Wednesday, 30 December 2015

JAYYID JIDDAN! ALHAMDULILLAH.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 63

Hari ini 30 Disember, adik saya satu-satunya pergi sekolah ambil keputusan peperiksaan. Di Kelantan, konsep pembelajaran di sekolah-sekolah agama rakyat agak berbeza dengan sekolah biasa. Adik saya bersekolah di Maahad yang merupakan sekolah agama rakyat di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Kelantan. 

Di Maahad atau sekolah agama rakyat yang lain, subjek yang diajar adalah lebih banyka berbanding di sekolah menengah biasa. Antara subjek lain yang kami pelajari ialah Tafsir, Hadis, Al- Qur'an, Sirah, Nahu, Soraf, Tauhid, Feqah, Adab Nusus, dan banyak lagi. Teknik yang utama untuk subjek-subjek ini ialah menggunakan teknik faham dan hafal. Bunyi macam banyak tapi semua subjek-subjek ini memang sangat seronok untuk dipelajari. Alhamdulillah. Sungguh, kadang-kadang hati saya terasa rindu dengan zaman-zaman hafal menghafal.

Hari ini adik saya ke sekolah menerima keputusan SMU. SMU atau Sijil Menengah Ugama adalah wajib diduduki oleh pelajar Tingkatan 4 di setiap sekolah agama rakyat di Kelantan. Alhamdulillah, dia mendapat JAYYID JIDDAN. Walaupun bukanlah yang paling cemerlang tapi saya bersyukur sekurang-kurangnya saya melihat usaha dan semangat dia menghafal setiap pelajaran. Yang paling cemerlang ialah Mumtaz. Agak kecewa katanya tapi saya katakan, mungkin setakat itu usaha kita, nanti boleh usaha lagi untuk SPM tahun depan.


Keputusan adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Tapi kalau mendapat apa yang tidak diharapkan jangan cepat mengalah kerana setiap yang terjadi ada terselit 1001 hikmah yang tidak kita sedar.
Tahniah buat adikku walaupun tidaklah mendapat keputusan yang paling cemerlang, sekurang-kurangnya, usahamu tidak sia-sia. I am proud of you.

Kata adik saya, kawan-kawan yang lain jauh lagi hebat, Mumtaz semuanya... Tapi dia hanya mendapat dua Mumtaz saja. 
Sebab itulah kena usaha awal-awal dik kalau mahukan kejayaan.

Sijil atas ini saya punya. Hehe. Walaupun tidak cemerlang sangat tapi saya memang jenis redha saja berapa yang saya dapat sebab saya tahu usaha saya setakat mana.
So, buat adik-adik di luar sana jangan sedih ya, usaha lagi. Mungkin tak semudah bagai dikata tapi ingat, ilmu bukan di sijil semata tapi harus dicerna dalam jiwa dan diamal setiap masa.

Gambar ini sekadar perkongsian bukan niat mahu menunjuk-nunjuk sebab keputusan kami dua beradik memang tak cemerlang pun. Hehe.
Sekadar terimbau kenangan lama.
Rindu zaman berdiri atas kerusi sebab tak ingat bila ustazah soal.

Sebenarnya, menarik juga cerita kami di sekolah agama rakyat. Saya tahu ramai yang tidak jelas tentang kedudukan sekolah agama di Kelantan. Ramai menyangka kami belajar seperti sekolah Maahad biasa dan berita suka menggemburkan tentang rosaknya akhlak pelajar sekolah agama. Dan suka meletakkan nama 'pelajar sekolah agama' ditangkap khalwat sebagai satu bahan sensasi mereka.
Kelak saya akan kongsikan cerita lagi Insya'Allah.



Tuesday, 29 December 2015

2016 is coming...

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 62

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Masih diberi kesempatan dan peluang untuk menghirup udara dan melihat alam ciptaan Tuhan Yang Satu.

Bagaimana dengan perancangan tahun baru kalian? 
Sudah mula menyiapkan senarai pencapaian terbaik 2015 dalam hidup kalian atau sudah menyiapkan senarai apa yang harus dicapai di tahun akan datang?


