Saturday, 31 October 2015

BAGAIMANA KALAU TERLAMBAT?

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 23

Pagi itu, kelam kabut saya bangun dari tikar sejadah. Rupa-rupanya saya sudah terlewat ke kelas. Masya-Allah! Boleh pula saya tertidur kembali selepas siap solat subuh tadi. Ini gara-gara menonton TV lewat malam la ni. Saya suka menonton bila semua orang dah masuk tidur, cerita yang selalu saya nantikan tidak lain tidak bukan mestilah CSI, siri CSI Cyber di Astro AXN. Selain CSI saya suka menonton Special Victim Units (SVU), Criminal Minds, Blacklist dan terbaru Quantico. Entah dari mana minat menonton siri penyiasatan seperti itu. 

Saya buka langkah untuk mandi dan bersiap-siap ala kadar, cukup untuk menampakkan diri sebagai seorang tutor, sambil tangan laju menaip mesej pesanan ringkas kepada klien berkenaan : Assalamualaikum, kakak. Maaf saya lewat sedikit hari ini. Kalau kakak ada hal, saya gantikan hari lain ya?. *Trett -Mesej Dihantar-
Usai bersiap-siap saya mengambil buku-buku yang memang tersedia di dalam beg Scha kesayangan saya dan terus memecut motor CCC pujaan hati. Hampir 15 minit ke rumah pelajar berkenaan.

Sampai di sana, ibunya tiada di ruang tamu. Hanya pembantu rumah yang membuka pintu. Dalam hati mula meningkah 'mati lah saya, ini baru kali ke berapa kelas, saya sudah terlewat sebegini'.
Saya pun mengajak si dua beradik memulakan sesi. ''Cikgu, saya tak mandi lagi lah, abang lah belajar dulu'', rayu si Adik. Saya diam. Saya pandang si Abang yang tengah syok menyuap nasi goreng bersama telur mata kerbaunya sambil menonton TV cerita kartun. Akhirnya, saya buka mulut, ''siapa-siapa saja lah, cikgu nak awak belajar je''. ''Cepatlah abang, jum kita belajar dulu, awak belajar dulu, awak siap dulu''.

Abang pun cepat-cepat menyudahkan suapan nasi gorengnya sambil berjalan ke meja belajar. Meninggalkan pinggan nasi goreng di atas sofa sebab nak sambung makan lagi selepas habis belajar. Hmmm, dalam minda saya mula berkata-kata, budak tetaplah budak, kalau tanpa orang tua, memang dia tak akan mampu untuk belajar moral-moral kehidupan.

Saya menanti di meja belajar. Sebenarnya meja belajar keluarga tersebut ialah meja makan. Dan saya meminta tisu untuk mengelap meja yang tertumpah sisa makanan. Hati saya menggigit geram, mana lah si ibunya. Mengharapkan pembantu yang berusia, saya rasa baiklah beliau siapkan sendiri hal di rumahnya. Kesian anak-anak makan membesar sendiri. Itu yang terlintas di benak saya ketika itu.

Saya memulakan sesi pembelajaran seperti biasa. Alhamdulillah tiada masalah anak-anak itu belajar. Setakat dua jam saya mengajar mereka kadang-kadang terlebih jam pula. Saya tidak kisah kalau memang tiada urusan penting selepas kelas. 

Baiklah, ini antara situasi yang kita akan jumpa dalam mendidik pelajar di tempat mereka. Pendek kata, belajar di tempat tidur mereka. Itu istilah tepat dalam menejelaskan lagi situasi 'hometuition'. Bagi saya, inilah satu cabaran yang boleh menguji ketahanan kita sejauh mana kita mampu bertahan dengan karenah orang yang kita jumpa. Dan sejauh mana kita boleh mengambil ia sebagai satu ikhtibar sebagai pedoman terbaik untuk kita tidak mengulang lagi perkara yang sama.

Catatan ini bukan untuk menakutkan tutor-tutor yang baru membuat keputusan untuk mengajar di rumah, tapi saya ingin jelaskan bahawa dalam hidup, kita kan berjumpa dengan pelbagai situasi yang tak dapat kita jangka. Semoga bertabah dalam menghadapi cabaran sebagai cikgu di alaf baru. 
Saya bangga dengan kerja saya kerana saya yakin setiap kelemahan dan kekhilafan orang yang saya jumpa, akan jadikan saya lebih belajar tentang hidup.
Semoga bermanfaat.


**Cerita yang saya kongsikan adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri dan teman-teman seperjuangan. Saya kongsikan di sini agar kita semua sentiasa menjadi tutor atau cikgu tuisyen yang bersedia walaupun masih baru di medan ini. Semoga berjaya.

Friday, 30 October 2015

SEDEKAH

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 22


Hujan lagi. Alhamdulillah. Seperti biasa, hujan sering membuatkan saya terfikirkan macam-macam. Kadang-kadang saya terfikir apa tujuan saya bersama komuniti ABDR dan objektif saya bersama sahabat-sahabat di akademi ini? padahal bukan saya tak boleh ber'blog' sendiri. Jawapan yang saya peroleh yang lahir dari hati ialah perkongsian.

Sebenarnya kita berkongsi maklumat untuk saling membantu dan menguatkan antara satu sama lain pun dikira sedekah. Skop sedekah bukan sekadar sedekah di tabung masjid atau sedekah pada yang memerlukan. Bagaimana tu? Baiklah contohnya saya bina blog untuk berkongsi maklumat tentang cara nak menjana wang dengan tuisyen. Tak kiralah menjadi cikgu tuisyen di pusat tuisyen atau menjadi tutor dari rumah ke rumah atau menjadi tutor di rumah sendiri. Pelbagai idea yang mampu saya kongsikan yang pernah saya alami sendiri atau daripada perkongsian rakan-rakan tenaga pengajar tuisyen yang saya kenal boleh saya cerita di blog ini.
Yang penting perkara yang kita kongsikan itu boleh memberi manfaat kepada orang lain dan tidak bertentangan dengan suruhan-Nya.
Itulah sedekah.
Ada rakan ABDR yang lain pula berkongsi tentang masakan, maklumat kesihatan, maka ia adalah sedekah di mana ilmu dan pengalaman kita kongsikan dengan percuma untuk membuka minda pembaca bagaimana untuk menjalankan sesuatu perkara yang diminati dalam masa yang sama boleh mencipta nilai wang. Konsep sedekah jangan kita sempitkan ya sahabat semua.

Baiklah dalam bidang tuisyen ini, bagaimana caranya kita mahu bersedekah tanpa melibatkan wang?

1. Gunakan masa yang kita peroleh untuk mengajar sebaiknya. Contohnya, kalau seorang pelajar masih belum dapat menjawab soalan, tapi masa sudah cukup, cubalah habiskan sampai dia faham. Tapi harus diingat, hormati juga masa pelajar lain. Tanya dahulu, kalau sesiapa yang kena balik awal (kalau tuisyen di rumah atau pusat tuisyen), maka benarkan dia balik dahulu.
Sedekah sedikit masa dan tenaga walaupun kita tak dibayar untuk masa tambahan tersebut.

2. Sekiranya kita seorang tutor, kita semestinya ada perjanjian dengan ibubapa untuk tempoh sejam setengah atau dua jam berlangsungnya kelas, kita akan dibayar sekian-sekian, Tapi tak salah kalau lebihkan masa. Anggaplah itu satu bonus untuk pelajar. Tak rugi bersedekah.

3. Yang ini perkara yang teringin saya lakukan tapi masih tiada kesempatan. Pergi ke rumah anak-anak yatim dan minta kebenaran untuk buat tuisyen percuma untuk pelajar-pelajar secara bulanan atau mingguan. Semoga saya berkesempatan juga buat aktiviti ini. 

4. Situasi di mana kebanyakan ibubapa sering terlupa, anak-anak perlukan perhatian. Kadang-kadang bila ke rumah pelajar 1001 isu yang akan kita jumpa, tapi jujurlah dengan diri sendiri. Jika mereka berkongsi cerita, cuba beri respon yang paling baik dan cubalah menjadi orang tengah yang boleh meredakan bukan memanaskan lagi situasi ya. Sedekahkan pendapat yang bernas bagi menjernihkan suasana.

Sedikit pengalaman saya, seorang bapa pernah merotan anaknya yang sedang tuisyen betul-betul di depan saya di meja belajar. Isunya si anak menjawab apabila dia sedang bercakap dengan anak yang lain. Saya kelu sekejap tapi cuma bertenang. Mungkin betul salah si anak menjawab tiba-tiba dan boleh dikatakan 'agak biadab' tapi wajarkah merotan di depan tetamu? (Pada masa itu saya adalah tetamu beliau).
Sebagai seorang tutor, sahabat jangan pula terlalu emosi. Apabila pelajar berkenaan sudah agak tenang, saya tegur kesilapannya. Saya katakan 'papa sayang awak, sebab itulah awak kena rotan'. Dia diam sahaja. saya sebutkan kesalahan si anak supaya dia tahu kenapa papanya rotan. Dan alhamdulillah akhirnya dia mengangguk faham dan mula menulis kembali.

 Dan mungkin pelbagai lagi situasi yang akan sahabat jumpa.Bagi suri rumah, saya lebih syorkan buat tuisyen di rumah sebenarnya. Satu kelebihan sekiranya anda sedap mengaji al-quran dan pada masa yang sama boleh mengajar akademik. Luangkan sejam-dua jam sahaja untuk mengajar di rumah. Bolehlah menampung sedikit keprluan. Insya'allah. Semua orang boleh mengajar.

Setakat ini sahaja kali ini ya. Semoga bermanfaat.

