Wednesday, 30 December 2015

JAYYID JIDDAN! ALHAMDULILLAH.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 63

Hari ini 30 Disember, adik saya satu-satunya pergi sekolah ambil keputusan peperiksaan. Di Kelantan, konsep pembelajaran di sekolah-sekolah agama rakyat agak berbeza dengan sekolah biasa. Adik saya bersekolah di Maahad yang merupakan sekolah agama rakyat di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Kelantan. 

Di Maahad atau sekolah agama rakyat yang lain, subjek yang diajar adalah lebih banyka berbanding di sekolah menengah biasa. Antara subjek lain yang kami pelajari ialah Tafsir, Hadis, Al- Qur'an, Sirah, Nahu, Soraf, Tauhid, Feqah, Adab Nusus, dan banyak lagi. Teknik yang utama untuk subjek-subjek ini ialah menggunakan teknik faham dan hafal. Bunyi macam banyak tapi semua subjek-subjek ini memang sangat seronok untuk dipelajari. Alhamdulillah. Sungguh, kadang-kadang hati saya terasa rindu dengan zaman-zaman hafal menghafal.

Hari ini adik saya ke sekolah menerima keputusan SMU. SMU atau Sijil Menengah Ugama adalah wajib diduduki oleh pelajar Tingkatan 4 di setiap sekolah agama rakyat di Kelantan. Alhamdulillah, dia mendapat JAYYID JIDDAN. Walaupun bukanlah yang paling cemerlang tapi saya bersyukur sekurang-kurangnya saya melihat usaha dan semangat dia menghafal setiap pelajaran. Yang paling cemerlang ialah Mumtaz. Agak kecewa katanya tapi saya katakan, mungkin setakat itu usaha kita, nanti boleh usaha lagi untuk SPM tahun depan.


Keputusan adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Tapi kalau mendapat apa yang tidak diharapkan jangan cepat mengalah kerana setiap yang terjadi ada terselit 1001 hikmah yang tidak kita sedar.
Tahniah buat adikku walaupun tidaklah mendapat keputusan yang paling cemerlang, sekurang-kurangnya, usahamu tidak sia-sia. I am proud of you.

Kata adik saya, kawan-kawan yang lain jauh lagi hebat, Mumtaz semuanya... Tapi dia hanya mendapat dua Mumtaz saja. 
Sebab itulah kena usaha awal-awal dik kalau mahukan kejayaan.

Sijil atas ini saya punya. Hehe. Walaupun tidak cemerlang sangat tapi saya memang jenis redha saja berapa yang saya dapat sebab saya tahu usaha saya setakat mana.
So, buat adik-adik di luar sana jangan sedih ya, usaha lagi. Mungkin tak semudah bagai dikata tapi ingat, ilmu bukan di sijil semata tapi harus dicerna dalam jiwa dan diamal setiap masa.

Gambar ini sekadar perkongsian bukan niat mahu menunjuk-nunjuk sebab keputusan kami dua beradik memang tak cemerlang pun. Hehe.
Sekadar terimbau kenangan lama.
Rindu zaman berdiri atas kerusi sebab tak ingat bila ustazah soal.

Sebenarnya, menarik juga cerita kami di sekolah agama rakyat. Saya tahu ramai yang tidak jelas tentang kedudukan sekolah agama di Kelantan. Ramai menyangka kami belajar seperti sekolah Maahad biasa dan berita suka menggemburkan tentang rosaknya akhlak pelajar sekolah agama. Dan suka meletakkan nama 'pelajar sekolah agama' ditangkap khalwat sebagai satu bahan sensasi mereka.
Kelak saya akan kongsikan cerita lagi Insya'Allah.



Tuesday, 29 December 2015

2016 is coming...

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 62

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Masih diberi kesempatan dan peluang untuk menghirup udara dan melihat alam ciptaan Tuhan Yang Satu.

Bagaimana dengan perancangan tahun baru kalian? 
Sudah mula menyiapkan senarai pencapaian terbaik 2015 dalam hidup kalian atau sudah menyiapkan senarai apa yang harus dicapai di tahun akan datang?


Hometuition saya sudah mula diterima di kampung saya. Saya harap legasi kecil ini terus bersambung dan tersebar dalam usaha membantu pelajar-pelajar di kampung celik akan kepentingan ilmu.
Bukanlah mengatakan pelajar di kampung itu tergolong dalam golongan pelajar lemah. Bahkan kadang-kadang mereka pula lebih bijak dan hebat.
Maksud saya, kadang-kadang mereka tidak berjumpa orang yang boleh menunjukkan jalan. Rata-rata pelajar yang saya terima setakat hujung tahun 2015 ini, mereka mengatakan tidak sempat mengejar apabila guru mengajar di kelas. Pergi ke pusat tuisyen, rakan-rakan yang lain sudah jelas dahn faham tapi mereka masih terkial-kial mencari jawapan.
Marilah kita menjadi sebahagian daripada penyumbang kejayaan anak pelajar ini.

Mulai tahun depan, saya akan mula membuat kertas soalan khas hanya untuk mereka yang belajar bersama saya, Insya'Allah. 
Niat saya cuma satu, apa yang tidak jelas di sekolah atau pusat tuisyen saya akan bantu sehingga mereka faham. 
Semoga semua pelajar hebat ini berjaya di dunia dan akhirat.
Entri kali ini sekadar untuk membangunkan semangat yang suka tertidur.
Bittaufiq wannajah.

Saturday, 26 December 2015

DOA

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 61

Jangan dipisahkan hati kita dengan doa. Mulakan setiap pekerjaan dengan doa. Hari ini ringan tangan saya ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat semua tentang senjata rahsia yang satu ini. DOA. Mulakan kelas anda dengan doa supaya mudah pelajar menerima setiap pelajaran, fasih lidahnya menyebut pembacaan, terang hati untuk mengingat pelajaran, jelas sebutan kita untuk mengajarkan ilmu Tuhan.

Bismillah...


Semoga bermanfaat.


Monday, 21 December 2015

KELAS MALAM SEMPENA CUTI SEKOLAH

TEKS: Faizah Yusoff
#Entri 60

Beberapa minggu yang agak panjang untuk saya tempuh. Tapi saya tetap akan meneruskan penulisan di medan blog ini. 

Semalam saya buka kelas di rumah, bersama tiga orang pelajar lelaki peringkat SPM dua orang dan PT2 seorang. Saya yakin untuk buat kelas mereka dalam satu sesi yang sama mereka bukanlah dalam kalangan pelajar yang lemah kritikal. Lagipun kelas mereka hanya berbentuk kelas pembelajaran asas yang mana saya mengajar semula apa yang mereka belajar di Tingkatan 1,2 dan 3 yang akan dibangkitkan kembali di peringkat SPM.
**Kelas campur sebegini adalah tidak digalakkan buat tutor yang baru ya, sebab agak sukar dikawal.
Bukanlah bermakna saya sudah mahir dan berpengalaman benar, tetapi dalam kelas saya, saya akan melihat tahap pencapaian mereka dan apa yang ibubapa mahukan. Macam kelas ini, ibubapa mahukan anak mereka belajar berkumpulan asalkan mereka tahu apa yang mereka belajar dan jelas arahan saya pada mereka.

Tiba-tiba saya menjadi ustazah pula semalam. Begini kisahnya, semalam pelajar saya agak 'tiada mood' mahu belajar Matematik. Kelas saya bermula pada jam 9 malam dan tamat pada pukul 10 malam sahaja. Saya risau juga sebabnya tajuk yang saya ajarkan semalam memang sudah tiga malam saya ulang. Pelajar PT2 saya memang siap-siap minta dia siapkan tajuk poligon. Saya akan beri tugasan tajuk BERAT vs. RINGAN. Maksudnya kalau tugasan PT2 saya berikan yang susah atau berat, SPM pula saya akan berikan latihan mudah dan ringkas dan tak memerlukan teknik yang banyak. Begitulah seterusnya.