Hometuition saya sudah mula diterima di kampung saya. Saya harap legasi kecil ini terus bersambung dan tersebar dalam usaha membantu pelajar-pelajar di kampung celik akan kepentingan ilmu.
Bukanlah mengatakan pelajar di kampung itu tergolong dalam golongan pelajar lemah. Bahkan kadang-kadang mereka pula lebih bijak dan hebat.
Maksud saya, kadang-kadang mereka tidak berjumpa orang yang boleh menunjukkan jalan. Rata-rata pelajar yang saya terima setakat hujung tahun 2015 ini, mereka mengatakan tidak sempat mengejar apabila guru mengajar di kelas. Pergi ke pusat tuisyen, rakan-rakan yang lain sudah jelas dahn faham tapi mereka masih terkial-kial mencari jawapan.
Marilah kita menjadi sebahagian daripada penyumbang kejayaan anak pelajar ini.

Mulai tahun depan, saya akan mula membuat kertas soalan khas hanya untuk mereka yang belajar bersama saya, Insya'Allah. 
Niat saya cuma satu, apa yang tidak jelas di sekolah atau pusat tuisyen saya akan bantu sehingga mereka faham. 
Semoga semua pelajar hebat ini berjaya di dunia dan akhirat.
Entri kali ini sekadar untuk membangunkan semangat yang suka tertidur.
Bittaufiq wannajah.

Saturday, 26 December 2015

DOA

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 61

Jangan dipisahkan hati kita dengan doa. Mulakan setiap pekerjaan dengan doa. Hari ini ringan tangan saya ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat semua tentang senjata rahsia yang satu ini. DOA. Mulakan kelas anda dengan doa supaya mudah pelajar menerima setiap pelajaran, fasih lidahnya menyebut pembacaan, terang hati untuk mengingat pelajaran, jelas sebutan kita untuk mengajarkan ilmu Tuhan.

Bismillah...


Semoga bermanfaat.


Monday, 21 December 2015

KELAS MALAM SEMPENA CUTI SEKOLAH

TEKS: Faizah Yusoff
#Entri 60

Beberapa minggu yang agak panjang untuk saya tempuh. Tapi saya tetap akan meneruskan penulisan di medan blog ini. 

Semalam saya buka kelas di rumah, bersama tiga orang pelajar lelaki peringkat SPM dua orang dan PT2 seorang. Saya yakin untuk buat kelas mereka dalam satu sesi yang sama mereka bukanlah dalam kalangan pelajar yang lemah kritikal. Lagipun kelas mereka hanya berbentuk kelas pembelajaran asas yang mana saya mengajar semula apa yang mereka belajar di Tingkatan 1,2 dan 3 yang akan dibangkitkan kembali di peringkat SPM.
**Kelas campur sebegini adalah tidak digalakkan buat tutor yang baru ya, sebab agak sukar dikawal.
Bukanlah bermakna saya sudah mahir dan berpengalaman benar, tetapi dalam kelas saya, saya akan melihat tahap pencapaian mereka dan apa yang ibubapa mahukan. Macam kelas ini, ibubapa mahukan anak mereka belajar berkumpulan asalkan mereka tahu apa yang mereka belajar dan jelas arahan saya pada mereka.

Tiba-tiba saya menjadi ustazah pula semalam. Begini kisahnya, semalam pelajar saya agak 'tiada mood' mahu belajar Matematik. Kelas saya bermula pada jam 9 malam dan tamat pada pukul 10 malam sahaja. Saya risau juga sebabnya tajuk yang saya ajarkan semalam memang sudah tiga malam saya ulang. Pelajar PT2 saya memang siap-siap minta dia siapkan tajuk poligon. Saya akan beri tugasan tajuk BERAT vs. RINGAN. Maksudnya kalau tugasan PT2 saya berikan yang susah atau berat, SPM pula saya akan berikan latihan mudah dan ringkas dan tak memerlukan teknik yang banyak. Begitulah seterusnya.

Berbalik kepada cerita ustazah, bila pelajar nampak 'lain macam' saya pun mula ambil buku PENDIDIKAN ISLAM yang memang elok tersusun di atas meja belajar di rumah saya. Saya minta pelajar PT2 buka cerita tentang Sirah. Saya mula tanyakan tentang Khalifah-Khalifah Islam. 