Thursday, 29 October 2015

SERONOKNYA BELAJAR BAHASA INGGERIS

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 21
Musim tengkujuh sudah mula mengambil alih pantai timur. Terasa ala-ala turun salji dari langit. Sejuk dan menyegarkan. Alhamdulillah.
Hari ini saya ingin berkongsi tentang teknik belajar bahasa inggeris buat mereka yang mampu menguasai bahasa inggeris dengan baik. Suka saya jelaskan di sini, kelas bahasa inggeris memang sangat laku keras. Semacam menjual jamu dah saya ni. Tapi memang ramai ibubapa mahukan anak mereka menguasai bahasa inggeris.
Teknik penggunaan warna dan bentuk dalam permainan ini sunguh menarik. Sebenarnya ia merupakan satu teknik yang dijual beribu ringgit ya. Dan rezeki saya apabila diperkenal secara tak langsung dan boleh menggunakan alat bantu mengajar ini.
Ia dikenali sebagai 'fun thinkers' yang diperkenal oleh Grolier. Anda semua pernah dengar tak Grolier ni? Kind of word play by building vocabulary with colours, shapes and letters. Ada dalam 6 peringkat atau '6 levels' kalau tak silap saya dalam satu beg fun thinkers ni.
Grolier bertemakan 'in-home learning expert' dan kalau tak salah saya ia merupakan syarikat antarabangsa. Untuk tahu lebih lanjut bolehlah cuba lihat www.grolier-asia.com.
Saya cuma boleh share sedikit sahaja ya sahabat semua. Kalau ada yang memang mahu tumpukan pada pendidikan bahasa inggeris awal kanak-kanak, saya sangat mencadangkan games ini.
Caranya ialah dengan menyusun kotak-kotak nombor dan sekejap sahaja pelajar boleh mengingat warna,nama haiwan, sebutan dengan awal huruf yang sama dan macam-macam lagi. Sungguh menyeronokkan.
Kalau tak mampu nk beli bolehlah sahabat kreatif-kreatifkan diri buat guna kertas warna tampal-tampal. Di bawah ni saya kongsikan beberapa gambar menggunakan fun thinkers ya. Mungkin boleh membantu cikgu atau ibu bapa untuk mengajar bahasa inggeris di rumah. Semoga bermanfaat.
Notakaki: Saya bukanlah ejen penjual fun thinkers. Gambar senget benget sebab sebagai idea sahaja bukan untuk dicetak.

Wednesday, 28 October 2015

KENAPA PELAJAR MESTI TUISYEN?

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 20

Mutakhir ini, bidang tuisyen bagaikan sudah menjadi sebahagian daripada perkara wajib dalam kehidupan pelajar. Bezanya cuma sama ada tuisyen di sekolah atau di pusat-pusat tuisyen atau bersama cikgu peribadi atau disebut sebagai 'tutor'. Saya yakin, dalam kalangan kita yang berminat untuk mengajar secara separuh masa atau sepenuh masa ini mesti masih terfikir kukuhkah bidang ini? Boleh ke bertahan lama? Kalau setakat mengajar dua tiga bulan saja, baik kerja lain saja.
Agaknya, kenapa ibubapa perlu mendapatkan tuisyen untuk anak mereka sedangkan mereka ibu bapa hebat, yang bekerja sebagai doktor, jurutera dan sebagainya.

Jom kita kaji apa sebabnya para pelajar perlu tuisyen.

  • Masa belajar yang terhad di sekolah.
  • Guru sekolah banyak kerja dan selalu bermesyuarat.
  • Tidak sempat mencerap di dalam kelas, cikgu ajar terlalu laju
  • Belajar di saat akhir, kena ada latihan tambahan.
  • Jenis di rumah tidak suka belajar, lebih suka belajar bersama rakan-rakan.
  • Lebih terdedah dengan pelbagai teknik dan soalan-soalan.
*last minute

Mari kita tengok pula kenapa pelajar hari ini perlukan tutor.
  • Mahukan kawan tetapi kawan yang boleh mengajar mereka bukan mengejek.
  • Minat belajar tetapi di sekolah atau pusat tuisyen, cikgu terlalu laju dan rakan lain semua faham kecuali dia.
  • Ibu ayah tekankan : Jadi pelajar pintar walau apa pun cara, jangan malukan kami.
  • Suka jadi bijak tiba-tiba, nanti kalau ada kawan hairan, ''eh kenapa keputusan awak sangat gempak?'' Dia boleh tersenyum lebar. *Jarang-jarang berlaku.
  • Gemar belajar berkumpulan bersama kawan-kawan yang dikatakan 'sekepala' tapi dengan tunjuk ajar. *Kebanyakan situasi yang saya jumpa.
Daripada pemerhatian saya, ibu bapa pula mahu anak mempunyai tutor kerana mahu anak-anak ada aktiviti berfaedah selain menonton televisyen dan bermain gajet. Selain itu mereka boleh kenal tutor anak mereka melalui penilaian mata mereka. Oleh sebab itulah, 'first-session' yang paling penting. Ibu bapa akan menilai kita, kewibawaan kita dan keyakinan kita terhadap bidang ini. Semoga sahabat semua yakin dengan diri sendiri dan mampu meengajar dengan ikhlas ya. Semoga bermanfaat.




Tuesday, 27 October 2015

TIPS HEBAT MENJADI TUTOR HEBAT

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 19


Manusia gemar menyukat meter kejayaan dengan nilai kekayaan. Pada saya, kaya atau miskin, ilmu lah yang paling mahal harganya. Kalau anda takat SPM tapi anda ada ilmu untuk dikongsi bersama yang boleh memberi manfaat pada semua, maka anda adalah seorang yang kaya!
Untuk menjadi guru hebat, anda tidak semestinya ada diploma atau ijazah dalam bidang pendidikan. Jadi guru hebat ialah menjadi diri sendiri.
Bagaimana hendak memulakan langkah menjadi guru hebat?

  1. Mula sahaja dengan subjek yang memang sahabat gemar dan memang sentiasa 'score' sejak dulu.
  2. Mohon tahu perkembangan semasa pendidikan di Malaysia. Sekarang kita ada KBAT, i-Think. =)
  3. Sentiasa menerjah ke kedai buku untuk semak silibus terbaru dan tahap soalan terbaru ya.
  4. Boleh mula buat latihan sekiranya ada tajuk atau silibus yang sahabat kurang menguasai.
  5. Sekiranya dengan latihan masih dirasakan tidak menguasai, bolehlah tanya rakan atau cari mentor yang berpengalaman. Biasanya saya cari rakan terdekat yang memang gempak masa belajar dulu.
  6. Sentiasa bersama sahabat-sahabat yang membina bukan yang merosak ya. Ini untuk membina semangat supaya kita tidak cepat putus asa. 
  7. Kalau ada seminar pemantapan teknik pembelajaran, rajin-rajinkanlah untuk menghadirinya ya!
  8. Satu kelebihan sekiranya sahabat semua ada 'link' atau berkawan dengan cikgu-cikgu di sekolah. Maka, sentiasalah bina 'networking' dan bersama-sama saling membantu.
  9. Sentiasa 'uptodate' dengan soalan peperiksaan. Tidak kiralah muat turun dari internet atau bersumberkan rakan-rakan yang mengajar di sekolah. Saya kadang-kadang fotostat yang pelajar tapi kena pastikan kita mendapat kebenaran ya.
  10. Pelbagaikan teknik sahabat mengajar. Kadang-kadang lain pelajar lain cara menguasai sesuatu subjek. Bongkarkan pelbagai teknik tapi beri mereka kebebasan untuk memilih teknik mana yang sesuai.
  11. Paling penting, kenali pelajar anda. Sebab itulah saya suka tekankan awal kelas adalah yang paling penting.

Saya yakin sahabat saya semuanya hebat-hebat belaka. Semalam saya berkongsi tips untuk membuka kelas tuisyen bagi mereka yang memang ada tempat dan modal dengan seorang sahabat. Saya berdoa semoga urusan sahabat saya ini dipermudahkan. Katanya '' saya nak awak mengajar di pusat tuisyen saya nanti kalau projek ini benar-benar berjalan!'' Insya'Allah sahabat, kalau diizin Tuhan.
Semoga bermanfaat ya.

Monday, 26 October 2015

TIPS MENGHALAU SEMUT

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 18




Beberapa hari ni rumah saya diserang semut. Semut kecil yang suka beratur panjang buat jalan keretapi. Dahlah masuk rumah kita tak diundang, siap main gigit-menggigit lagi. Geram sangat. Akhirnya selamat la saya sembur dengan 'ridsect'. Semua tamat riwayat, kecuali yang tiba-tiba terkeluar barisan sebab tersalah jalan ke apa kan.

Baiklah saya sebenarnya ada sedikit tips mungkin boleh dikongsi dengan sahabat-sahabat suri rumah kat sini. Tips menghalau semut. Bukan letak gula tinggi-tinggi supaya semut gayat nak panjat ya. Ini tips yang memang 'clinically-tested'. 

RAMAI ORANG TIDAK TAHU!!!
Sebenarnya tak ramai suri rumah gemar menggunakan racun perosak (macam saya) untuk menghalau semut di rumah. Terutamanya kalau ada anak kecil. Baiklah, jadi apa patut kita buat?