Berbalik kepada cerita ustazah, bila pelajar nampak 'lain macam' saya pun mula ambil buku PENDIDIKAN ISLAM yang memang elok tersusun di atas meja belajar di rumah saya. Saya minta pelajar PT2 buka cerita tentang Sirah. Saya mula tanyakan tentang Khalifah-Khalifah Islam. 

SAYA: BERAPAKAH BILANGAN KHALIFAH ISLAM LEPAS KEMANGKATAN RASUL S.A.W?
PT2 : SEMBILAN.
SPM 1 : *senyap*
SPM 2 : 4 ORANG

Kemudian mereka mula gelak-gelak menyakat saya, ''MESTI CIKGU PUN LUPA NI KAN, SEBAB TU TANYA KAMI, KAN KAN KAN?

Saya diam saja sambil tersenyum. Kemudian saya tanyakan pada yang sebut 4 orang tadi, siapa nama khalifah-khalifah tersebut. Lancar dia menyebut satu persatu. Alhamdulillah, ada juga yang ingat. Saya pun sambung, sekurang-kurangnya awak kena ingat perkara asas ni.

Lagi saya sambung 'CERAMAH PENDEK' saya, saya ceritakan tentang bahaya Syiah dan cabaran pelajar hari ini. Mereka khusyuk dengar sambil tunjuk muka kelat. Kata mereka, takut rasanya nak sambung belajar lepas SPM, sambung di universiti. Nanti terjumpa rakan yang salah. Saya nasihatkan mereka, sebab itulah pegangan agama harus teguh. Kalau pegangan awak teguh di mana pun awak berada, Insya'Allah, diri dan hati tetap terjaga.

Sekian. Sekadar perkongsian. Kalau sekiranya tiba-tiba pelajar nampak 'takde mood' pancing minat mereka dengan tazkirah ringkas atau kisah-kisah yang boleh menaikkan semangat mereka. Dan sekurang-kurangnya, malam itu mereka tak dapat nak hadam pelajaran Matematik, tapi ada perkara lain yang berfaedah yang dapat mereka hadam, Insya'Allah!
Semoga bermanfaat.


Thursday, 17 December 2015

PUPUK MINAT MEMBACA

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 59

Membaca.
Saya pernah mempunyai seorang pelajar Tahun 3 yang sangat petah dan bijak. Selama hampir setahun saya mengenali keluarga ini. Rumahnya berdekatan dengan sebuah sungai kecil memang menenangkan jiwa tiap kali saya ke sana. Keluarga yang sempurna di mata saya. Alhamdulillah. 
Baiklah, bukan itu yang saya nak kongsikan di sini. Tetapi satu 'tabiat' keluarga ini yang buat saya bangga mengenali mereka menjadi seorang daripada kenalan keluarga ini.

Tabiat membaca.
Mereka berkongsi minat membaca.
*Tips untuk ibubapa yang mahu anak-anak bijak semulajadi*

Saya suka untuk berkongsi di sini walaupun ramai orang tahu membaca tu satu tabiat yang sangat baik dan menyeronokkan dan boleh dipupuk dari kecil tapi berapa ramai yang menganggap ia sebagai satu perkara untuk diamalkan bila berkeluarga kelak. 
Keluarga ini mempunyai sebuah perpustakaan mini di rumah mereka. Mungkin boleh dikatakan kerana mereka mampu. Tapi walaupun tanpa mini perpustakaan pun kita mampu sebenarnya melakukan aktiviti ini dan jadikan ia satu habit di dalam keluarga kecil kita.
Insya'allah, saya pun akan mencuba kelak memandangkan sekarang masih belum terbina keluarga kecil idaman saya, tapi kelak Insya'allah!

Dulu, semasa menuntut di sekolah menengah, satu sikap yang saya tak jumpa di tempat lain ialah budaya 'membawa buku' di sekolah saya. Saya bersekolah di sekolah agama milik kerajaan negeri dan guru-guru kami kebanyakannya terdiri daripada guru-guru pondok di sekitar Kelantan.
Guru-guru kami memang akan memupuk budaya ini sejak kami melangkah ke Tingkatan 1. Maklumlah kebanyakan pelajar memang tak gemar membaca. Kami diwajibkan membawa sekeping nota atau buku hafalan atau buku akademik kalau mahu ke mana-mana di sekitar sekolah. Kecuali tandas la kan. Tapi punya lah masa tu kami terdidik dengan budaya ini, sampai ke tandas pun kami bawa. Tapi tinggal di luar tandas la ya. 
Memang berkesan.
Sebabnya? Kami memang akan sentiasa memegang buku. Bukan pegang sahaja ya, bila ada buku di tangan automatiknya sambil menunggu kawan-kawan atau waktu rehat kalau berseorangan kami akan mula membelek apa yang ada di tangan. Malah bila bersama rakan, automatiknya kami akan berkongsi dan bertanya apa yang tidak faham. Subhanallah. Walaupun pada awalnya, kami hadir ke sekolah dengan latar belakang yang berbeza, tapi kami terpupuk dengan budaya yang sama.

Bolehlah rakan tutor semua jadikan ia sebagai satu budaya sihat. Kenapa? Kenapa penting menjadi seorang tutor kena membaca dan jadikan ia satu tabiat? Kerana kita terdedah dengan situasi yang pelbagai yang memang kadang-kadang kita tak pernah temui dan hadapi pun dalam hidup.
Sebab itulah saya berkongsi idea ini di sini. 
Satu solusi yang mudah tapi berat untuk dilakukan.
Sampai sekarang, saya seakan sukar tidur kalau tak pegang satu buku sebelum tidur walaupun hanyalah sebuah komik zaman dahulu kala. Itulah saya. Malah anak pelajar saya suka sangat kalau saya katakan "Baiklah, buat tugasan ini sampai siap nanti cikgu cerita kisah best"
Pastinya tugas yang saya berikan akan dibuat dengan jayanya! 

Membaca walau di mana sahaja.

Dalam entri seterusnya saya akan sambung cerita tentang membaca untuk pelajar pula ya. Tips berkesan buat penggemar buku supaya cemerlang dalam pelajaran dan rakan tutor boleh kongsikan bersama pelajar nanti. 
Jumpa lagi, semoga bermanfaat!




Monday, 14 December 2015

ISU PELAJAR 1 : KELIRU.

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 58

?
?
?
Semasa menuntut di sekolah menengah, saya memang pernah belajar di pusat tuisyen yang lebih 5km dari rumah. Pada masa tu, sekitar tahun 2007, memang tak banyak pusat tuisyen berbanding dengan hari ini. Bila diingat balik, macam terasa rajin juga rupanya saya dahulu ya. Hehe. Sekarang, tak sampai 15 minit perjalanan mesti akan nampak papan tanda pusat tuisyen. Tapi kenapa hometuition juga yang jadi pilihan walaupun tak semua yang kenal istilah 'hometutor' ini?

Sebab paling utama ialah bila kelas penuh memang cikgu tak dapat beri tumpuan kepada setiap pelajar. Dan yang agak 'lambat' akan ditinggalkan terkial-kial. Terutamanya bila awak memang jenis pelajar 'tiada mulut'. Istilah 'tiada mulut' di sini bermaksud tak suka menonjol dan tak banyak bertanya di dalam kelas tak kisah lah tanya pada guru atau pada rakan.
Sebab kecilnya, memang cara penyampaian yang cikgu gunakan tidak berkesan pada pelajar tersebut. Mungkin terlalu laju atau memang dah tak berapa laju tapi suka 'skip-skip' penerangan.