SAYA: BERAPAKAH BILANGAN KHALIFAH ISLAM LEPAS KEMANGKATAN RASUL S.A.W?
PT2 : SEMBILAN.
SPM 1 : *senyap*
SPM 2 : 4 ORANG

Kemudian mereka mula gelak-gelak menyakat saya, ''MESTI CIKGU PUN LUPA NI KAN, SEBAB TU TANYA KAMI, KAN KAN KAN?

Saya diam saja sambil tersenyum. Kemudian saya tanyakan pada yang sebut 4 orang tadi, siapa nama khalifah-khalifah tersebut. Lancar dia menyebut satu persatu. Alhamdulillah, ada juga yang ingat. Saya pun sambung, sekurang-kurangnya awak kena ingat perkara asas ni.

Lagi saya sambung 'CERAMAH PENDEK' saya, saya ceritakan tentang bahaya Syiah dan cabaran pelajar hari ini. Mereka khusyuk dengar sambil tunjuk muka kelat. Kata mereka, takut rasanya nak sambung belajar lepas SPM, sambung di universiti. Nanti terjumpa rakan yang salah. Saya nasihatkan mereka, sebab itulah pegangan agama harus teguh. Kalau pegangan awak teguh di mana pun awak berada, Insya'Allah, diri dan hati tetap terjaga.

Sekian. Sekadar perkongsian. Kalau sekiranya tiba-tiba pelajar nampak 'takde mood' pancing minat mereka dengan tazkirah ringkas atau kisah-kisah yang boleh menaikkan semangat mereka. Dan sekurang-kurangnya, malam itu mereka tak dapat nak hadam pelajaran Matematik, tapi ada perkara lain yang berfaedah yang dapat mereka hadam, Insya'Allah!
Semoga bermanfaat.


Thursday, 17 December 2015

PUPUK MINAT MEMBACA

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 59

Membaca.
Saya pernah mempunyai seorang pelajar Tahun 3 yang sangat petah dan bijak. Selama hampir setahun saya mengenali keluarga ini. Rumahnya berdekatan dengan sebuah sungai kecil memang menenangkan jiwa tiap kali saya ke sana. Keluarga yang sempurna di mata saya. Alhamdulillah. 
Baiklah, bukan itu yang saya nak kongsikan di sini. Tetapi satu 'tabiat' keluarga ini yang buat saya bangga mengenali mereka menjadi seorang daripada kenalan keluarga ini.

Tabiat membaca.
Mereka berkongsi minat membaca.
*Tips untuk ibubapa yang mahu anak-anak bijak semulajadi*

Saya suka untuk berkongsi di sini walaupun ramai orang tahu membaca tu satu tabiat yang sangat baik dan menyeronokkan dan boleh dipupuk dari kecil tapi berapa ramai yang menganggap ia sebagai satu perkara untuk diamalkan bila berkeluarga kelak. 
Keluarga ini mempunyai sebuah perpustakaan mini di rumah mereka. Mungkin boleh dikatakan kerana mereka mampu. Tapi walaupun tanpa mini perpustakaan pun kita mampu sebenarnya melakukan aktiviti ini dan jadikan ia satu habit di dalam keluarga kecil kita.
Insya'allah, saya pun akan mencuba kelak memandangkan sekarang masih belum terbina keluarga kecil idaman saya, tapi kelak Insya'allah!