Saya ingin kongsikan di sini 8 bahan semulajadi penghalau semut yang selamat ditabur di sekitar rumah dan tidak merbahaya kepada anak kecil.
Pertama, cuka.
Masukkan cuka ke dalam botol penyembur dan semburkan ke serata tepi dinding dan tiang rumah.
Biarkan cuka kering. Ulang proses semburan ini beberapa hari. Cara ini akan mencegah semut dari masuk ke rumah anda.
Kedua, air sabun basuh.
Caranya sama seperti cara yang dilakukan pada cuka. Masukkan air yang dicampur sabun ke dalam botol dan semburkan ke sekeliling rumah. Ulang semburan selama beberapa hari.
Ketiga, kapur tulis. *Kita kan cikgu.
Semut tidak pernah melintasi permukaan yang digaris kapur. Caranya, gariskan kapur di sekitar tempat semut berkumpul. Bertempiaran lah mereka bermigrasi.
Keempat ialah bedak bayi.
Oh, ini menarik dan selamat. Taburkan bedak bayi di titik atau lubang tempat semut masuk ke rumah anda. Ini akan menutup lubang tersebut dan menghalang semut untuk masuk.
Kelima, perahan air limau nipis.
Semburkan sahaja perahan limau nipis pada jalan keretapi semut tadi dan ia akan mematikan semut sambil menyegarkan bau rumah anda. Saya suka bau limau kasturi. Sungguh menyegarkan.
Keenam pula ialah serbuk kopi.
Bagi penggemar kopi, serbuknya usah dibuang. Taburkan di keliling rumah. Serbuk kopi juga boleh ditaburkan di sekitar taman dan pokok bunga. Semut tidak suka datang dekat lagi.
Ketujuh, tepung jagung.
Taburkan tepung jagung di atas jalan semut. Semut akan makan tepung jagung tapi tidak mampu mencernanya dan akhirnya semut akan mati. Macam zalim jugak ya.
Akhir sekali yang kelapan ialah menggunakan garam.
Garam juga tidak akan membunuh semut. Tapi garam boleh mencegah dan menghentikan semut datang ke rumah melalui retakan, lubang, dan sebagainya. Pastikan tempat yang ditabur garam kering dan tidak berair ya.

Entri hari ini mungkin memang tiada kaitan dengan jana pendapatan ya. Sekadar berkongsi tips yang pernah saya baca dan kumpulkan menjadi satu teks untuk bacaan sahabat suri rumah semua. Semoga bermanfaat.

Sunday, 25 October 2015

HUJAN.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 17

Hujan. Saya suka hujan. Bau selepas hujan selalu mengingatkan saya tentang kisah-kisah di waktu kecil. Ayah saya gemar bercerita sambil tunggu hujan reda. Padahal, hujan memang tak akan reda sebab dah memang musim hujan. Saya akan terbayangkan kopi panas dan ubi kayu rebus. Sungguh. Setiap kali hujan, inilah yang terbayang di minda saya. Kopi. Ubi rebus. Kisah waktu kecil.

Kadang-kadang saya terfikir sendiri, mungkin sebab saya anak musim tengkujuh, sebab itulah saya sangat sukakan hujan. Suka yang bermaksud saya suka suasana hari hujan, saya tak perlu berkejar ke sana ke mari hanya dengan alasan, ''maaf, hari hujan''. Dan minda saya terus menginjak mengingat waktu-waktu kecil. Memang kalau hujan turun, saya akan cuba untuk menghadkan aktiviti keluar rumah. Tapi bergantunglah, kalau ada perkara mustahak, hujan pun kenalah redah. Cuma, bila hujan saya suka sangat berada di rumah, buat-buat bising di dapur, menyakat menyiku si adik yang memang sudah menggalah tingginya. Mencuit menyiku emak yang memang suka melenting kalau disakat. Sungguh saya sukakan suasana seperti itu.
Dan saya bersyukur saya masih punyai mereka. Dan akan sentiasa bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada mereka. Alhamdulilllah.
Wah, hujan memang selalu mengubah mood saya. 


Dan hujan sering buat saya terfikir, kenapa ada orang sampai tak kenal kampung sebab terlalu taksub untuk menjadi orang moden. Sedangkan 'life' di kampung jauh lebih mendamaikan. Saya ni berjiwa kolot mungkin, ingin terus berada di kampung, tapi saya bukanlah anti kepada bandar dan jika ditakdirkan menjadi warga bandar sekalipun saya terima. Insya'allah. Cuma dari sudut pemikiran saya, macam mana wujud orang yang tak ingat mak ayah, benci tengok ibu yang kolot di kampung. Ini Tanggang Derhaka versi moden. Panjang pula cerita saya. Sungguh hujan selalu buat saya terfikir macam-macam.

Okeylah sebelum saya terlupa, mungkin boleh saya selitkan di sini sedikit tips tuisyen, sekiranya hari hujan, saya mencadangkan supaya kelas ditangguh dahulu. Kenapa? Sebabnya faktor kesihatan nanti kena hujan demam semua, lagi faktor mood, pelajar biasanya mood dia lain macam sedikit bila hujan. Bertukar ke 'laze mode' mungkin. Nanti cikgu penat-penat datang, tup-tup pelajar syok tengah tidur. Ni saya cerita berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya ya. Tapi sungguh tak sangka kan? Faktor cuaca pun boleh mengubah emosi kita

Lagi, saya nasihatkan jangan sesekali batalkan kelas tapi 'pospone' atau tangguhkan. Maksudnya, sahabat semua perlu merancang jadual sebaiknya dan ganti apabila ada masa dan waktu yang sesuai ya.

Selain itu, saya ingin menyentuh sedikit tentang cara menyusun jadual kelas. Sebolehnya, sekiranya anda memperoleh banyak kelas, susunlah jadual anda sebaiknya. Dan jangan hanya mahu terima kelas sahaja sampaikan tak sempat nak ulangkaji pun apa yang harus diajar. Jangan wujudkan situasi '' we paid for nothing'' dalam minda klien anda. Seeloknya anda luangkan sehari dalam seminggu untuk dikosongkan jadual supaya mudah apabila berlaku penangguhan kelas, boelh diganti pada hari tersebut. 

Itu sahaja tips saya sementara menantihujan reda. Semoga bermanfaat.

Saturday, 24 October 2015

KELAS TIADA, APA SAYA BUAT?

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 16

Assalamualaikum. Hari ini jerebu semakin menjadi-jadi di bumi Kelantan. Saya ke kelas seperti biasa. Walaupun tekak terasa perit, memikirkan sekarang tengah musim peperiksaan, gagahkanlah kudrat yang ada, nanti mungkin ramai yang akan bercuti dan 'hold' tuisyen sekejap. Sebab kebanyakannya akan pergi bercuti.
Saya pula apabila pelajar bercuti, saya suka mem' busy' kan diri dengan mengadakan kelas insentif di rumah. Seperti biasa subjek tumpuan saya ialah matematik.
Cuti sekolah kali ini mungkin saya akan buka kelas pra-spm untuk tajuk tingkatan 1-3 yang akan ditanya dalam kertas soalan matematik spm nanti. Kenapa perlu ditekan? Kerana pelajar kebanyakannya lemah di peringkat pemahaman konsep. Jadi bila menjawab soalan spm, aturan dan cara jawab agak keliru dan seakan tak tahu apa yang pelajar tahu dan faham dalam soalan tersebut.
Saya bercadang untuk membuat kelas secara percuma pada mulanya, tapi bila mengingatkan komitmen adik-adik pelajar, saya rasa baiklah berbayar walaupun sedikit. Percaya atau tidak jika kita bayar pada sesuatu benda kita akan cuba menggunakan servis atau produk tersebut sebaik mungkin. Inilah yang dinamakan komitmen. Mungkin saya caj untuk fotostat kertas aje. Tengoklah nanti macam mana.
Oh ya, sebenarnya banyak kerja lain selain menjadi hometutor yang boleh anda lakukan apabila dijangka kelas akan menyusut sekejap sementara pelajar bercuti. Tapi saya lebih gemar tekankan profesion yang beraurakan cikgu tuisyen. Barulah nampak kita seorang yang serius dalam bidang kita.
Contohnya, sahabat boleh merencanakan satu program atau seminar dengan mencari orang untuk mengajar teknik mudah mengaji atau cepat mengira atau apa-apa sahaja. Kiranya kita bertindak sebagai orang tengah atau organizer lah.
Selain itu, kita boleh juga cuba menjual bahan-bahan mengajar. Seperti buku mudahnya matematik atau apa sahaja. Atau mengikuti kursus pendek untuk menambahbaik perkhidmatan yang ditawarkan. Macam saya, saya ingin menguasai matematik tambahan tapi masih tidak berjumpa guru yang boleh saya pergi tadah kitab.  Dulu saya pernah memasuki kelas matematik tambahan tapi saya tak tahu caranya untuk menghubungi cikgu tuisyen addmath tersebut. Disebabkan beliau lah saya terjatuh suka dengan matapelajaran matematik ini.
Apa lagi yang sahabat semua boleh buat apabila tiada kelas? Saya ingin mencadangkan sahabat semua untuk melabur set soalan untuk para pelajar yang bakal bertuisyen bersama anda. Macam mana tu? Perkara ini memang saya tak kongsikan dengan ramai orang. Sebenarnya kita boleh cuba cari soalan dan fotostat untuk dibukukan. Kiranya kita seakan membuat modul tapi hanya berbekalkan mesin fotostat. Cuma kena rajin lah beli buku banyak- banyak ya. Kalau dah ada modal boleh la buat modul sendiri. Ini pun antara cita-cita saya yang masih tertangguh. Semoga saya dapat mencapainya satu hari nanti. Insya'allah. Doakan saya ya.
Baiklah, kesimpulannya hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Good luck semua. Semoga bermanfaat.

Friday, 23 October 2015

OH MY CREAM PUFF

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 15



Petang ni kira-kira macam nak buat cream puff. Hari ini 10 Muharram, hari jumaat. Seapatutnya saya ada kelas di Pengkalan Chepa petang ni, tapi saya minta ganti esok insya'allah dek kerana ada tugasan yang perlu saya siapkan petang ini.

Hari ini bangun awal pagi sebab bersahur, rasa rajin nak berpuasa, sambil temankan mak yang turut berpuasa. Pergi ke kelas pukul 9.30 pagi, sesi dua jam pagi tadi. Seusai kelas, saya bertemu rakan yang berminat untuk mencuba coklat lasagne yang saya jual secara kecil-kecilan. Sebenarnya, saya ni suka memasak tapi saya selalu nak buat kerja dengan cepat, dek kerana itulah saya mencari pelbagai cara untuk mempercepat keputusan dalam apa jua yang saya buat. Dan akhirnya tercetuslah idea terhadap penemuan kepada memasak menggunakan tepung segera. Hehe. Dan yang pastinya halalan thoyyiban ya sebab memang saya dah survey kilang dan jumpa pemiliknya sebelum membuat keputusan nak membeli dan menjual barang makanan segera tersebut. Alhamdulillah setakat ini agak menggalakkan. Mungkin sebab saya buat ni sekadar suka-suka kot. Sebab tu rasa syok aje.