Pengalaman saya, kebanyakan pelajar yang menghubungi 'hometutor' ini bukanlah terdiri daripada pelajar tercorot dalam kelas, bahkan ada dalam kalangan mereka yang memang aktif dan gemar bertanya di dalam kelas sama ada pada guru atau rakan sebaya. Tapi cara penerangan cikgu atau rakan mereka tidak dapat memahamkan mereka dengan sebaiknya. Akhirnya mereka main buat saja itu teknik tanpa faham pun apa yang mereka buat. Dan bila dapat soalan KBAT, memang terus angkat 'bendera putih'.

Seperti yang sering dihadapi pelajar hari ini, saya dahulu juga mempunyai isu yang sama, otak terasa berkecamuk. Apa yang diterangkan oleh guru semacam angin lalu saja tidak langsung menyinggah di minda. Dan cikgu saya akan terus mengajar kerana kebanyakan pelajar lain sudah mula menghadam apa yang diajar dan saya terus menerus tidak faham dan terasa ketinggalan. Tanpa disedari, semakin hari topik tersebut terus saya tinggalkan sampailah dekat dengan peperiksaan dan pada masa ini memang hati sudah remuk redam.

Solusi pada masalah ini ialah : MESTI BERTANYA!

Dahulu, saya cukup benci pada orang yang suka bertanya. Saya rasa mereka merasakan mereka lebih tahu daripada orang lain dan seakan-akan mahu menunjuk kefahaman mereka yang agak 'lebih sedikit'. Bertapa mundurnya minda saya waktu itu. Sebenarnya, bertanya adalah satu latihan kefahaman yang baik. Satu proses terbaik untuk menambahkan pemahaman orang yang bertanya dan orang yang berada disekelilingnya.

Saya yakin, ada hometutor yang akan berdepan dengan pelajar yang 'tiada mulut' ini. Bila satu ditanya, satu dijawab. Nampak semasa kita ajar, seakan faham tapi bila peperiksaan, keputusan makin rendah berbanding sebelum buat 'hometuisyen'. Dan ibu ayah sudah mula menghantar keputusan anak mereka dan bertanya solusi pada kita. Nah, beritahu pelajar anda, SILA TANYA SEKIRANYA TIDAK FAHAM. Jangan simpan sampai masuk tajuk baharu. Akhirnya, diri sendiri merana.

"Tapi cikgu, saya tak berani..."

Baiklah, pertama sekali, mulakan latihan bertanya ini sesama rakan sebaya.
Kemudian, anda mesti akan mempunyai keberanian berjumpa dan bertanya guru secara perseorangan untuk bertanya. Atau boleh diajak rakan.
Akhirnya, bila sudah biasa, anda akan merasakan bertanya di dalam kelas itu adalah satu perkara yang biasa. Insya'allah.

Secara ringkasnya, bertanya adalah amat penting dan memberi kesan yang besar. Banyak beban atau ketidakfahaman kita yang dapat diselesaikan pada masa itu juga. Jadi tiada beban lagi untuk kita momokkan di dalam minda.
Paksa diri untuk menjadi berani. Selamat mencuba.

*Ada satu perkongsian lucu, kalau awak takut untuk bertanya di dalam kelas kerana sikap gugup yang melampau, fikirkan seminit, guru di depan awak sedang memakai baju badut atau wajah bengis cikgu tersebut kita bayangkan sedang membuat lawak. Nah, awak pasti tidak takut lagi*




Sunday, 13 December 2015

DISEMBER.

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 57

Disember datang lagi. Sudah hampir ke pertengahan Disember rupanya. Tentang kelas hometuition saya, alhamdulillah masih berjalan seperti biasa. Malah saya telah menerima seorang pelajar baru lagi. Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah. Bagaimana dengan kelas sahabat semua?

Kalau anda seorang surirumah, dan sekarang sedang balik bercuti, boleh sahaja tangguhkan kelas sementara mahu pulang ke desa halaman. Hanya memerlukan persetujuan daripada ibubapa pelajar sahaja. Itulah majikan sementara kita. Majikan yang biasanya mudah untuk dibawa berbincang dan sangat mudah untuk mendapat cuti. Bestkan kerja macam ni?
Kawan-kawan saya yang kerja ikut masa pejabat selalu kata, "nampaknya aku pun nak kerja macam kau lah".
Saya katakan pada mereka, "kalau tak cukup tabah sila mulakan kerja ini sebagai separuh masa sahaja. Bukan mahu menurunkan persen semangat mereka, sekadar nasihat untuk permulaan baiklah jangan cepat buat keputusan untuk berhenti kerja. Setiap kerja ada cabarannya tersendiri.

Sekarang saya memang cuba mengaktifkan diri mengajar di rumah sahaja. Bulan hadapan mungkin saya akan mengajar semula pelajar lama saya yang bercuti untuk bulan ini. Jadual yang mudah disusun. Pendapatan lumayan hanya dengan sedikit perkongsian ilmu bersama pelajar.

Sedikit nasihat saya, hati kena ikhlas kalau mahu lama berkhidmat dalam tugasan penuh cabaran ini. Masa jangan kedekut kerana ia juga sebahagian daripada sedekah. Semoga bermanfaat.



Thursday, 10 December 2015

MENYESALKAH MENJADI TUTOR?

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 56

Waktu lapang terasa sangat terhad beberapa hari ini. Buka blog tak sempat menaip menulis entri dah kena keluar pergi situ sini. Almaklumlah 'orang penting' kat rumah ni. Insya'allah saya akan terus gigihkan hati berkongsi pandangan dan pengalaman menjadi hometutor selama ini. Walaupun tak seberapa tapi mungkin ada cikgu tuisyen di luar sana yang berhadapan dengan situasi yang sama dan akhirnya sampai terasa 'tersalah' memilih kerjaya sebagai cikgu tuisyen ini. **Harap tak adalah sampai menyesal.

Baiklah, saya pernah mengalami situasi di mana terasa ''hai lah menyesal pulak aku terima kelas ni, dah lah pelajar ni susah nak handle, mak pulak suka ikut kepala sendiri, asal pergi kelas kat rumah dia ja, rasa tension, asal pegi je rasa nak tension!''
Ini monolog dalaman orang kerja mengajar tuisyen yang paling lama dua jam.

''Hai lah, hujan lah pulak pagi ni, kenapa la bos ni tak pegi outstation ja hari ni? Bolehlah aku ambil cuti demam kura-kura hari ni, malasnya nak bangkit dari tidur..."
Ni pula monolog dalaman orang kerja 8 jam sehari 5 atau 6 hari seminggu.

Agak-agak apa yang kita rasa??? Masih menyesal ke memilih jalan ini sebagai hala tuju kita?
Kesimpulannya, setiap jalan yang kita pilih punyai liku yang berbeza. Setiap orang punyai pandangan masing-masing tentang pilihan dalam hidup.

Sebenarnya, saya bukanlah mahu menyeru semua orang supaya mengajar tuisyen apatah lagi meletakkan menjadi 'hometutor' adalah kerja rangking paling mulia, sememangnya bukan itu yang nak saya sampaikan. Saya cuma mahu meletakkan tugas sebagai tutor ni bukanlah kerja remeh yang semua orang boleh dan mampu buat. Maka berbanggalah menjadi sebahagian daripada pendakwah kecil di bumi Tuhan, mengajar secebis ilmu dan memperbetul secubit akhlak si pelajar yang kini kebanyakan kian merosot.

Kenapa? Kenapa mesti selalu ingatkan hati bahawa tugas ini adalah bukan tugas sembarangan? Kerana saya sedar pandangan masyarakat kita terutamanya jika kita tinggal di kampung, yang selalu menganggap :
''Anak aku tak kerja pun, mengajar tuisyen saja''... Dan ayat ini boleh menjadi satu 'DURI' atau 'PEMBAKAR SEMANGAT'.

