bacaan Yaasin. Tiada lagu negaraku yang kami dendangkan setiap hari. Cuma nasyidussobah sebagai doa yang ditambah rentak. Sungguh saya rindu. Bukan mahu menunjuk atau berbangga diri jauh sekali, saya cuma ingin lakarkan secebis ingatan saya tentang sebuah Maahad yang mengajar saya ilmu duniawi dan ukhrawi malah semakin saya belajar sampai ke usia ini, semakin banyak yang saya tak tahu. Luasnya ilmu-Mu ya Allah. 

Kenapa saya ceritakan di sini? Kadang-kadang terasa sedih melihatkan akhlak remaja masa kini. Lalu, akhbar yang memang suka mencari cerita panas akan mula besar-besarkan isu 'Pelajar Sekola Agama ditangkap' atau apa-apa saja yang boleh menjatuhkan imej 'Sekolah Agama'. Sedangkan ditulis oleh penulis yang beragama Islam. Kalau sebegini yang kami belajar di sekolah, adakah salah sekolah juga jika kami tidak terus mengamalkan apa yang kami belajar? Sudah tentu salah sendiri.

Saya sama sekali bukanlah orang yang meneruskan imej tudung labuh di sekolah sampai sekarang tapi sekurang-kurangnya saya masih cuba menjaga apa yang sepatutnya. Alhamdulillah. Mungkin entri ini boleh memberi bayangan apa yang boleh kita kongsikan bersama pelajar masing-masing. Kadang-kadang, cubalah kongsi cerita zaman sekolah sahabat semua supaya boleh dijadikan panduan untuk anak pelajar kita yang memang sering dahagakan motivasi. Insya'Allah walau sekali sahaja bertemu seminggu, mungkin sesi pelajaran bersama anda menjadi satu sesi yang ditunggu-tunggu oleh pelajar! Gudluck!

Friday, 1 January 2016

KERJA SENDIRI vs KERJA MAKAN GAJI

TEKS : Faizah Yusoff

Hari ini, sampai naik 'hang' telefon sebab mesej-mesej di 'group whatsapp' yang bertubi-tubi. Semua orang tak lupa saling mengucapkan selamat tahun baru kepada rakan-rakan yang lain.
Semalam, seorang rakan baik saya tiba-tiba menghantar mesej di 'group whatsapp' geng maahadian dahulu. Beliau baru memulakan tugas sebagai seorang doktor di Hospital Besar Kota Bharu (HPRZ).

Katanya, 
''aku sedih sebab tak rasa apa yang aku buat ni adalah satu perkara yang aku minat atau tak''.

Kami yang lain mulai berikan beliau kata-kata semangat supaya terus bertahan. Mana-mana kerja ada tekanan dan bebanan tugas masing-masing. Dan kita tak akan diuji dengan bemda yang tak mampu kita tahan.

Dan sebenarnya, saya pernah berada di tahap beliau sekarang. Cuma saya merasakan lebih awal perasaan itu. Pernah satu ketika saya rasakan, sebenarnya apa yang saya mahukan dalam hidup ini?
Saya tahu ramai graduan yang masih menganggur di luar sana, yang masih tercari-cari apa yang patut dibuat supaya boleh jana pendapatan sendiri. Kalau bermodal alhamdulillah. Boleh saja mulakan bisnes apa pun. Kalau tiada modal atau modal sangat kecil? 
Alkisahnya, mula terjebak dengan pelbagai skim cari duit yang entah benar entah tipu.
Kalau ada yang menjadi pembaca blog saya ini, kalau awak ada sedikit ilmu, bolehlah jadikan cikgu tuisyen sebagai satu kerjaya. Kalau pergi 'apply' mengajar di pusat tuisyen tak lepas, 
awak mengajar saja di rumah, mulakan dengan jiran terdekat, atau boleh saja mulakan dengan orang jauh dengan mengiklankan di media sosial atau mudah.my.
Saya tahu kadang-kadang kita lebih senang berurusan dengan orang jauh berbanding orang depan rumah.

Beberapa hari lepas, saya berjumpa dengan seorang sahabat lama. Katanya, sekarang dia mengajar di Terengganu, suaminya pula mengajar di Sabah, manakala si kecil terpaksa di tinggalkan di Kelantan bersama keluarganya. 
Nak mintak pindah tapi sangat susah katanya.
''Untung Faizah pandai kerja sendiri''
Saya katakan :
Sebelum saya boleh berdiri macam hari ini, bukan semudah yang awak tengok dan dengar.

Sungguh, kadang-kadang kita menyangka, untung menjadi A dah lah kaya, kerja best pula. Tapi bila jumpa si B kita tetap kata, kenapa lah hidup aku tidak seperti B, walaupun miskin tapi bijak belajar. Realitinya, kita memang tak akan pernah berasa cukup.

Sebelum ini, saya pernah jatuh, tak mampu angkat muka, sedih sebab tak tahu apa yang saya mahu buat. Saya rasa saya gagal. Akhirnya saya terjumpa minat kecil yang tersimpan di sudut hati. 
Konsep 'buat orang faham' saya besarkan kepada idea hometutor.
Alhamdulillah setakat ini saya mampu menjana wang di atas bakat sendiri. Bakat 'membuat orang faham'.

Tahun 2016, kelas saya memang tiada cuti. Ada pelajar bercuti tapi ada lagi yang mahu mulakan sesi. Ada pelajar habis SPM tapi ada pula yang baru nak struggle untuk SPM. Alhamdulillah, kata kuncinya, yakin bahawa rezeki adalah daripadaNya.

Petang ini semasa sedang menaip, dua orang lagi pelajar mendaftar. Sesi bermula hari Khamis ini insya'Allah. 
Semoga ada yang terbaca entri saya ini dapat menilai kembali apa yang anda minati dan jadikan ia sebagai satu punca rezeki.
Good Luck!