Dulu, semasa menuntut di sekolah menengah, satu sikap yang saya tak jumpa di tempat lain ialah budaya 'membawa buku' di sekolah saya. Saya bersekolah di sekolah agama milik kerajaan negeri dan guru-guru kami kebanyakannya terdiri daripada guru-guru pondok di sekitar Kelantan.
Guru-guru kami memang akan memupuk budaya ini sejak kami melangkah ke Tingkatan 1. Maklumlah kebanyakan pelajar memang tak gemar membaca. Kami diwajibkan membawa sekeping nota atau buku hafalan atau buku akademik kalau mahu ke mana-mana di sekitar sekolah. Kecuali tandas la kan. Tapi punya lah masa tu kami terdidik dengan budaya ini, sampai ke tandas pun kami bawa. Tapi tinggal di luar tandas la ya. 
Memang berkesan.
Sebabnya? Kami memang akan sentiasa memegang buku. Bukan pegang sahaja ya, bila ada buku di tangan automatiknya sambil menunggu kawan-kawan atau waktu rehat kalau berseorangan kami akan mula membelek apa yang ada di tangan. Malah bila bersama rakan, automatiknya kami akan berkongsi dan bertanya apa yang tidak faham. Subhanallah. Walaupun pada awalnya, kami hadir ke sekolah dengan latar belakang yang berbeza, tapi kami terpupuk dengan budaya yang sama.

Bolehlah rakan tutor semua jadikan ia sebagai satu budaya sihat. Kenapa? Kenapa penting menjadi seorang tutor kena membaca dan jadikan ia satu tabiat? Kerana kita terdedah dengan situasi yang pelbagai yang memang kadang-kadang kita tak pernah temui dan hadapi pun dalam hidup.
Sebab itulah saya berkongsi idea ini di sini. 
Satu solusi yang mudah tapi berat untuk dilakukan.
Sampai sekarang, saya seakan sukar tidur kalau tak pegang satu buku sebelum tidur walaupun hanyalah sebuah komik zaman dahulu kala. Itulah saya. Malah anak pelajar saya suka sangat kalau saya katakan "Baiklah, buat tugasan ini sampai siap nanti cikgu cerita kisah best"
Pastinya tugas yang saya berikan akan dibuat dengan jayanya! 

Membaca walau di mana sahaja.

Dalam entri seterusnya saya akan sambung cerita tentang membaca untuk pelajar pula ya. Tips berkesan buat penggemar buku supaya cemerlang dalam pelajaran dan rakan tutor boleh kongsikan bersama pelajar nanti. 
Jumpa lagi, semoga bermanfaat!




Monday, 14 December 2015

ISU PELAJAR 1 : KELIRU.

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 58

?
?
?
Semasa menuntut di sekolah menengah, saya memang pernah belajar di pusat tuisyen yang lebih 5km dari rumah. Pada masa tu, sekitar tahun 2007, memang tak banyak pusat tuisyen berbanding dengan hari ini. Bila diingat balik, macam terasa rajin juga rupanya saya dahulu ya. Hehe. Sekarang, tak sampai 15 minit perjalanan mesti akan nampak papan tanda pusat tuisyen. Tapi kenapa hometuition juga yang jadi pilihan walaupun tak semua yang kenal istilah 'hometutor' ini?

Sebab paling utama ialah bila kelas penuh memang cikgu tak dapat beri tumpuan kepada setiap pelajar. Dan yang agak 'lambat' akan ditinggalkan terkial-kial. Terutamanya bila awak memang jenis pelajar 'tiada mulut'. Istilah 'tiada mulut' di sini bermaksud tak suka menonjol dan tak banyak bertanya di dalam kelas tak kisah lah tanya pada guru atau pada rakan.
Sebab kecilnya, memang cara penyampaian yang cikgu gunakan tidak berkesan pada pelajar tersebut. Mungkin terlalu laju atau memang dah tak berapa laju tapi suka 'skip-skip' penerangan.

Pengalaman saya, kebanyakan pelajar yang menghubungi 'hometutor' ini bukanlah terdiri daripada pelajar tercorot dalam kelas, bahkan ada dalam kalangan mereka yang memang aktif dan gemar bertanya di dalam kelas sama ada pada guru atau rakan sebaya. Tapi cara penerangan cikgu atau rakan mereka tidak dapat memahamkan mereka dengan sebaiknya. Akhirnya mereka main buat saja itu teknik tanpa faham pun apa yang mereka buat. Dan bila dapat soalan KBAT, memang terus angkat 'bendera putih'.