Semoga entri kali ini membuat kita semua termasuk saya merenung sejenak dan yakin dengan rezeki yang Allah tetapkan untuk kita.

Sunday, 6 December 2015

AWAK ORANG BIJAK, TAKPE LAH... SAYA???

Teks : Faizah Yusoff
#Entri 55

Isu terkini pelajar yang mendapat keputusan tercorot ialah : saya bukan pelajar pintar!
Kononnya, walaupun mencuba sedaya upaya siang dan malam belajar, masih juga mendapat keputusan sederhana atau lulus 'cukup-cukup makan' sahaja.
Perbahasan tentang isu ini memang tak akan pernah habis dan ini sebenarnya menunjukkan kejahilan dan perasaan rendah diri yang terlampau oleh seseorang yang bergelar penuntut ilmu.
Ini antara isu yang selalu saya jumpa bila berhadapan dengan pelajar sekolah menengah. Diulangi, pelajar sekolah menengah. Mungkin kerana pelajar sekolah rendah, mereka lebih memikirkan tentang bermain dan komitmen sedikit sahaja tentang pelajaran berbanding pelajar sekolah menengah. 
Hal ini bila saya perhatikan, adalah berpunca daripada persekitaran dan perkembangan minda pelajar. Apabila mula menginjak ke usia remaja, mereka mula memikirkan komen orang lain tentang diri mereka. Mula pandai menilai diri sendiri dan memerhati persekitaran mereka. Jika mereka mampu mencerap semangat positif di usia ini, maka mereka pasti akan berjaya kelak. Tapi kebanyakannya, memang selalu cepat pudar semangat dan kurang yakin pada potensi diri.

Be positive!!!
Sebenarnya keazaman yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam apa jua yang kita lakukan itulah kunci kepada kejayaan dan akan menolak kita mara ke hadapan dengan berani.
Otak yang geliga atau rajin semata hanyalah sebahagian daripadanya. Belajar sampai larut malam mentelaah bertimbun-timbun buku tapi kalau tak faham tiada gunanya.
''Kerja harus minimum, hasilnya harus maksimum!''
Itulah sebenarnya rahsia kejayaan.
Sebagai tutor, kita cuma bertindak sebagai sebahagian daripada usaha pelajar. Kita adalah orang yang mampu mengubah persepsi pelajar daripada negatif kepada positif. Mengajar harus dari hati dengan niat membantu mereka mengenal potensi diri. 
Berbanggalah menjadi sebahagian daripada kejayaan anak pelajar. Semoga entri kali ini mampu membakar semangat yang kadang-kadang ke laut apabila sering berhadapan dengan pelajar yang tiada semangat dan sentiasa berfikiran negatif.
Katakan pada mereka dengan yakin, ''anda bukanlah orang yang bodoh!''
Usaha, doa dan tawakkal. Itulah senjata orang muslim yang mukmin.

P/S: Akhir-akhir ini entri saya lebih kepada motivasi diri kerana aktiviti mengajar agak terbatas. Semua pelajar saya tengah semangat bercuti. Sebelum nak lahirkan pelajar berminda positif, kita sebagai tutor terlebih dahulu mestilah menjadi orang yang positif. Insya'Allah!

Wednesday, 2 December 2015

SAYA PELAJAR HEBAT!

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 54


Hari ini niat di hati ingin berkongsi semangat belajar bersama para pelajar. Mungkin sahabat semua bolehlah menyampaikan secebis ingatan ini buat para pelajar sahabat semua. Kadang-kadang ada pelajar yang sangat mudah berputus asa, terutamanya apabila sering gagal walaupun belajar sama saja dengan rakan-rakan yang lain. Isu ini memang akan selalu timbul dan acap kali mereka yang bergelar 'guru' akan jumpa. Bila jumpa guru di sekolah biasanya mereka lebih kepada nasihat secara umum, tapi buat hometutor, pastinya anda lebih dekat dengan pelajar. Sentuh jiwa remaja mereka secara halus insya'allah sampai mesejnya.

Ramai pelajar merasakan mereka ini lembap, tidak pandai macam orang itu orang ini. Berasa rendah diri bila sering dibanding-bandingkan terutama oleh ahli keluarga terdekat apabila keputusan lebih tercorot berbanding si kakak atau abang. Memang situasi ini seringkali dan sentiasa terjadi. Sampaikan mereka merasakan "buat apa lagi saya belajar dan hafal rumusan dan formula, saya memang bodoh!" 

Di sinilah kesilapan terbesar dan ramai pelajar tertipu dengan keadaan sedemikian. Kesilapan terbesar ini pelajar lakukan sehingga mengabaikan bakat semulajadi yang lain serta kebolehan yang ada dalam diri turut diabaikan. Sebenarnya, bukan salah pelajar 100%, tapi sogokan dan tekanan daripada orang sekeliling turut mempengaruhi emosi dan minda.

Sekarang, katakan pada mereka:
Cuba fikirkan kembali, sebenarnya kita semua mempuanyai peluaang yang sama sahaja. Sama ada kita bijakkah atau sering mendapat markah tercorot. TETAPI, terpulanglah pada diri sendiri sama ada benar ingin mencapai kejayaan tersebut atau tidak. Adakah sudah cukup bersungguh-sungguh kita berusaha? Atau cuma sekadar membuka nota seketika sebelum melelapkan mata?

Okey, ini adalah intro untuk menasihati pelajar yang cepat mengeluh ya, nanti kita sambung lagi. Nasihat kena berperingkat barulah semangat mereka yang luntur akan bersinar kembali. Wah macam hebat pula bunga bahasa saya kali ini. Semoga bermanfaat ya.

Hai Tutors...

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 53

Assalamualaikum, banyak lagi rasanya saya perlu kemaskini blog saya ini, buat kemudahan tutor dan rujukan pelajar juga ibu bapa. Oh ya, hari ini saya nak berkongsi maklumat buat tutor-tutor atau cikgu tuisyen yang baru hendak memulakan langkah belajar mengajar. Saya tahu, hari ini sudah semakin ramai orang menjadi hometutor sebagai satu platform untuk menjana wang sampingan. Almaklumlah semua barang keperluan dah melonjak naik melepasi tahap kemampuan. Semalam pun semasa saya ke kedai runcit berbekalkan RM3 dah tak boleh dapatkan mee kuning Cap Sampan tu, rupanya RM1.20 sepeket, sedangkan sebelum ini RM1 saja. Okey, tu cerita semalam.

Hari ini, saya nak buka sedikit minda kita dengan merujuk beberapa website tentang hometuition, saya kongsikan khas untuk anda tenaga pengajar hebat. Tak payah fikir macam mana nak berpromosi dah, sebab dah ada inisiatif orang tengah sebagai alat untuk memperkenal cikgu tuisyen dengan klien (ibubapa) di alam maya ini.

Pertama, TutorKami.com. Tutor kami adalah platform terbaik anda untuk menjadi tenaga pengajar yang sering pening cara untuk 'promote' diri sendiri. Tutor kami menjadi orang tengah dan bertapak di hampir semua negeri kerana mereka adalah sebuah agensi yang menghubungkan kita, para tutor dan ibu bapa. Ibu bapa hanya menghubungi mereka dan menyatakan ciri-ciri sesi pembelajaran yang mereka kehendaki dan pihak TutorKami akan 'matching'kan tutor mana dalam senarai tutor mereka. Elaun semua akan diuruskan oleh pihak TutorKami. Insya'Allah, setakat ini, memang boleh dipercayai. Cubalah!

Kedua, HomeTuition2u. Mereka juga seperti tutorkami lebih kepada agensi penemu jodoh pertemuan ibubapa dengan tutor. Ramai sangat tutor yang mendaftar di sini, mungkin kerana pasaran mereka lebih luas mungkin. Bolehlah mencuba ya!