Eh, dah lari tajuk rupanya. Baiklah petang ni terasa macam nak berbuka dengan cream puff tapi susu segar pula dah habis. Hmmm alamatnya bila la saya boleh makan cream puff panas-panas ni...Siapa mahu belikan saya susu segar...


Sekarang, daripada si bungsu yang tak pandai masak saya dah boleh buat kek coklat. Rahsianya hah, pakai inilah. Tajuk petang ni lari sedikit daripada hometuisyen ya, tapi nak cerita saya selalu juga bawakkan kek untuk pelajar-pelajar saya, bukan untuk iklan ke apa, sekadar kongsi keceriaan bersama, wahwahwah. Cikgu matematik pun pandai bermadah okey.Ya lah, kalau hari-hari belajar saja, manalah nak datang mood rajin. Sekolah pun ada buat jamuan akhir tahun, inikan pula kita duta-duta kecil akademik. 

Okeylah, saya kongsikan sedikit tentang hadiah atau memberi ganjaran ke apa-apa untuk meraikan pelajar. Tidak salah memberi ganjaran atau membawa buah tangan kepada pelajar dan ibu bapa, tapi jangan sampai berlebih-lebihan sampai jatuh hukum mengampu. Sedikit kisah tentang orang yang gemar meraikan ini, saya ada seorang kenalan yang turut terlibat dalam bidang seminar dan kursus-kursus semua ni. Saya cuma kenalan jauh sahaja tapi saya cukup mengenali beliau kerana pencapaian beliau dalam jana pendapatan dari rumah beliau agak cemerlang. Dan dek kerana sikap gemar meraikan ini, ramailah klien suka berurusan dengannya. Akhirnya, wang habis di tengah jalan. Mungkin ini salah satu cara iklan mungkin. Wallahu'alam.
Kesimpulannya, tak salah nak merai tapi biarlah berpadanan. Takut nanti kalau kita sentiasa memberi, orang akan sentiasa mengharap. Dan sampai mengambil kesempatan di atas kebaikan kita. Jaga diri ya sahabat-sahabat semua. Semoga bermanfaat.

OHMY CREAM PUFF...




SAYA BELAJAR DARI SEORANG PELAJAR

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 14



Pernah satu ketika semasa di awal-awal saya terlibat dalam 'hometutoring' saya pergi ke rumah pelajar tanpa sebarang persediaan. Saya fikir, mungkin saya masih ingat tajuk SPM. Saya mengajar tuisyen untuk subjek matematik. Wah terasa bangga sangat bila boleh buat pelajar faham konsep mengikut apa yang kita tahu dan belajar selama ini. Terutama sekali jika tanpa rujuk buku. Saya tak tahu kenapa saya cukup 'gemar' pergi ke kelas tanpa persediaan. Saya rasa itu adalah satu cabaran. Sejak dulu saya suka mencabar kebolehan berfikir. Okey, sahabat semua DILARANG MENIRU yang perbuatan saya ini. Dan akhirnya  saya tewas jua. Ada juga rupanya tajuk yang tak tersimpan kemas dalam minda saya. Poin penting ialah sila buat persediaan awal!

Tetapi, apa yang saya buat? Okey, ini yang ingin saya kongsi kepada bakal 'hometutor' sahabat saya, apabila kita buntu, jangan menampakkan diri anda ''hey, saya buntu dan tak tahu!'' tapi tunjukkan bahawa, ''oh ya, tajuk sangat best, tapi hari ni, saya nak tekankan tajuk yang satu lagi, next class kita belajar yang ini ya.''

Ada satu pengalaman menarik semasa saya mengajar seorang pelajar Tahun 5 yang sangat bijak. Dia menggunakan teknik darab dalam kotak-kotak. Saya sudah tercengang-cengang. ''Eheh, ni teknik apa lagi la ni? Mokhdar aku tahu lah". Tapi saya perhatikan sahaja. Ini kaedahnya.


Oh, kaedah kesisi rupa-rupa namanya. Dan serius, itu pertama kali saya jumpa. Rasa nak bantai gelak pada diri sendiri. Sekarang, saya dah tahu dan mahir menggunakan teknik ini. Tapi, buat pelajar saya, saya lagi suka gunakan kaedah lama, yang ini boleh guna tapi saya lebih tekankan penggunaan kaedah lama melainkan cikgu di sekolah sememangnya menggunakan teknik ini.
Kita kena ingat ya sahabat sekalian, walau apa pun kaedah kita guna, kita MESTI ikut kaedah yang cikgu di sekolah guna. Oleh sebab itu, kita kena tahu pelbagai kaedah pembelajaran.
Lagi satu, kaedah menghafal menggunakan teknik MOKHDAR.

Teknik ini agak ekslusif. Kenapa saya katakan sedemikian? Kerana hanya orang yang pergi ke seminar Mokhdar sahaja tahu teknik ini. Macam teknik jampi serapah bahasa matematik. Sungguh menarik untuk dipelajari. Kalau sahabat berminat untuk menumpukan pada subjek matematik, cubalah sertai mereka. Sungguh menarik!

Bagi matematik sekolah menengah, sebenarnya sangat banyak kaedah pengiraan. Tetapi saya lebih gemar kepada kaedah memahamkan konsep. Hal ini kerana, apabila pelajar faham konsep, datanglah sepayah mana pun soalan, dia akan mendapat gambaran apa yang soalan itu inginkan. Terutama sekali, sukatan terbaru hari ini menekankan konsep KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi). Kadang-kadang jawapan memang sudah sedia ada, tapi pelajar cuma nampak ''matematik mesti kena tekan kalkulator.''
Dan tekankan kepada pelajar, jangan terlalu bergantung pada kalkulator. Ingat kalkulator hanya sebagai pembantu sahaja. 
Kerana, apabila terlalu bergantung dan mengharapkan en.kalkulator, 2x2 pun pelajar tekan en.kalkulator. 

Pendek kata, selagi kita hidup selagi itulah sesi pembelajaran akan berterusan ya. Tak salah belajar dari pelajar, jangan sombong untuk mengakui kesilapan sendiri tapi harus pandai menjaga aib diri. Sebab itulah saya tegaskan di atas tadi, jangan kata kita taktahu tapi lebih elok berdiplomasi. Kerana pelajar hari ini bukan macam pelajar zaman dahulu, setiap ucapan yang keluar dari mulut kita, memang akan digunakan untuk mengenakan kita semula. Sebab bagi mereka, cikgu adalah seperti rakan mereka. Tak salah menjadi rakan tapi biar tahu batasan rakan sebaya dengan  rakan tak berapa baya ya. Okey, semoga entri ini bermanfaat untuk semua.




ADAB MENJADI TETAMU

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 13


Pagi ini saya ingin menyentuh sedikit isu tentang menjadi seorang tetamu. Sahabat-sahabat, mungkin ada yang kita terlepas pandang apabila kita bertandang ke rumah pelajar atau klien.

Pertama, memberi salam. Hal ini adalah perkara yang sangat umum dan saya yakin memang sudah diketahui umum. Tetapi dalam menjalankan 'hometutoring' ini kita sepatutnya sudah menghubungi tuan rumah dan sememangnya tuan rumah sudah tahu kita akan ke rumah mereka pada waktu sekian-sekian. Maka, cukuplah sekadar memberi salam atau menekan loceng sebanyak 3 kali sahaja. Mungkin boleh diselang-seli ya. Beri salam. Tekan loceng. JANGAN lebih daripada 3 kali. Kalau tuan rumah masih tak sedar kehadiran kita, bolehlah menghubungi mereka.
Ingat, kita adalah orang akademik, orang yang akan mengajar ilmu, bawalah pembawakan seperti orang berilmu.

Kedua, masuk ke dalam rumah HANYA apabila dijemput. Jangan masuk sembarangan. Dan duduk juga setelah dijemput. Penilaian pertama adalah paling penting. Jika sekiranya klien (ibubapa) tak selesa dengan pembawakan kita pada hari pertama ini, ia akan memberi kesan pada sesi-sesi yang seterusnya.

Ketiga, JANGAN melilau-lilau. Apa makna melilau-lilau? Ya, pandangan kita harus dijaga. Jangan 'over-excited' melihat rumah klien besar ke atau melihat pasu bunga di rumah mereka sangat cantik atau apa sahaja. Perkara sebegini memang ramai orang terlepas pandang. Bila melangkah masuk, mata kita tanpa sedar melihat syiling, melihat sofa dengan perasaan ''wah, rumah saya tak ada pun macam ni''. Buat-buat biasa ya!

Keempat, sekiranya klien ada di rumah, biasanya untuk sesi pertama kelas, kita akan ditemubual (sesi interview) oleh mereka. Perkenalkan nama dan apa pekerjaan tetap anda selain mengajar. Dan yakinlah sekiranya anda memang tenaga pengajar hometuisyen sepenuh masa ya! Jangan merasa merendah diri. Kerana kita membuat kerja yang mulia. Insya'Allah. Kenapa saya berkata seperti ini? Kerana saya yakin, masih ramai yang malu-malu untuk mengaku ''I am a hometutor!''

Kelima, sesi pertama ini perlu dilakukan sesi berkenal-kenal dengan pelajar, TETAPI jangan terlebih masa hanya untuk sesi berkenalan sahaja. Hal ini demikian kerana, ada seseteangah pelajar memang gemar 'drag' masa belajar supaya menjadi singkat. Kerana dia sudah sedia maklum berapa lama tutor akan berada di rumahnya. Maka, awas ya!