Seperti yang sering dihadapi pelajar hari ini, saya dahulu juga mempunyai isu yang sama, otak terasa berkecamuk. Apa yang diterangkan oleh guru semacam angin lalu saja tidak langsung menyinggah di minda. Dan cikgu saya akan terus mengajar kerana kebanyakan pelajar lain sudah mula menghadam apa yang diajar dan saya terus menerus tidak faham dan terasa ketinggalan. Tanpa disedari, semakin hari topik tersebut terus saya tinggalkan sampailah dekat dengan peperiksaan dan pada masa ini memang hati sudah remuk redam.

Solusi pada masalah ini ialah : MESTI BERTANYA!

Dahulu, saya cukup benci pada orang yang suka bertanya. Saya rasa mereka merasakan mereka lebih tahu daripada orang lain dan seakan-akan mahu menunjuk kefahaman mereka yang agak 'lebih sedikit'. Bertapa mundurnya minda saya waktu itu. Sebenarnya, bertanya adalah satu latihan kefahaman yang baik. Satu proses terbaik untuk menambahkan pemahaman orang yang bertanya dan orang yang berada disekelilingnya.

Saya yakin, ada hometutor yang akan berdepan dengan pelajar yang 'tiada mulut' ini. Bila satu ditanya, satu dijawab. Nampak semasa kita ajar, seakan faham tapi bila peperiksaan, keputusan makin rendah berbanding sebelum buat 'hometuisyen'. Dan ibu ayah sudah mula menghantar keputusan anak mereka dan bertanya solusi pada kita. Nah, beritahu pelajar anda, SILA TANYA SEKIRANYA TIDAK FAHAM. Jangan simpan sampai masuk tajuk baharu. Akhirnya, diri sendiri merana.

"Tapi cikgu, saya tak berani..."

Baiklah, pertama sekali, mulakan latihan bertanya ini sesama rakan sebaya.
Kemudian, anda mesti akan mempunyai keberanian berjumpa dan bertanya guru secara perseorangan untuk bertanya. Atau boleh diajak rakan.
Akhirnya, bila sudah biasa, anda akan merasakan bertanya di dalam kelas itu adalah satu perkara yang biasa. Insya'allah.

Secara ringkasnya, bertanya adalah amat penting dan memberi kesan yang besar. Banyak beban atau ketidakfahaman kita yang dapat diselesaikan pada masa itu juga. Jadi tiada beban lagi untuk kita momokkan di dalam minda.
Paksa diri untuk menjadi berani. Selamat mencuba.

*Ada satu perkongsian lucu, kalau awak takut untuk bertanya di dalam kelas kerana sikap gugup yang melampau, fikirkan seminit, guru di depan awak sedang memakai baju badut atau wajah bengis cikgu tersebut kita bayangkan sedang membuat lawak. Nah, awak pasti tidak takut lagi*




Sunday, 13 December 2015

DISEMBER.

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 57

Disember datang lagi. Sudah hampir ke pertengahan Disember rupanya. Tentang kelas hometuition saya, alhamdulillah masih berjalan seperti biasa. Malah saya telah menerima seorang pelajar baru lagi. Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah. Bagaimana dengan kelas sahabat semua?

Kalau anda seorang surirumah, dan sekarang sedang balik bercuti, boleh sahaja tangguhkan kelas sementara mahu pulang ke desa halaman. Hanya memerlukan persetujuan daripada ibubapa pelajar sahaja. Itulah majikan sementara kita. Majikan yang biasanya mudah untuk dibawa berbincang dan sangat mudah untuk mendapat cuti. Bestkan kerja macam ni?
Kawan-kawan saya yang kerja ikut masa pejabat selalu kata, "nampaknya aku pun nak kerja macam kau lah".
Saya katakan pada mereka, "kalau tak cukup tabah sila mulakan kerja ini sebagai separuh masa sahaja. Bukan mahu menurunkan persen semangat mereka, sekadar nasihat untuk permulaan baiklah jangan cepat buat keputusan untuk berhenti kerja. Setiap kerja ada cabarannya tersendiri.

Sekarang saya memang cuba mengaktifkan diri mengajar di rumah sahaja. Bulan hadapan mungkin saya akan mengajar semula pelajar lama saya yang bercuti untuk bulan ini. Jadual yang mudah disusun. Pendapatan lumayan hanya dengan sedikit perkongsian ilmu bersama pelajar.