Ketiga, HometuitionInfitah. Infitah lebih kepada kumpulan yang bergerak dari negeri ke negeri yang berpusat di Selangor. Mereka terdiri dari otai-otai hometutor hebat yang berlatarbelakangkan bukan bidang pendidikan tetapi minat mengajar. Sekiranya anda sahabat berminat menjadi sebahagian daripada kumpulan mereka, bolehlah menghubungi pengurusan negeri masing-masing ya. Sebab mengikut pengalaman saya, Infitah memang mempuyai pengurus di hampir setiap negeri. Mereka antara kumpulan hometuition yang mana pengurusan turut 'turun padang' mengajar dan aktif menjalankan program-program pendidikan di seluruh Malaysia. tak rugi bersama orang hebat! Insya'Allah.

Cukuplah 3 cadangan untuk hari ini ya. Sebenarnya banyak yang menjadi 'orang tengah' dalam hometuition ini. Setahu saya pasaran di negeri saya Kelantan pun dah makin meluas, tapi saya tetap dengan cara saya. macam degil pun ada ya. Tak ade lah, saya cuma berniat mahu majukan dan pandaikan anak remaja di kampung saya saja, jadi biarlah saya bergerak dari rumah dahulu, tapi saya memang ada sedikit pengalaman bersama-sama agensi-agensi hometuition di atas. Semoga entri kali ini memberi sinar harapan buat sahabat semua ya!

Monday, 30 November 2015

SAMBUNGAN SIMPOSIUM TUTOR PROFESIONAL

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 52

Sambungan coretan semalam tentang Program Simposium Tutor Profesional 2015 yang sudah selamat berlangsung selama dua hari bertempat di UKM, Bangi. Ini adalah antara pelopor idea hometuition di Malaysia. Semoga kita semua pun boleh jadi cikgu tuisyen hebat juga selepas ini Insya'Allah.
Di bawah ini saya kongsikan gambar sekitar program ini. Walaupun tak dapat menghadirkan diri dalam kursus hebat ini, bersama mereka yang hebat, semoga kelak mereka akan datang buat program ke tempat kita pula ya!


Dapat tengok dari jauh je lah masteryus orang hebat hometuition ni. Harap berkesempatan bekerjasama dengan mereka yang hebat ini.

Sunday, 29 November 2015

PROGRAM TUTOR PROFESIONAL

FOTO : Carian Google
#Entri 51




SIMPOSIUM TUTOR PROFFESIONAL hari ini... Terlambat sudah. Mungkin program selepas ini saya boleh war-warkan di sini.

Saturday, 28 November 2015

DEFINISI KEJAYAAN

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 50

Sudah tentu inilah definisi kejayaan yang kerapkali kebanyakan orang akan fikirkan. Dan ya, termasuk kita juga sebenarnya sama ada kita sedar atau tak sedar.

"Anak aku dapat 8A PMR, anak kau dapat berapa?"
"Aku tak pandai sekolah macam kau, aku dapat 1A je UPSR, tak hebat macam kau, dapat 5A"
"Lepas ni kerja Kolumpu la anak makcik, sebab dah habis universiti"
"Leman sekarang jadi petani jer, tak macam anak kau Syarif kerja bank"

Dialog yang selalu kita dengar dan memang kita akan sentiasa jumpa. Dan mungkin kita pun pernah berkata begini.
Buat yang bergelar pelajar pula, selalu rungsing bila berhadapan dengan pepriksaan atau ujian. Selepas ujian mesti terpaksa berhadapan dengan keputusan pula. Bahkan menjadi satu tekanan bila ibu bapa dan orang sekeliling memang mengharapkan kejayaan serangkai A yang tersusun cantik di atas kertas keputusan peperiksaan.
Memang tak dapat dinafikan, masyarakat kita lebih gemar menyukat A untuk menunjukkan sebuah definisi kejayaan sebenar.
Sama-sama kita fikirkan apakah sebenarnya erti sebuah kejayaan. Buat ibubapa anda perlu timbang kembali apakah kelebihan dan kemampuan seorang anak. Sama-sama kita fikirkan.

Friday, 27 November 2015

ISTIQAMAH.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 49

Alhamdulillah, masih diberi peluang bercerita dan berkongsi pengalaman menjadi hometutor. Akhir-akhir ini saya asyik terselang satu hari bila nak memuatkan entri. Agak terbatas waktu untuk bersama 'lappy' kesayangan saya. Hai, macam mana lah nak maju ni Faizah oi...
Sebenarnya berat juga ya istiqomah ni. Saya selalu bercita-cita nak selalu buat tahajjud, selalu baca al-Qur'an, selalu mengamalkan ma'thurat pagi dan petang tapi selalunya memang tak kekal. Akhirnya, jadi kelaut saja. Lepas tu ulang balik perkara yang sama, bercita-cita dan mulai buat dan akhirnya bila dah terlepas satu hari, semangat pun pudar.
Sekarang saya kena istiqomah dalam apa yang saya ingin capai pula. Kenapa saya bersama kumpulan sokongan ABDR ini. Sebab saya sedang bersama sebuah kumpulan yang hebat. Dan saya mahu hebat seperti mereka juga. Semoga saya terus istiqomah dalam usaha kecil ini. Usaha untuk terus menulis dan menulis tanpa jemu berkongsi pengalaman dan cerita supaya boleh dijadikan ikhtibar atau persediaan buat orang lain yang punyai isu yang sama.

Kadang-kadang saya terfikir, bila singgah di blog sahabat-sahabat maya ABDR, saya tengok kebanyakan sahabat menggunakan platform blog untuk menjual barang. Istilah betulnya berkongsi kelebihan barang yang diniagakan. Alhamdulillah. Kuasa blog memang tak dapat dinafikan, sungguh berpengaruh. saya terfikir, saya pula, apa yang saya nak kongsikan? Saya bukan pengeluar produk, saya bukan penjual, saya hanya boleh berkongsi cerita tentang hometuition yang saya jalankan secara sepenuh masa di bumi kelahiran saya di Kelantan.
Ya, itulah servis yang saya tawarkan. Berkongsi maklumat tentang peluang menjana pendapatan sebagai hometutor buat mereka yang tercari-cari lagi idea untuk menjana wang secara mudah dan tanpa modal. Kata mentor saya Pn.Anys Idayu itulah produk atau servis awak, awak cuma perlu ISTIQOMAH dalam penulisan. Ya, ISTIQOMAH!
Semoga saya terus kuat untuk sentiasa berkongsi idea dan pengalaman yang tak seberapa dengan sahabat-sahabat di luar sana.

**Catatan hari ini agak kesayuan sebab hujan lebat sangat dan mood kesejukan terlampau. Hehe

Wednesday, 25 November 2015

TIPS BERHADAPAN DENGAN PELAJAR

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 48

Kali ini saya ingin berkongsi tips macam mana mahu berlembut tetapi tegas dengan pelajar. Memang sukar mahu menjadi orang yang pelajar percaya dan hormat dalam masa yang sama mereka boleh menjadikan kita sebagai 'kawan'. Inilah disebut sebagai membina 'rapport'.
Saya akan ceritakan serba sedikit cara atau tips tetapi bukan dalam bentuk senarai. **Sebab nanti takboleh cerita panjang**

Kelas pertama sekali yang paling penting. Biar pelajar kenal anda sebagai cikgu yang lembut dan baik tetapi jangan sampai 'pijak kepala' maksud saya baik sangat. Mengikut pengalaman saya dan rakan-rakan hometutor yang lain, biasanya kelas pertama pelajar akan menjadi agak pasif dan mendengar kata. Sekiranya anda mendapat pelajar yang memang 'hyperaktif' jangan sesekali benarkan mereka menyentuh barang-barang anda!
Pernah terjadi, seorang rakan saya yang memang jenis sopan dan lemah lembut, pergi mengajar dan mendapat pelajar yang agak aktif. Pelajar tersebut membuka beg dan kotak pensil rakan saya.
Bagaimana mahu berhadapan situasi begini? Ambil kembali barang-barang anda dan beritahu pelajar dengan baik supaya mereka tahu apa yang sepatutnya dan tak sepatutnya mereka boleh dan takboleh buat.
katakan pada mereka : ''Amir, Amir suka tak kalau orang datang rumah Amir lepas tu masuk bilik Amir main mainan Amir tanpa kebenaran Amir?'' Dan seterusnya, jelaskanlah apa yang sepatutnya supaya dia tahu.
Kita bertegas tetapi dalam istilah yang mereka boleh faham.