Okey, cukuplah 5 perkara penting buat ingatan diri saya sendiri juga. Nanti saya akan kongsikan bagaimana nak melayan pelajar yang SUKA melengah-lengahkan masa belajar ni ya. Selamat berkhidmat dan semoga bermanfaat.

Thursday, 22 October 2015

PAHIT KE MANIS?

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 12

Saya nak kongsi cerita kenapa saya boleh terus bertahan dalam bidang ini. Bidang yang orang buat secara part-time tapi saya membuat keputusan untuk membuat secara full-time.


Bermula langkah saya sebagai hometutor, tak pernah sebulan pun lagi setakat ini saya menjadi penganggur tanpa sebarang kelas. Sungguh ajaib bidang ini. Paling sedikit saya pernah peroleh ialah RM100 untuk satu bulan. Memang sangat sedikit tapi percaya atau tidak walaupun di musim cuti sekolah, kelas tak pernah putus. Hampir dua tahun saya menjadi hometutor. Alhamdulillah.
Dan sedikit pengalaman pahit semasa saya mengajar di bawah satu organisasi hometutor secara berkumpulan. Dek kerana sedikit masalah di pihak pengurusan, sampai hari ini saya tidak memperoleh apa-apa bayaran. Saya membuat keputusan untuk berhenti dan bergerak secara sendiri. 

Pengalaman pertama saya mengajar dua beradik lelaki dan perempuan. Pertama kali saya ke rumah mereka berbekalkan alamat dan no.telefon ibu mereka, saya pergi dengan beraninya. Memang masa tu agak takut-takut juga sebab pertama kali ke rumah orang yang tidak kita kenal. Alhamdulillah sifat saya yang memang terkenal dengan 'banyak mulut' memberi peluang untuk saya mendekati kedua beradik tersebut. Dan walaupun agak nakal, mereka tetap masih hormatkan saya. Sampai sekarang saya masih mengajar salah seorang daripada mereka kerana si kakak sudah tamat UPSR.

Pengalaman kedua saya ke rumah seorang pelajar Tingkatan 4 yang sangat lemah matematiknya. Saya memang sangat menguasai matematik. Wah, puji diri sendiri. Hehe. Sebabnya saya memang suka menggunakan logik akal bila menyelesaikan soalan matematik. Pelajar ini pula masalah utamanya cepat lupa cara kira dan kurang faham setiap permasalahan yang diberi. Pada awalnya sukar juga nak menerangkan setiap tajuk dengan logik akal tapi saya cuba sampai dia faham. Sampai sekarang, saya megajar pelajar ini dan adiknya bersama teman-teman lain. Sungguh. Kadang-kadang terasa sebahagian daripada mereka dan mengembalikan nostalgia SPM. Dan bersama mereka buat saya lupa, saya bukan pelajar SPM lagi.

Pengalaman ketiga saya bersama dua beradik angkat yang berbeza sifat dan cara. Paling mencabar untuk mengajar si adik yang sangat aktif. Sebenarnya saya cuma mengambil alih cikgu tuisyen mereka yang sambung belajar. Tanpa saya sangka saya terus mengajar mereka sampai sekarang. Walaupun si adik sangat aktif kaki tangan tapi bila ada sesi pembelajaran, dia akan turutkan arahan yang saya beri. Alhamdulillah. Si abang pula suka bercerita. Belajar sekejap, tapi ceritanya panjang berjela. Pandai-pandailah melayan jangan sampai terlebih sudah...

Dan seterusnya, saya mengajar pelajar-pelajar lain yang kebanyakannya belajar untuk peperiksaan terdekat. Jadi sesi pembelajaran pun singkat sahaja. Macam-macam cerita dan kisah disebalik kegembiraan di wajah mereka. Sebagai hometutor, kita boleh mendengar tapi sekadar mendengar dan dijadikan pedoman diri sendiri dan dijadikan ingatan atau nasihat buat rakan.

Semakin hari semakin kuat semangat saya untuk terus bekerja sendiri, bila melihat anak-anak didik saya, saya yakin saya buat keputusan yang betul. Mungkin kisah ini lebih berbentuk kepada catatan peribadi tapi sekadar catatan untuk saya baca di kemudian hari. Semoga kita semua tabah menghadapi hidup ini. Sekian.





Wednesday, 21 October 2015

LANGKAH PROMOSI TAHAP PERTAMA

TEKS: Faizah Yusoff
FOTO: Carian Google
#Entri 11

Ya! Sekarang saya tahu ramai yang seakan sudah nampak bayangan untuk menjadi cikgu tusiyen kan? Ada yang terlintas mahu mengajar di rumah ada yang mahu cuba menjejak syarikat atau group hometuition untuk bersama-sama menjadi ahli keluarga besar hometutor. Alhamdulillah. syabas saya ucapkan.

Sekarang, bagaimana nak mulakan langkah promosi?
Baiklah bagi sahabat yang ingin bergerak secara sendiri, saya nasihatkan untuk melakukakan promosi diri lebih sedikit ya. Berbanding yang masuk ke akademi hometuition. Besar bezanya.

Pertama, kalau yang ada modal, bolehlah buat banner atau kain rentang ke apa yang meletakkan nama anda sebagai hometutor. Seperti biasa kalau anda berada di kawasan perumahan di bandar, mungkin ada satu kelebihan kerana bolehlah fikirkan caj yang lebih sedikit. Bonus untuk anda. Sekiranya anda berada di kawasan kampung atau pinggir bandar, suka saya ingin tekankan supaya anda membuat kelas secara berkumpulan. Seakan belajar berkumpulan dengan tunjuk ajar tutor. Sekali satu kumpulan pelajar ynag datang anda dah boleh kumpul mata. Alhamdulillah... Walaubagaimanapun, jangan fikirkan upah semata, ajarlah dengan ikhlas.

Kedua, bagi yang kurang modal, bolehlah 'print out' kertas iklan semacam yang orang tampal-tampal di bus stop tu. Tetapi saya sangat titik beratkan di sini sila JANGAN  buat iklan tampal-tampal ya. Lekat kat public phone dekat tiang lampu semua. Kerana? Kerana nanti Majlis Perbandaran akan buang. Sekejap aja iklan anda berada di situ.
Sebenarnya pada awal-awal saya membuat hometuition ni, saya pernah buat la aktiviti-aktiviti tampal menampal ni, tapi memang tak pernah lekat seorang pun pelajar. Kemudian saya seakan sedar sesuatu, kita menjalankan aktiviti kependidikan melibatkan ilmu, jadi lebih elok kalau kita beriklan dengan lebih profesional dan berhikmah.
Oh ya, jadi macam mana nak agihkan? Kalau dilarang melekat menampal? Baiklah, sahabat semua boleh lah guna ejen-ejen kecil seperti anak saudara, adik atau kakak abang untuk menyebarkan kertas-kertas iklan tersebut di sekolah atau di tempat kerja mereka. Percayalah, mesti ada yang akan berminat. Insya'allah.

Ketiga, kembali kepada yang agak ada modal atau modal pertengahan, bolehlah menempah kad bisnes. Wah, semacam hebat ya. tapi inilah realitinya, walau anda bergerak sendiri, labelkan identiti anda sebagai cikgu tuisyen. Dan rajin-rajinkan join program atau berkenal-kenal dengan orang di sebelah anda walau di mana anda berada. Tak salah beramah mesra ya. Pastikan anda ikhlas, bukan hanya kerana nak cari klien, okey?
Saya pernah membaca kisah seorang wanita hebat yang hanya berkerja sebagai cikgu tuisyen matematik di bandar. Bermula dengan seorang pelajar, dia kini mempunyai bilik khas di rumahnya yang boleh memuatkan sejumlah besar pelajar. Hanya dengan mengajar tuisyen di rumah sambil memantau anak-anak. Subhanallah. Sungguh saya cemburu.

Keempat, gunakan mulut pemberianNya. Yang ni memang paling murah dan paling menjadi sebenarnya. Apabila sudah mendapat satu klien atau satu pelajar, sungguh mudah anda mempromosikan diri secara berterusan kerana ibu bapa biasanya gemar berkongsi. Dan apabila ada tetamu ke rumah mereka, jangan kita lokek untuk bertegur sapa, sekiranya perlu, kenalkan diri anda dengan yakin, '' ya, saya mengajar tuisyen''.
Hal ini saya jelaskan sebegini kerana saya banyak melakukan promosi tak langsung ini. Memang sangat berkesan dan paling menjimatkan. Cubalah. Semoga bermanfaat.




Tuesday, 20 October 2015

IMAN TURUN NAIK

TEKS: Faizah Yusoff
FOTO: Carian Google
#Entri 10

Seorang sahabat menghubungi saya, ''Aku rasa tak kuat nak teruskan hometuition ni, bila aku sakit, tak boleh pergi kelas, dan bayaran yang aku dapat juga kurang''
Betul. Saya memang tak akan sangkal pernyataan ini.
Sebenarnya itulah isunya bila kita bekerja sendiri. No matter what, this is the ''something'' we have to face.

Okey mari kita sambung cerita sahabat ini, saya diam sekejap, terus mendengar luahan hatinya. Saya tahu mungkin dia sedang tertekan dan saya pun kadang-kadang memang ada terfikir semacam ini.
Biasalah iman turun naik. Kadang-kadang rasa dah pilih jalan yang betul tapi bila sudah berada di atas jalan tersebut, semacam sedar , eheh ''betul ke jalan yang aku pilih ni''.
Ya. iman turun naik.
Lepas tu, dia seakan mengeluh. Katanya, kita tak ada pencen. Sampai bila kita nak terus macam ni? Sampai umur 40 tahun? 30 tahun?
Betul tu. Saya pun terfikir benda yang sama. Katanya lagi, aku nak keluar daripada rumah, nak cari kerja di luar, di bandar. Jauh dari orang yang sering aku jumpa. Yang tanya aku macam-macam.
Sahabat, sabar ya. Saya kata dalam hati.