Sedikit nasihat saya, hati kena ikhlas kalau mahu lama berkhidmat dalam tugasan penuh cabaran ini. Masa jangan kedekut kerana ia juga sebahagian daripada sedekah. Semoga bermanfaat.



Thursday, 10 December 2015

MENYESALKAH MENJADI TUTOR?

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 56

Waktu lapang terasa sangat terhad beberapa hari ini. Buka blog tak sempat menaip menulis entri dah kena keluar pergi situ sini. Almaklumlah 'orang penting' kat rumah ni. Insya'allah saya akan terus gigihkan hati berkongsi pandangan dan pengalaman menjadi hometutor selama ini. Walaupun tak seberapa tapi mungkin ada cikgu tuisyen di luar sana yang berhadapan dengan situasi yang sama dan akhirnya sampai terasa 'tersalah' memilih kerjaya sebagai cikgu tuisyen ini. **Harap tak adalah sampai menyesal.

Baiklah, saya pernah mengalami situasi di mana terasa ''hai lah menyesal pulak aku terima kelas ni, dah lah pelajar ni susah nak handle, mak pulak suka ikut kepala sendiri, asal pergi kelas kat rumah dia ja, rasa tension, asal pegi je rasa nak tension!''
Ini monolog dalaman orang kerja mengajar tuisyen yang paling lama dua jam.

''Hai lah, hujan lah pulak pagi ni, kenapa la bos ni tak pegi outstation ja hari ni? Bolehlah aku ambil cuti demam kura-kura hari ni, malasnya nak bangkit dari tidur..."
Ni pula monolog dalaman orang kerja 8 jam sehari 5 atau 6 hari seminggu.

Agak-agak apa yang kita rasa??? Masih menyesal ke memilih jalan ini sebagai hala tuju kita?
Kesimpulannya, setiap jalan yang kita pilih punyai liku yang berbeza. Setiap orang punyai pandangan masing-masing tentang pilihan dalam hidup.

Sebenarnya, saya bukanlah mahu menyeru semua orang supaya mengajar tuisyen apatah lagi meletakkan menjadi 'hometutor' adalah kerja rangking paling mulia, sememangnya bukan itu yang nak saya sampaikan. Saya cuma mahu meletakkan tugas sebagai tutor ni bukanlah kerja remeh yang semua orang boleh dan mampu buat. Maka berbanggalah menjadi sebahagian daripada pendakwah kecil di bumi Tuhan, mengajar secebis ilmu dan memperbetul secubit akhlak si pelajar yang kini kebanyakan kian merosot.

Kenapa? Kenapa mesti selalu ingatkan hati bahawa tugas ini adalah bukan tugas sembarangan? Kerana saya sedar pandangan masyarakat kita terutamanya jika kita tinggal di kampung, yang selalu menganggap :
''Anak aku tak kerja pun, mengajar tuisyen saja''... Dan ayat ini boleh menjadi satu 'DURI' atau 'PEMBAKAR SEMANGAT'.

Semoga entri kali ini membuat kita semua termasuk saya merenung sejenak dan yakin dengan rezeki yang Allah tetapkan untuk kita.

Sunday, 6 December 2015

AWAK ORANG BIJAK, TAKPE LAH... SAYA???

Teks : Faizah Yusoff
#Entri 55

Isu terkini pelajar yang mendapat keputusan tercorot ialah : saya bukan pelajar pintar!
Kononnya, walaupun mencuba sedaya upaya siang dan malam belajar, masih juga mendapat keputusan sederhana atau lulus 'cukup-cukup makan' sahaja.
Perbahasan tentang isu ini memang tak akan pernah habis dan ini sebenarnya menunjukkan kejahilan dan perasaan rendah diri yang terlampau oleh seseorang yang bergelar penuntut ilmu.
Ini antara isu yang selalu saya jumpa bila berhadapan dengan pelajar sekolah menengah. Diulangi, pelajar sekolah menengah. Mungkin kerana pelajar sekolah rendah, mereka lebih memikirkan tentang bermain dan komitmen sedikit sahaja tentang pelajaran berbanding pelajar sekolah menengah. 
Hal ini bila saya perhatikan, adalah berpunca daripada persekitaran dan perkembangan minda pelajar. Apabila mula menginjak ke usia remaja, mereka mula memikirkan komen orang lain tentang diri mereka. Mula pandai menilai diri sendiri dan memerhati persekitaran mereka. Jika mereka mampu mencerap semangat positif di usia ini, maka mereka pasti akan berjaya kelak. Tapi kebanyakannya, memang selalu cepat pudar semangat dan kurang yakin pada potensi diri.