Setiap kali anda tegur pelajar membuat salah, pastikan ada sesi 'slow talk' selepas itu. Supaya pelajar tersebut faham kenapa anda menegur kesilapannya. Jangan diamkan diri atau buat-buat merajuk pula ya. Konsep 'guru merajuk' sebenarnya sangat tidak boleh diguna pakai. Ia seakan menunjukkan cikgu dan pelajar seperti tiada beza. Sila bersabar. Be professional!

Pelajar yang manja. Ada sesetengah pelajar memang mempunyai isu 'sikap manja' dan sukar menerima kehadiran 'orang luar'. Dia lebih gemar mendiamkan diri atau keluar menangis di bilik air daripada bercakap dengan guru tuisyennya. Sebagai tutor, kaedah memancing minat pelajar sangat penting. Katakan pelajar anda memang jenis yang sukar bercerita tentang sekolah atau kawan-kawan di sekolah bila anda tanya. Cuba ambil kertas kosong dan lukis gambar anda dengan rakan-rakan anda atau ahli keluarga anda. Buat seakan-seakan lukisan yang comel, orang lidi versi comel mungkin? Kerana, kebanyakan pelajar (bawah 11 tahun) memang gemarkan aktiviti melukis atau mewarna ini.

Selain itu boleh juga gunakan teknik 'reward', ''kalau Aiman buat soalan ni dengan baik, cikgu bagi hadiah''
Tapi harus diingat, hadiah yang bakal anda beli tak semestinya mahal tetapi bersifat comel atau menarik sudah cukup.

Cukup dulu ya cerita ini hari. Semoga bermanfaat.

Monday, 23 November 2015

SEMALAM...

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 47

Saya turun dari rumah untuk ke kelas jam 10 pagi semalam. Kelas pelajar SPM saya. Agak lewat saya sampai, jalan agak sesak mungkin sebab hujan, ramai oerang guna kereta untuk ke destinasi. Termasuk saya. Musim tengkujuh telah tiba. Ya, pada musim inilah saya telah terlahir ke dunia ini. Kadang-kadang terfikir di minda, sudah lebih 20 tahun saya hidup, mengecapi keindahan dunia yang fana, tapi apa saya buat untuk bangsa dan agama saya?
Bila mengingatkan ini, hati selalu terasa syahdu... Cepat sungguh masa, sedangkan saya sendiri lupa sampai di usia berapakah janji saya pada Sang Pencipta.

Semalam selepas selesai kelas, saya ke rumah sahabat baik saya. Kami bercadang mahu melawat ayah seorang rakan yang sedang terlantar di hospital. Tapi terpaksa membatalkan hasrat sebab masa yang terbatas. Ya lah, masa melawat di hospital sudah berlalu. Kami pun terus ke rumah seorang sahabat lama yang baru mendapat cahaya mata. Alhamdulillah. rezeki sahabat saya, punyai anak di usia kami. Sedangkan kami berdua (saya dan sahabat baik) masih belum berkahwin. Tak mengapa, mungkin Allah bagi peluang lebih kepada kami untuk berkhidmat kepada mak dan ayah kami.

Akhir-akhir ini terasa mudahnya tersentuh hati. Bila orang bertanyakan kerja, orang bercerita tentang gaji bulan-bulan. Saya rasa sangat berjauh hati. Tapi dalam masa yang sama saya terus bertekad mahu buktikan pada mereka pandangan mereka salah. Sama sekali salah. Selagi kita tak putus asa dari berusaha selagi itulah kita akan mendapat bahagian kita. Insya'Allah.

Sekadar luahan ubat penenang jiwa yang kadang-kadang sangat rapuh.

Saturday, 21 November 2015

MENGAJAR GUNA TEKNIK NABI

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 46

Hadis Qudsi:
" Aku bertindak menurut sangkaan hambaKu kepadaKu.
Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu.
Jika mereka mengingatiKu dalam dirinya, nescaya Aku menyebutnya
dalam diriKu. Apabila mereka menyebut namaKu dalam kumpulan 
nescaya Aku menyebutnya dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka...."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut kumpulan Psikologi Hadis, terdapat 3 kaedah atau teknik cara mendidik mengikut teknik Nabi S.A.W,
1. Pilih 1 tindakan
2. Puji tindakan
3. Sebut impak atau kesannya

Ringkasnya, pilih satu kebaikan pelajar, puji tindakannya dan ceritakan kesan apakah yang akan diperoleh.
Mudah kan?
Tips ini tak semestinya digunakan untuk mendidik pelajar, ibubapa juga boleh menggunakan kaedah kembar tiga ini. 
Begitu juga sekiranya anak atau pelajar melakukan kesilapan. Guru boleh menegur tetapi mesti 'slow-talk' semula kenapa cikgu marah atau menegur kesalahan pelajar tadi dan apa kesannya sekiranya dia terus membuat 'kesalahan' tersebut.

Sebenarnya, kita sering menggunakan kaedah ini dalam menegur setiap perbuatan anak-anak, pelajar, anak saudara, adik atau sepupu sepapat yang lebih kecil berbanding kita tanda kita sedar sebenarnya inilah kaedah Nabi S.A.W.
Tahniah kalau memang sudah mengamalkannya!



Selain itu, kita sebagai tenaga pengajar mestilah sentiasa berhati-hati dengan perkataan yang kita sebutkan atau gunakan semasa bersama pelajar.

Sila elakkan penggunaan perkataan seperti,
1. TAK BOLEH
2. JANGAN
3.TAKNAK!!!

Tetapi gunakan kaedah kacap telabik. ''Cakap Terbalik''
Contohnya : Hanim, awak tak boleh buat macam ni. Salah awak kira macam ni.
Kacap Telabiknya ialah : Hanim dah pandai kira lah, tapi cikgu rasa baik Hanim guna cara macam ni sekian sekian. Sebab kalau Hanim buat macam ni, cikgu takut tersalah kira kat sini sekian-sekian.

Secara psikologinya, manusia memang tak suka dikatakan padanya perkataan JANGAN!
Selamat mencuba. Semoga bermanfaat.

Friday, 20 November 2015

KELEBIHAN MENJADI HOMETUTOR?

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 45

Di akhir-akhir tahun ini, semangat bercuti sudah mula berkobar-kobar di hati. Kadang-kadang macam terlupa pula bahawa kita ni kerja sebagai tutor, hari-hari pun cuti sebenarnya. Ya lah orang lain kerja 8 jam berumah di pejabat, kita selamba saja kerja 2 jam sambil singgah Mydin beli barang dapur. Nikmat kerja sendiri yang tak dapat diucapkan dengan kata-kata. Alhamdulillah.


Saya sebenarnya memang terlahir dalam keluarga cigu cikgi. Mula dengan nenek saya sebagai cikgu mengaji al-qur'an, ayah saya pun cikgu fardhu ain, kakak abang bapa saudara, pendek kata memang ramai sepupu sepapat dalam keluarga terdekat saya terdiri dari pada cikgu. Sebab itulah saya sedikit sebanyak terbias dengan bayangan mereka. Asal jumpa saya, mesti orang tanya mak saya ''yang ini mengajar kat mana?''
Sabar sajalah hati. Boleh jawab dalam hati : Saya mengajar sendiri-sendiri.