Selepas agak lama dia diamkan diri dan saya yakin dia sudah agak rileks, saya pun meenjawab, sabar. Itu perkataan pertama yang keluar dari hati saya saat itu.
Saya katakan padanya, tak apalah, sementara mendapat kerja lain, teruskan lah kelas kita yang sedia ada. Rezeki kita mungkin ada di mana-mana. Kalau kau keluar sekarang pun, belum tentu ada kerja yang menanti. Bahkan mungkin akan buatkan kau lagi kusut. Dia terdiam.

Saya katakan padanya, mungkin nanti dia boleh cuba gantikan kelas bila dia sudah sihat kembali. Itulah kelebihan kita. Fleksibel. Jangan risau. Rezeki untuk kita pasti ada.

Okey, tamat kisah pendek saya dan sahabat tadi. Sebetulnya, memang acap kali terfikirkan perkara yang sama. Terutamanya bila adik beradik yang lain mula bising mahu saya mencari kerja yang tetap. Saya memang tak tahu nak bagi skrip jawapan yang semacam mana lagi. Mungkin ada kelemahan saya juga tapi saya nampak apa yang sedang saya buat dan masih mendaki tangga kejayaan Insya'allah. saya cuma minta mereka mendoakan saya. 
Walaupun saya sudah mampu membantu ibu dengan hasil hometuition saya, tapi mereka tetap nampak kerja tetap yang stabil yang memang saya tak dapat sangkal. Memang iman saya juga seperti sahabat tadi. Tapi saya pekakkan telinga dan bersabar. Insya'Allah nanti pasti ada yang sedar usaha saya.

Cukuplah dulu catatan penguat hati buat yang masih tergapai-gapai macam saya. Semoga kita semua terus diberi ketabahan dalam mencari rezeki yang berkat di sisi Tuhan. Insya'Allah. Semoga bermanfaat.


Monday, 19 October 2015

TIPS MELETAKKAN HARGA

TEKS: Faizah Yusoff
#Entri 9

Bagaimana cara terbaik meletakkan harga dalam perusahaan ini. Bagi mereka yang menjadi hometutor di syarikat-syarikat hometuisyen mungkin tiada masalah. Saya percaya, anda hanya perlu pergi interview dan melalui fasa 'mock-teaching' dan sekiranya diterima, maka tunggu dapat kelas dan gaji akan diterima setiap bulan. Bagaimana pula buat sahabat yang bergerak secara sendiri samada solo atau berkumpulan? Bagaimana nak letakkan harga?

Baiklah di sini saya ingin tekankan, harga di ambil mengikut tempat. Seperti yang pernah saya jelaskan sebelum ini, kenali tempat tumpuan. Sekiranya di bandar-bandar harga kebiasaanya ialah RM40-RM50 bagi sekolah menengah untuk seorang dan satu sesi. Bergantung sesi anda sejam setengah atau dua jam. Bagi sekolah rendah, biasaya RM30-RM40.
Bagi yang ingin perkenalkan di kawasan luar bandar, saya nasihatkan buatlah hometuisyen secara berkumpulan. Contohnya, anda tumpukan pada perumahan atau rumah-rumah yang berdekatan. Maka ambillah sekadarnya seperti RM20-RM25 seorang bagi sekolah rendah untuk satu sesi dan RM25-RM30 seorang bagi sekolah menengah.Ini pun sudah agak mahal.
Saya pernah buat RM10 sejam kelas di rumah saya, dan sebulan saya pernah dapat RM100 hanya mengajar pelajar berkenaan buat homework sambil tunggu solat isyak!
Anda perlu buat jadual harga perkhidmatan! Jangan sesekali teragak-agak apabila klien bertanya tentang harga. Berkatalah dengan yakin dan beri gambaran sedikit tentang kenapa harga sedemikian yang kita kenakan.

Mengikut pengalaman saya, saya pernah membuat tuisyen matematik sempena cuti sekolah di masjid berhampiran rumah saya. Kebetulan kakak saya memang mengajar kelas qiraati di setiap hujung minggu jadi meja dan kelengkapan menulis memang sudah sedia ada. Saya cuma ambil caj RM3 untuk sehari/satu sesi dan jumlah dapatan yang saya terima seluruhnya hampir RM100 mungkin lebih kurang RM70 atau lebih (saya lupa berapa orang pelajar yang daftar ketika itu). Hanya untuk dua minggu cuti sekolah sahaja. Cuba bayangkan jika itu yang saya peroleh di setiap dua minggu dengan hanya berjalan kaki ke bilik mengajar RM100 dua minggu, RM 200 sebulan dengan pelajar yang tak sampai 10 orang. Kalau saya berkesempatan membuat hampir 3 sesi sehari? Pagi, tengah hari dan petang atau malam? Dan sekarang sahabat semua patut tahu kenapa semakin ramai orang buka pusat tuisyen sendiri di rumah mereka.

Okeylah, sebetulnya hometutor yang sebenarnya ialah lebih kepada "study group with guidance" dan memang tak akan lebih 10 orang. Tapi kita kena ingat hometutor juga ialah cikgu tuisyen. Dalam penetapan harga, bilangan pelajar akan bertambah dan caj terhadap seorang pelajar akan berkurang tapi pendapatan cikgu akan tetap meningkat. Macam mana tu?

Baiklah, contohnya, anda buat kelas satu sesi dua jam dengan harga RM50 untuk pelajar sekolah menengah. Kemudian seorang sahabat pelajar berkenaan ingin masuk belajar bersama, maka kurangkanlah menjadi RM45 seorang, tapi cuba tambahkan RM45+RM45 iaitu dua orang pelajar, maka pendapatan anda ialah RM90 untuk satu sesi atau lebih senang disebut sekali pergi mengajar anada akan dapat RM90! Kalau didarab dengan sebulan, 4-8 sesi biasanya, maka dapatlah jumlah pendapatan anda untuk satu rumah sahaja.

Tapi sahabat! Saya tetap akan tegaskan di sini, mengajar bukan untuk wang semata! Tapi mengajar dari hati. Jangan burukkan nama sendiri. Jangan suka hati terima sebarang kelas. Kenali diri anda. Kenali kemampuan anda. Kenapa sering saya jelaskan tentang ikhlas? Kerana perjalanan yang tak ikhlas memang tak kekal lama. Percayalah! Kecuali anda yakin anda mampu belajar dan mampu memahamkan pelajar anda.
Semoga bermanfaat.

APA BEZA HOMETUTOR DENGAN CIKGU TUISYEN?

TEKS: Faizah Yusoff
FOTO: faizah Yusoff
#Entri 8

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera.
Masih ada yang kelam kelabu tidak jelas kenapa home-tutor boleh mencapai ribuan sebulan berbanding jadi cikgu tuisyen kat pusat tuisyen. Di sini saya ingin jelaskan kedua-dua bidang adalah sama tapi tidak serupa. Sebelum anda memulakan langkah, anda kena ambil tahu sebab ada sesetengah klien kita (dalam skop hometuition, klien ialah ibu atau ayah pelajar).
Mereka biasanya gemar bertanya kerana mereka melaburkan wang 'lebih' dengan mengupah home-tutor dan selayaknya mereka tahu A ke Z. Ya, dan kita harus ada jawapan bagi setiap soalan mereka. macam interview kerja ibaratnya.

Jom kita kaji apa bezanya hometutor berbanding cikgu tuisyen di pusat tuisyen?

Sebenarnya kedua-duanya disebut cikgu tuisyen! =)



Pertama, kebanyakan cikgu tuisyen ialah cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah kecuali yang mengajar part-time biasanya pelajar universiti yang sedang bercuti. Hometutor pula ada juga yang mengajar di sekolah tapi kebanyakannya fresh graduate atau pelajar universiti yang tengah sambung belajar di peringkat master atau phd.

Kedua, cikgu tuisyen di pusat tuisyen ialah sudah tentu mengajar di satu tempat yang dipanggil pusat tuisyen, manakala hometutor pula akan mengikut kehendak klien dimana tempat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak (klien dan cikgu). Kadang-kadang di ofis, biasanya di rumah pelajar, kadang-kadang di hospital. Ini pengalaman saya pernah mengajar di hospital gara-gara ayah pelajar menjalani pembedahan.

Ketiga, cikgu tuisyen mengajar mengikut kertas fotostat atau buku dengan mengajar secara umum dan diberi penerangan seperti di sekolah, manakala hometutor pula akan scan dimana kelemahan pelajar berkenaan, katakan pelajar itu sudah berada di Tahun 3, tapi masih belum boleh membaca, maka tindakan yang akan diambil ialah BUKAN mengajar apa yang di dalam sukatan Tahun 3 tapi akan dimulai dengan bacaan sampailah pelajar mampu menguasai.

Keempat, cikgu tuisyen biasanya tidak diberi seorang cikgu mengajar 5 subjek tapi diberi seorang cikgu satu subjek atau seorang cikgu untuk dua subjek. Lain halnya dengan hometutor, apabila klien yakin dengan kebolehan diri anda, tak mustahil semua subjek akan anda ajar. Tapi, suka saya nak ingatkan di sini, kita mengajar bukan semata untuk wang, betul sangat lumayan kalau anda mendapat peluang kelas setiap hari dengan hanya dua atau sejam setengah sehari bekerja tapi pendapatan sudah seperti pegawai baru masuk kerja. Jangan sesekali main terima sahaja walau apa pun subjek yang diberi dan akhirnya anda penat sendiri dan klien hilang kepercayaan. Jangan rosakkan nama anda di hati klien anda! JANGAN!

Kelima, cikgu tuisyen memang biasanya tidak akan sempat mengajar pelajar sampai faham terutama jika pelajar itu seorang yang agak lemah dan lambat faham berbanding orang lain. Hometutor pula paling ramai dalam setiap sesi ialah 3 hingga 4 orang. Jika ada yang agak lambat, mungkin akan diberi lebih perhatian.