Be positive!!!
Sebenarnya keazaman yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam apa jua yang kita lakukan itulah kunci kepada kejayaan dan akan menolak kita mara ke hadapan dengan berani.
Otak yang geliga atau rajin semata hanyalah sebahagian daripadanya. Belajar sampai larut malam mentelaah bertimbun-timbun buku tapi kalau tak faham tiada gunanya.
''Kerja harus minimum, hasilnya harus maksimum!''
Itulah sebenarnya rahsia kejayaan.
Sebagai tutor, kita cuma bertindak sebagai sebahagian daripada usaha pelajar. Kita adalah orang yang mampu mengubah persepsi pelajar daripada negatif kepada positif. Mengajar harus dari hati dengan niat membantu mereka mengenal potensi diri. 
Berbanggalah menjadi sebahagian daripada kejayaan anak pelajar. Semoga entri kali ini mampu membakar semangat yang kadang-kadang ke laut apabila sering berhadapan dengan pelajar yang tiada semangat dan sentiasa berfikiran negatif.
Katakan pada mereka dengan yakin, ''anda bukanlah orang yang bodoh!''
Usaha, doa dan tawakkal. Itulah senjata orang muslim yang mukmin.

P/S: Akhir-akhir ini entri saya lebih kepada motivasi diri kerana aktiviti mengajar agak terbatas. Semua pelajar saya tengah semangat bercuti. Sebelum nak lahirkan pelajar berminda positif, kita sebagai tutor terlebih dahulu mestilah menjadi orang yang positif. Insya'Allah!

Wednesday, 2 December 2015

SAYA PELAJAR HEBAT!

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 54


Hari ini niat di hati ingin berkongsi semangat belajar bersama para pelajar. Mungkin sahabat semua bolehlah menyampaikan secebis ingatan ini buat para pelajar sahabat semua. Kadang-kadang ada pelajar yang sangat mudah berputus asa, terutamanya apabila sering gagal walaupun belajar sama saja dengan rakan-rakan yang lain. Isu ini memang akan selalu timbul dan acap kali mereka yang bergelar 'guru' akan jumpa. Bila jumpa guru di sekolah biasanya mereka lebih kepada nasihat secara umum, tapi buat hometutor, pastinya anda lebih dekat dengan pelajar. Sentuh jiwa remaja mereka secara halus insya'allah sampai mesejnya.

Ramai pelajar merasakan mereka ini lembap, tidak pandai macam orang itu orang ini. Berasa rendah diri bila sering dibanding-bandingkan terutama oleh ahli keluarga terdekat apabila keputusan lebih tercorot berbanding si kakak atau abang. Memang situasi ini seringkali dan sentiasa terjadi. Sampaikan mereka merasakan "buat apa lagi saya belajar dan hafal rumusan dan formula, saya memang bodoh!" 

Di sinilah kesilapan terbesar dan ramai pelajar tertipu dengan keadaan sedemikian. Kesilapan terbesar ini pelajar lakukan sehingga mengabaikan bakat semulajadi yang lain serta kebolehan yang ada dalam diri turut diabaikan. Sebenarnya, bukan salah pelajar 100%, tapi sogokan dan tekanan daripada orang sekeliling turut mempengaruhi emosi dan minda.

Sekarang, katakan pada mereka:
Cuba fikirkan kembali, sebenarnya kita semua mempuanyai peluaang yang sama sahaja. Sama ada kita bijakkah atau sering mendapat markah tercorot. TETAPI, terpulanglah pada diri sendiri sama ada benar ingin mencapai kejayaan tersebut atau tidak. Adakah sudah cukup bersungguh-sungguh kita berusaha? Atau cuma sekadar membuka nota seketika sebelum melelapkan mata?