Terasa mahu bercerita tentang istimewanya memilih kerjaya sebagai hometutor sebenarnya.

  • Industri ini terus membangun dan pasaran akan terus berkembang dari hari ke hari. Maka permintaan pun sentiasa ada daripada ibu bapa dan pelajar.
  • Boleh membantu para pelajar mengalami peningkatan yang agak 'ketara' dalam subjek yang 'ketara' lemah.
  • Dapat membantu mewujudkan suasana mengenal al-Quran dan Fardhu Ain dalam kalangan pelajar (tua atau muda)
  • Bebas menjadi majikan dan menetapkan jadual anda sendiri.
  • Sememangnya mempunyai banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakan.
  • Bebas menikmati faedah pekerjaan yang menyeronokkan. Faedah masa bekerja sekejap cuma.
  • Menjana satu lagi pendapatan yang sangat mudah dan dengan modal yang kecil, cuma beli buku rujukan.
  • Boleh dilakukan secara sepenuh masa atau separuh masa.
  • Kurang tekanan berbanding kerja makan gaji.
  • Pendapatan bulanan yang tinggi berbanding masa yang diperuntukkan. 
Jadi kenapa tidak kita memulakan langkah sebagai cikgu tuisyen atau hometutor ini? Semoga berjaya. 

Thursday, 19 November 2015

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN vs AKHIR TAHUN

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 44

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Itu sahaja yang terucap bila mendapat pesanan whatsapp daripada pelajar saya yang mendapat 5A dalam UPSR 2015. Saya mengajar subjek Matematik dan Bahasa Melayu selama dua tahun di rumahnya. Sekarang saya mengajar si adik pula yang bakal menduduki UPSR tahun hadapan.

Alhamdulillah.

Walaupun bukanlah usaha saya sepenuhnya mengajar pelajar ini, tapi saya sangat berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanannya mendapat kejayaan ini.
Tahniah.

Pelajar saya yang Tahun 5 juga sudah mendapat keputusannya. Si ibu menghantar pesanan di whatsapp mengucapkan terima kasih. Saya mengajar pelajar ini bermula November 2014 sehingga sekarang. Alhamdulilllah, kata ibunya ada peningkatan. Sebabnya, sebelum ini memang langsung taknak belajar di rumah tapi dengan kehadiran 'cikgu' ke rumah dia lebih bersemangat.
Akhirnya keputusannya pun menunjukkan skala menaik juga. Alhamdulillah.


Setiap kali akhir tahun, inilah yang bakal kita hadapi sebagai seorang 'guru separuh masa'. Walaupun kita tidak mengajar setiap hari, tetapi kita juga adalah sebahagian daripada penyumbang terhadap kejayaan pelajar yang menyuntik semangat mereka untuk lebih berusaha dan rajin belajar. Berbanggalah dengan usaha itu. Semoga entri kali ini mampu membakar semangat kalian untuk terus mengajar.


Wednesday, 18 November 2015

CIKGU SAYANG PELAJAR CIKGU.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 43

Petang ni terasa nak kongsikan gambar pelajar-pelajar sayalah. Bagi naik sikit semangat kita yang kadang-kadang kian menjunam. Bukan apa masalah semangat menjunam ni, cuma mainan perasaan. Kadang-kadang, bila jumpa kawan lama yang sekarang tengah menjadi doktor ke cikgu terasa lah kerdilnya diri. Tapi bila kawan cerita, kerja penat nak balik cuti susah, maka bolehlah senyum lebar sedikit sebab itu kelebihan pada kita yang bekerja sendiri. Alhamdulillah a'la kulli hal...







Gambar-gambar ini saya sempat ambil semasa mereka sedang syok menulis. Saya tak syorkan anda main tekan-tekan fon semasa mengajar ya, untuk sekadar ambil gambar buat kenangan dan simpanan tu tak mengapa. Jangan pula syok selamba main whatsapp semasa sesi pembelajaran berlangsung. Cari keberkatan dalam setiap pekerjaan ya kawan-kawan.
Ini sebahagian daripada pelajar saya yang pernah saya ajar dan sebenarnya masih lagi saya ajar. Oh ya gambar pelajar sekolah menengah pula saya tak ambil gambar curi, nanti semua pakat 'selfie, wefie' pula. 
Semoga terus istiqamah dalam perjalanan dakwah singkat ini.
Semoga bermanfaat.

IBU AYAH, RESTULAH SAYA...

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Faizah Yusoff
#Entri 42

Selamat pagi semua. Rasa macam tak sangka sudah sebulan lebih saya belajar untuk konsisten menulis. Walau ada juga hari yang kadang-kadang tak mampu cerna idea, tapi saya tetap cuba. Ini yang saya mahu buat. Kenapa saya nak sia-siakan peluang yang memang sudah berada di sepan mata?
Cikgu tuisyen. Adakah satu kerjaya yang boleh dibuat kerjaya? Hari ini saya ingin tanyakan soalan ini sebgai semacam kajian kes untuk mengenal diri sendiri. 
Sebenarnya ramai yang rasa ''saya nak kerja tetap". Pilihan atau niat yang utama mesti mahukan kerja yang 'secured' seperti tak lain dan tak bukan kerja 'goverment' yang mana memang setiap bulan pasti masuk gaji. Takpayah pening-pening. Cuba tanya mak ayah kita. Agak2 berapa kerat yang bagi korang pilih kerjaya sebagai cikgu tuisyen?
Macam tak ada kan dan hampir tak ada langsung saya rasa.

Baiklah, ini tips macam mana nak teruskan kerjaya menjadi cikgu tuisyen.
Sebab apa? Sebab saya sangat pasti mesti ramai yang menyindir, memperlekeh, menjatuhkan semangat dan merundumkan niat bila ada yang kata ''saya nak jadi cikgu tuisyen kat rumah sahaja''.

Pertama tanya hati, benarkah anda nekad hati sebulat suara nak kerja macam ni?
Kalau ya maka buatlah dengan bersungguh-sungguh dan buktikan anda mampu dapat ribu riban dengan kerjaya pilihan anda.
**Walaupun kita kerja bukan untuk duit semata-mata.


Kedua kalau dah suka sangat dengan kerjaya ni tapi dihalang macam cinta terhalang.
Buatlah dulu sebagai part time. Sabtu ahad saja mungkin atau sebelah malam sahaja. Kenapa tidak?


Ketiga. Jadilah kreatif! Buat kumpulan tuisyen. Cari tenaga pengajar yang biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar universiti atau sepupu tengah cuti semester atau kawan-kawan yang baru habis belajar dan cari klien. Parents mksudnya klien dalam istilah tuisyen ya. Dan kita temukan mereka dan ambillah sedikit caj penat lelah cari klien tu, Masuk sedikit tak apa asal senang hati.



Keempat kalau mak ayah memang dah setuju dan tak menghalang, maka teruskan usaha. Buktikan pada orang sekekliling yang biasanya memandang anda cuma sebelah mata bahawa anda mampu bekerja sendiri! 



Semoga kita semua terus tabah menggerakkan kumpulan dakwah kecil ini, mendidik pelajar dari hati, membentuk akhlak mereka supaya kelak menjadi anak soleh yang berguna buat agama.
Saya sendiri terkadang tersungkur dek pandangan manusia tapi sampai satu ketika saya terfikir, memang manusia tak akan pernah puas, kita tahu diri kita, mak ayah kita tahu apa kita buat dan Allah tak larang apa yang kita buat, maka buatlah. JUST DO IT!
Semoga bermanfaat.