Semoga dengan artikel ini sahabat semua akan nampak gambaran kasar tentang kenapa klien layak membayar perkhidmatan kita dan kita juga harus ingat untuk memberi perkhidmatan terbaik. Insya'allah semoga anda semua sukses selalu ya. Semoga bermanfaat!

SOLAT.SOLAT.SOLAT.

TEKS: Faizah Yusoff.
FOTO: Carian Google.
#Entri 7

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pagi ini saya ingin menyentuh sedikit tentang isu solat. Mungkin agak lari ''channel'', tapi sebenarnya ini adalah kunci utama dalam mencari kehidupan yang bahagia. Solatlah penjaga terbaik sahabat walau jalan apa yang kita pilih dalam hidup.

Satu kajian telah dijalankan tentang perkaitan solat dengan warna. Subhanallah. Rupa-rupanya setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam yang mana ia diukur melalui perubahan warna alam!


Okey, jom kita tengok satu persatu.

Waktu Subuh dan spektrum warna biru muda.
Apa maknanya? Spektrum warna biru muda ialah bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.
Jadi ia sebenarnya berkaitan dengan penawar atau rezeki serta komunikasi.
Orang yang suka meremeh-remehkan subuh akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.
Oh ya! rupa-rupanya bermula saja azan subuh, tenaga alam pada waktu itu berada di tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. 
Tak sangka saya akan jumpa resonan yang saya belajar bertahun dahulu dalam kajian tentang solat! Maha Tinngi ilmu-Mu ya Allah.

Waktu Isyrak&Dhuha (warna hijau) dan Zohor (spektrum warna kuning)
Spektrum warna kuning berkaitan dengan frekuensi perut dan hati yang bersangkutan dengan sistem penghadaman kita.
Warna kuning juga dikatakan mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu tertinggal atau terlewat zohornya bakal menghadapi masalah di bahagian perut dan hilang keceriaan dalam hidup.
Pendek kata, orang sakit perut agak-agak ceria tak?

Waktu Asar dengan spektrum warna oren.
Warna oren bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal solat asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu asar ni sahabat tengah tidur (maksudnya jasad terpisah dengan roh)
Nak subur? Solat asar segera!

Waktu Maghrib dengan spektrum warna merah. 
Okey, waktu maghrib sila berada di dalam rumah ya. Hal ini demikian kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis tika ini sangat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.
Rahsia waktu maghrib ialah keyakinan pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
Kalau anda seorang penakut, anda adalah seorang yang tiada keyakinan diri!

Waktu Isyak dengan spektrum warna indigo sebelum alam memasuki fasa kegelapan.
Waktu isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian dimana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.
Mereka yang gemar meremehkan solat isyak sebetulnya selalu berada dalam kegelisahan. Alam berada dalam kegelapan dan sebetulnya inilah waktu rehat dalam Islam. Tidur pada waktu ini digelar tidur delta dimana keseluruhan tubuh berada dalam mode rehat.
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu dimana ia bersamaan dengan frekuensi kalenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.
Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini untuk qiamullail.

Manusia kini sememangnya telah mulai sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor wujudnya pelbagai kaedah meditasi seperti taichi, qi-dong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sewajarnya bersyukur kerana telah dikurniai syariat solat tana perlu bermeditasi.

Begitulah secara ringkasnya tentang rahsia solat dengan spektrum warna. 

Semoga bermanfaat!



SAYA BOLEH AJAR SUBJEK APA?

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 6

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera...
Soalan yang sering saya terima daripada sahabat-sahabat yang teringin untuk mengajar hometuition tapi masih takut-takut ialah :
Saya boleh mengajar subjek apa?

Sahabat, cuba ingat balik apa yang pernah kita belajar di sekolah di kolej dan universiti. Adakah kita belajar sesuatu yang jauh berbeza daripada yang pernah kita belajar di sekolah? Semestinya jawapannya tidak. Kerana di kolej atau universiti, kita tetap belajar Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik. Dan subjek-subjek tambahan yang lain.
Nah, itulah jawapannya.
Dan suka saya mahu ingatkan di sini, kalau tak yakin, mulakan dengan menumpukan pada subjek sekolah rendah.

Tapi, saya memang tak suka subjek matematik. Masa sekolah saya tiru kawan. Hmm, kalau macam tu, sila tanya diri sendiri, saya suka subjek apa ya? 
Mesti anda tahu jawapannya.

Seorang sahabat pernah menghubungi saya, beliau seorang pelajar bidang agama dan sangat minat berniaga. Saya mendapat tahu beliau pernah buka gerai masak nasi kerabu semasa menuntut di universiti (kalau tak silap saya, USIM). Bila tamat belajar, beliau menjadi cikgu tadika, atau mungkin ustazah di sebuah tadika. Alhamdulillah, satu tugas yang sangat mencabar saya rasa. *Sebab saya sendiri bukan penyabar orangnya*

Saya tawarkan padanya kelas 5 kali seminggu dua jam sehari dengan bayaran lebih RM1 +++  sebulan. Ya, satu ribu lebih sebulan. Dekat sangat dengan rumah kami. Saya memang sudah ada jadual yang agak padat pada waktu itu, dan gaji saya pun tak sebanyak kelas yang saya tawarkan tu. Tapi, dia menolak. Katanya : Saya tak tahu nak mengajar apa... Maka, tutup kes.

Kesimpulannya, keyakinan diri sangat penting dan anda mesti kenal diri anda sebelum mengenal klien (ibubapa) dan anak didik anda. Sebelum memulakan langkah perwaja anda, yakinkan diri, tekadkan di dalam hati anda mampu ajar subjek ini.

Sekarang, ramai orang cari ustazah untuk mengajar mengaji di rumah. Anda ada latar belakang agama, jadi inilah masanya anda amalkan apa yang pernah anda belajar. Semoga ini juga menjadi saham kita di Akhirat kelak. Mengajar mendidik anak-anak syurga. 

Di sini suka untuk saya kongsikan subjek yang paling TOP dalam pengajaran hometuisyen ini: 
1) Mengaji Al-Qur'an + Tajwid
2) Matematik
3) Sains
4) Bahasa Inggeris

Anda mampu melakukanya. Yakinlah. Semoga bermanfaat!


Saturday, 17 October 2015

TIPS SEBELUM MEMULAKAN BISNES HOMETUITION

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 5

Dalam setiap kesenangan pasti kita akan bertemu dengan kesusahan. Ingatkan hati untuk sentiasa ikhlas dalam setiap perkara yang akan kita lakukan ya sahabat-sahabat.
Hari ini saya akan kongsikan tips bagaimana untuk kita memulakan langkah dalam menjadi cikgu tuisyen ni.

Pertama, kenali potensi diri.
Macam mana tu? Okey saya bagi contoh, saya seorang pelajar sains, tapi saya boleh mengaji al-qura'an dengan baik dan tahu makhraj sebutan hukum tajwid semua. Maka, saya boleh mengajar mengaji. Disamping subjek sains.

Kedua, kenali hotspot anda.
Hotspot? Apakah? Okey, hotspot kat sini membawa maksud tempat tumpuan anda. Contohnya, saya tinggal di kampung yang mana ramai penduduk kat sini adalah petani dan nelayan. Maka, saya harus bergerak ke tempat yang lebih ramai penduduk yang berkerjaya. Sebab, ramai ibu ayah berkerjaya tak sempat hantar anak ke pusat tuisyen.
Adakah saya tak boleh mengajar anak-anak kampung saya? Bukan. tapi lain caranya. Nanti saya akan terangkan dalam entri seterusnya ya. Insya'allah. Biiznillah.

Ketiga, kenali harga pesaing anda.
Perkara ketiga ni kita perlu lakukan sedikit eksperimen. Bukan eksperimen kat makmal sains, tapi cuba tanya-tanya harga pusat tuisyen sekitar kawasan tumpuan dan harga cikgu tuisyen yang turut buat hometuition di kawasan berkenaan. Macam mana nak tahu orang lain buat juga ya? Kadang-kadang bila kita keluar mesti ada tampal-tampal dekat telefon awam dekat sekolah. Ada tulis ''HOMETUITION ADDMATH RM10" ada tulis ''SERONOK BELAJAR BERSAMA CIKGU RITA'' macam-macam jenis iklan kita akan jumpa. Cubalah tengok-tengok ya.
Pastikan ada list harga sebagai rujukan, jangan bila ada pelajar atau ibuayah hubungi anda, anda katakan  ''Alamak, saya tak tahu la nak letak harga ni, ikut suka hati puan la''. NO.
Kalau nak letak harga lagi mahal, kita kena tahu apa yang kita boleh beri kepada pelajar.

Keempat, mulakan dari rumah.
Haaa, yang ini paling jimat sekali sebab pelajar yang akan datang ke rumah. Jadi sebelum mulakan sesi, silalah berkenalan dengan jiran anda dahulu ya. Contohnya, saya baru berkahwin, masih belum ada cahaya mata, saya boleh berkenal-kenalan dengan jiran tetangga dan perkenalkan diri sebagai hometutor. Selepas itu boleh lah teruskan langkah dengan menampal banner kecil di pagar rumah. Paling penting, ikhlaskan diri untuk bersuai kenal bukan nampak setiap muka jiran tetangga sebagai duit semata-mata ya. IKHLAS.

Kelima, jangan malu mengaku anda adalah cikgu tuisyen.
Perkara ini memang saya sering perhatikan. Senario merendah diri dalam kalangan masyarakat kita. Saya bukan minta anda riak atau bangga dengan kebolehan kecil ini tapi kita patut bangga dengan kerjaya mulia ini. Kenapa tidak saya kenalkan diri saya sebagai ''Saya Izah dan saya seorang cikgu tuisyen''. Bukan nak menunjuk tapi supaya orang kenal. Nama kita adalah jenama kita.
*Janganlah tiba-tiba sahaja perkenalkan diri macam ni. Tengok keadaan yang sesuai.