Okey, ini adalah intro untuk menasihati pelajar yang cepat mengeluh ya, nanti kita sambung lagi. Nasihat kena berperingkat barulah semangat mereka yang luntur akan bersinar kembali. Wah macam hebat pula bunga bahasa saya kali ini. Semoga bermanfaat ya.

Hai Tutors...

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 53

Assalamualaikum, banyak lagi rasanya saya perlu kemaskini blog saya ini, buat kemudahan tutor dan rujukan pelajar juga ibu bapa. Oh ya, hari ini saya nak berkongsi maklumat buat tutor-tutor atau cikgu tuisyen yang baru hendak memulakan langkah belajar mengajar. Saya tahu, hari ini sudah semakin ramai orang menjadi hometutor sebagai satu platform untuk menjana wang sampingan. Almaklumlah semua barang keperluan dah melonjak naik melepasi tahap kemampuan. Semalam pun semasa saya ke kedai runcit berbekalkan RM3 dah tak boleh dapatkan mee kuning Cap Sampan tu, rupanya RM1.20 sepeket, sedangkan sebelum ini RM1 saja. Okey, tu cerita semalam.

Hari ini, saya nak buka sedikit minda kita dengan merujuk beberapa website tentang hometuition, saya kongsikan khas untuk anda tenaga pengajar hebat. Tak payah fikir macam mana nak berpromosi dah, sebab dah ada inisiatif orang tengah sebagai alat untuk memperkenal cikgu tuisyen dengan klien (ibubapa) di alam maya ini.

Pertama, TutorKami.com. Tutor kami adalah platform terbaik anda untuk menjadi tenaga pengajar yang sering pening cara untuk 'promote' diri sendiri. Tutor kami menjadi orang tengah dan bertapak di hampir semua negeri kerana mereka adalah sebuah agensi yang menghubungkan kita, para tutor dan ibu bapa. Ibu bapa hanya menghubungi mereka dan menyatakan ciri-ciri sesi pembelajaran yang mereka kehendaki dan pihak TutorKami akan 'matching'kan tutor mana dalam senarai tutor mereka. Elaun semua akan diuruskan oleh pihak TutorKami. Insya'Allah, setakat ini, memang boleh dipercayai. Cubalah!

Kedua, HomeTuition2u. Mereka juga seperti tutorkami lebih kepada agensi penemu jodoh pertemuan ibubapa dengan tutor. Ramai sangat tutor yang mendaftar di sini, mungkin kerana pasaran mereka lebih luas mungkin. Bolehlah mencuba ya!

Ketiga, HometuitionInfitah. Infitah lebih kepada kumpulan yang bergerak dari negeri ke negeri yang berpusat di Selangor. Mereka terdiri dari otai-otai hometutor hebat yang berlatarbelakangkan bukan bidang pendidikan tetapi minat mengajar. Sekiranya anda sahabat berminat menjadi sebahagian daripada kumpulan mereka, bolehlah menghubungi pengurusan negeri masing-masing ya. Sebab mengikut pengalaman saya, Infitah memang mempuyai pengurus di hampir setiap negeri. Mereka antara kumpulan hometuition yang mana pengurusan turut 'turun padang' mengajar dan aktif menjalankan program-program pendidikan di seluruh Malaysia. tak rugi bersama orang hebat! Insya'Allah.

Cukuplah 3 cadangan untuk hari ini ya. Sebenarnya banyak yang menjadi 'orang tengah' dalam hometuition ini. Setahu saya pasaran di negeri saya Kelantan pun dah makin meluas, tapi saya tetap dengan cara saya. macam degil pun ada ya. Tak ade lah, saya cuma berniat mahu majukan dan pandaikan anak remaja di kampung saya saja, jadi biarlah saya bergerak dari rumah dahulu, tapi saya memang ada sedikit pengalaman bersama-sama agensi-agensi hometuition di atas. Semoga entri kali ini memberi sinar harapan buat sahabat semua ya!