Mudah betul belajar dengan Doraemon. 

Okeylah cukup dulu 5 tips awal sebelum mula menjadi cikgu tuisyen. Buat suri rumah semua, anda semua mampu menjadi guru yang baik. Semoga bermanfaat.


BE POSITIVE!

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 4


Petang yang mendamaikan. Saya suka berada di rumah pada waktu petang. Duduk-duduk sambil berbual kosong dengan ibu ayah adik-beradik. Nikmat yang sangat saya syukuri. Duduk di pelantaian rumah (bahagian hadapan rumah) sambil menjamah jemput-jemput atau keropok.
Sambil sapu sampah siram pokok bunga sambil tengok-tengokkan si anak saudara bermain masak-masak. Bingit bila bergaduh. Bising bila ketawa riang. Sungguh saya bahagia.


Hari ini saya masih mengecapi semua ini. Alhamdulillah ibu ayah masih berada di sisi dan semoga mereka terus diberi kesihatan yang baik. Insya'Allah.

Indahnya ciptaan-Mu.

Sedikit perkongsian untuk menjadi seorang yang sentiasa positif.
Seorang sahabat saya pernah berkata : ''Awak sangat beruntung, duduk di rumah tinggal bersama mak dan ayah, boleh tengok-tengokkan mereka kalau sakit. Saya ni, lepas belajar terus kahwin dan kerja, langsung tak sempat tolong mak saya. Sekarang dah ada anak, memang langsung tak berkesempatan bersama mak saya.''

Lalu saya pun menjawab : ''Aturan-Nya Maha Cantik. Saya resah bila orang kata saya tak ada kehidupan tak ada kerjaya, tapi saya bangga dapat bersama mak dan ayah saya saat ini. Dan saya bersyukur Allah bagi peluang lebih kepada saya untuk berkhidmat kepada mereka (ibuayah saya)
Dan awak juga patut bersyukur sebab awak sudah ada keluarga, mungkin awak tak sempat membantu dari sudut mata kasar, tapi awak punya kerjaya, awak boleh bantu dari sudut kewangan dan lain-lain, Insya'allah.''
Maka, bersyukurlah walau dimana pun kita. 
Bersangka baik dalam setiap apa yang kita jumpa.
Be positive!

 Saya masih di rumah, melihat air sungai yang mengalir di rumah. Sedangkan orang lain sibuk di kota mencari nafkah dan memiliki kerjaya yang hebat.
Lihat dari sisi positif, saya tak punya kerjaya hebat bersahabat dengan Dato' Datin Tan Sri, tapi saya ada rasa kelapangan di hati.

Saya seorang yang miskin, ada wang cuma RM50. Sedangkan sahabat saya bergaji 5 angka sebulan. Harga dompet pun dah cecah RM10k.
Lihat dari sudut positif, sekurang-kurangnya saya mampu tidur malam dengan tenang tanpa memikirkan si pencuri datang.

Semoga bermanfaat ya...




Friday, 16 October 2015

KUATLAH KALAU MAHU BEKERJA SENDIRI

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 3


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Mudah sungguh mulut berkata 
''Percayalah, sesungguhnya rezeki itu datang daripada Allah''
Benar apa yang dikata, tapi sungguh payah hati menerimanya kan? Saya sedar ramai yang yakin dengan perkara ini cuma kadang-kadang kita sebagai manusia biasa mudah tergugat dengan kata-kata orang sekeliling kita. Nak-nak kalaau awak semua ni keluar universiti tapi akhirnya terperuk kat rumah jadi pengasuh anak-anak saudara. Ramailah yang jadi Internet Bergerak tukang sampaikan cerita, tukang tambah perisa. Siap tanya, ''Ko dah kenapa tak kerja?'' 
Sila jawab dengan yakin tapi penuh kesopanan ya : ''Makcik, saya mengasuh ni pun satu kerja yang mulia juga''
Tapi berapa ramai yang mampu jawab macam ni? Dan berapa ramai yang tak menangis bila memikirkan perkara macam ni bila duk dalam bilik sendirian?
Sebenarnya, siapa kita adalah bagaimana cara kita membawa diri kita. 
Saya pernah berada di tahap ini. Tahap di mana saya sendiri tak tahu apa sebenarnya yang saya mahu dalam hidup ini. 
Kenapa saya jadi macam tu? Sebab dibayangi oleh bayang-bayang kakak dan abang saya yang berjaya.
Orang kampung mengganggap saya juga akan menjadi hebat seperti mereka. ((Definisi hebat makcik-makcik di kampung saya ialah bekerja dengan kerajaan atau bekerja di Kuala Lumpur))
Tapi oleh kerana terjatuh cinta dengan kerja saya sekarang ni (yakni hometutor) saya pekak badakkan telinga. Huhuhu Sakitnya tuh di sini tapi kuatlah kerana kita adalah apa yang kita bawa.
Sekarang saya bangga menjadi seorang tutor. 
Kenapa? Sebab tutor bukan sekadar mendidik si kecil membaca ABC dan mengajar si besar mengira trigonometri, tapi menjadi sahabat yang boleh pelajar hormati dan percayai.
Sebenarnya, realiti anak zaman ini sungguh membimbangkan. Terutamanya anak-anak yang ada ibu ayah berkerjaya. Apabila berhadapan dengan pelajar sekolah menengah kadang-kadang hanya istighfar yang terluah, mendengar kisah mereka di sekolah, di pusat tuisyen. Sungguh walaupun saya ni bukanlah jauh sangat beza umur dengan mereka tapi saya sendiri pun tak pernah berada di situasi mereka. Adab dan akhlak anak-anak kita memang berada di paras kritikal.
Hal sedemikian membuatkan saya tekad memilih kerjaya ini. Andai kata dipanjangkan usia bertemu jodoh, saya tetap masih mampu mengajar, sekurang-kurangnya untuk anak-anak soleh solehah saya kelak, Insya'Allah.

Perkongsian ini hanyalah sebagai pembina semangat buat mereka yang masih tercari-cari diri dan kabur tentang apa itu dunia hometutor atau cikgu tuisyen.
Kelak saya akan kongsikan pula bagaimana untuk memulakan kerjaya sebagai cikgu tuisyen ya. Semoga bermanfaat.




Thursday, 15 October 2015

MAHALNYA SEBUAH KEIKHLASAN

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 2
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera.
Ramai yang punyai persoalan di atas. Cik, sebenarnya saya layak ke mengajar? Sebenarnya saya tak pernah ada pengalaman mengajar pun, boleh ke saya?
Soalan ini bukan untuk ditanya pada orang lain tapi tanyalah pada diri sendiri. Layakkah saya? Ingin saya tekankan di sini mengajar bukan kerana wang semata tapi biar ia lahir dari hati. Kenapa? Sebab setiap perkara yang kita lakukan dengan ikhlas akan nampak cahayanya. Macam mana tu?
Saya pernah mengajar dua beradik yang sangat aktif. tapi taklah sampai hyperactive. Si abang suka melengah-lengahkan masa si adik suka melukis. Si abang adalah pelajar tahun 6 manakala si adik baru di tahun 2. Dua jam saya mengajar mereka (sejam seorang) tapi masa bagaikan tak berganjak saya rasa.
Setiap minggu bila sampai giliran ke rumah mereka saya selalu mengeluh dan alasan timbul di benak. Macam-macam bisikan kemalasan duk terngiang-ngiang di telinga. Fuhhh sungguh saya tak tahan tapi saya gagahkan juga sebab memikirkan si abang yang bakal menduduki UPSR pada tahun tersebut.
Sungguh terasa betapa saya terpaksa mengajar mereka dan sampai ke habis sesi saya selalu tak puas hati dan tak senang duduk. Sungguh perasaan tak ikhlas merosakkan mood saya.


Dalam mengajar tuisyen tipsnya mudah je, kalau ikhlas memang masa sejam ke dua jam tak terasa pun dan balik boleh senyum puas hati dan hasil yang diperoleh juga terasa mencukupi.

Apa kaitannya? Saya cuma nak berkongsi di sini, setiap daripada kita dilahirkan sebagai pendidik. Cuma minat yang membezakan setiap daripada kita. Dan lahirnya sebuah keikhlasan itu adalah satu bonus penguat semangat untuk kita terus fokus dalam apa jua bidang yang akan kita pilih.
Kenapa saya katakan kita adalah seorang pendidik? Kerana, kita yang mendidik hati untuk bersifat dengan kemuliaan atau kehinaan. Sekurang-kurangnya kita adalah pendidik diri kita sendiri.
Saya sedar, secara logiknya ramai yang memilih untuk menjadi hometutor ni sebagai satu kerja part-time semata-mata.
"Alah, sementara aku dapat keje best, aku mengajar je lah, budak tu nak dapat A ke Z ke ape nak kalut, hal dia lah..aku pegi sejam, balik, hujung bulan dapat duit. Keje kejap, duit masyuk''
 Ni antara kata-kata yang orang selalu diucapkan dan selalu menjadi monolog dalaman orang-orang yang tak berapa nak ikhlas. Erk. 
Tapi, saya tahu hanya Allah pemegang kunci hati setiap manusia, maksudnya mungkin awal2 dia tak ikhlas, lama2 makin bertambah persen keihlasannya. Sape tahu kan?
Contoh macam saya la, nak pegi kursus Mudahnya tajwid, tak niat nak join hometuisyen, pikir masa tu nak keje kat rumah je, taknak dah duk jauh2, maka terjoinlah secara tak sengaja. Dan alhamdulillah saya mendapat pelajar yang sangat tak bermasalah yang turut membantu saya menambahkan keikhlasan di hati. Chewah...
Kesimpulannya, dalam apa pun pekerjaan letakkan ikhlas di tempatnya di dalam hati kita. Sungguh manisnya ikhlas itu takkan terucap dengan kata-kata.
Semoga bermanfaat.