Monday, 16 November 2015

FORMULA MATEMATIK.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Facebook
#Entri 41

Hari ini pelajar SPM menduduki peperiksaan Matematik. Buat yang bakal menduduki SPM tahun depan (termasuk adik saya) bolehlah mulai jenguk-jenguk buku balik ya. Di bawah ini antara cara-cara memancing minat dan rasa nak belajar Matematik dengan cara yang tidak membosankan. Sebenarnya, matematik bukanlah subjek yang membosankan cuma pelajar kerap lupa formula yang menyebabkan mereka cepat putus asa. Buat yang ada akaun Facebook jom jenguk-jenguk formula di page Formula Hikmat daripada Kipas Hikmat Yang imej warna warni kat bawah sana tu pula daripada page KapurPuteh 
Nanti boleh lah tengok-tengok ya yang mana memudahkan pelajar anda faham cepat atau menarik untuk dikongsi bersama pelajar anda.













Semoga bermanfaat! =)

PENERANGAN TENTANG POSITIF & NEGATIF

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 40

Apa itu negatif positif? cikgu kat sekolah kata negatif positif ni adalah caj..ada caj positif ada caj negatif. Contohnya cuba awak tengok kat bateri remote tv ke jam ke..kan ade tulis -ve dan +ve tu. Okey, faham...cuma kurang jelas. Ni penerangan masa sekolah rendah zaman 90-an kot.

Kita pon bawak la fahaman ni sampai ke dah besar remaja. Dan masuk kelas cikgu Matematik Tingkatan 1, oke jumpa lagi...-.....+...... Okey, mind set kita is battery. Tetapi apa pasal plak tajuknya Integer? Grrrr Cikgu tipu! Ini tidak adil! Cikgu pun cakap," integer ini merupakan susunan nombor.blablabla  Tapi jangan risau, awak semua takpayah pening kepala... Hafal ja formula ni" :::

positif x positif = positif
negatif x negatif = positif
positif x negatif = negatif
negatif x positif = negatif

OK.DONE...jangan tanya saya lagi, sila buat latihan. Kelas dismiss.

Oh no!!! When I grew up, I found something more more more answerable than all that fishy answer... Sesungguhnya saya rasa bijaknya orang yang mencipta filosofi matematik ini. Dan Maha Bijaksana Tuhan yang menciptakan makhluk sebijak ini.

Andaikan - bermaksud SALAH
                + bermaksud BENAR
  
1. Mengakui BENAR terhadap sesuatu yang BENAR adalah BENAR.
2. Mengatakan SALAH terhadap sesuatu yang SALAH adalah BENAR.
3. Menganggap BENAR akan sesuatu yang SALAH semestinya SALAH.
4. Merasakan SALAH akan sesuatu yang BENAR semestinya tindakan yang SALAH.

Benarkan, mana boleh kita menagkui sesuatu yang salah sebagai benar. Dan tak mungkin kita akan menafikan sesuatu yang terang-terangan benar, bahkan kalau kita nafikan pun, mesti kita akan mengakui juga kebenarannya satu hari kelak.
Sungguh, terpana sekejap betapa tinggi nilainya sebuah ilmu. Sesungguhnya darjat mereka yang berilmu adalah tinggi di sisi Allah. Semoga perkongsian ini boleh membuka minda kita bersama. Selamat berfikir!

Sunday, 15 November 2015

SIBUK SANGAT KE CIKGU TUISYEN?

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 39


Hujan. Sekarang memang musim hujan. Cuma hujannya turun tak menentu. Kadang-kadang malam, kadang-kadang pagi sahaja. Hari Jumaat semalam saya turun dari rumah untuk ke rumah pelajar hari cerah terang. Usai sesi pembelajaran, hujan turun renyai-renyai. Berlari si pelajar saya si Mukhlis yang rajin, pergi ambilkan topi keledar yang saya letakkan di atas meja batu depan rumahnya. Katanya, nanti topi cikgu basah. Hai la pelajar, semoga awak menjadi anak soleh ya. Marah cikgu pada awak sebab cikgu sayang. Tak mahu awak jadi anak yang biadap. Saya tersenyum sendiri bila mengingatkan seorang demi seorang pelajar yang saya pernah tegur setiap kesilapan mereka sama ada secara tegas atau lembut.
*Saya kadang-kadnag agak tegas sampai ada pelajar cakap :"bila besar saya nak jadi askar sebab nak tembak cikgu pasal cikgu suka bagi kerja banyak sangat".Sangat kelakar.

Hari ini, saya ke kelas pada waktu pagi, kelas tuisyen pelajar SPM. Kelas terakhir kerana esok 16 November 2015, dia akan menjawab kertas Matematik. Saya pula yang gelisah. Sebelah petangnya saya terpaksa batalkan kelas tuisyen di rumah kerana badan memang sangat tak mampu menanggung pening kepala yang semakin menjadi-jadi. Kesian pelajar SPM saya yang seorang lagi, mahu saya adakan kelas di sebelah petang lagi sekali, tapi saya memang dah tak larat sangat. Kelas malam pun saya terpaksa batalkan dek kepala yang makin pusing. Alhamdulillah setakat ini saya mendapat klien (ibubapa) yang memahami dan mudah bertolak ansur.
*Demam mesti pakej dengan pening kepala. 

Oh ya, petang tadi saya mendapat mesej dari seorang klien (ibu kepada dua orang pelajar saya). Alhamdulillah, peperiksaan akhir tahun anaknya baru diperoleh. Ishman pelajar saya mendapat keputusan tertinggi dalam subjek Sains. Saya mengajarnya Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Dan subjek yang lain pula semuanya markah semakin meningkat. Ibunya punyalah berterima kasih. Sedikit kebah serasa demam saya. Alhamdulillah. Berkat kesungguhan pelajar juga dan usaha guru-guru di sekolah jua. Saya cuma menyumbang masa dua jam seminggu untuk menemani Ishman belajar. Alhamdulillah. Si adik pula masih tiada peningkatan dari segi pelajaran tetapi semakin baik dalam pertuturan dan tingkah laku. Kata ibunya, terima kasih sebab sabar melayan anak-anaknya. Ya, sama-sama. Kita sama-sama doakan mereka menjadi anak syurga ya.

Sebenarnya, bidang tuisyen ini seakan nampak biasa dan remeh tapi tanpa usaha dan doa pasti tiada makna. Kita seakan kumpulan sokongan yang membantu guru-guru di sekolah untuk lebih memahamkan para pelajar. Dan harus diingat, kita perlu sentiasa 'uptodate' dan tahu akan setiap kaedah yang cikgu sekolah guna barulah kita boleh mengaplikasi dalam sesi pembelajaran.
Bagaimana tu?
Maksud saya, dalam tiga orang pelajar kita contohnya, ada tiga kaedah yang cikgu mereka ajar di sekolah.Dan kita harus mengikut apa kaedah yang cikgu mereka ajar tetapi dengan menyokong dan membantu pelajar supaya lebih cepat dan mahir dengan menggunakan kaedah tersebut. Skop saya adalah berkisarkan subjek matematik. Ada guru mahukan pelajar membuat operasi bahagi secara satu persatu dengan membuat sifir di tepi sebagai jalan kira, ada pula guru yang mengajar pelajar menghafal sifir sampai mahir kemudian boleh membuat bahagi dengan mudah. Kita sebagai guru tuisyen mereka, hanya mengikut dan mengasah minda pelajar supaya menggunakan kaedah yang diajar di sekolah tetapi dengan versi yang lebih pantas dan tepat. Itulah tugas kita!
Proud to be yourself.
I am a tutor.
I am proud of myself.
 






Saturday, 14 November 2015

IDEA PENGURUSAN HOMETUITION

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 38

Bagaimana mahu bantu orang lain dengan tuisyen? Sebelum ini saya juga seperti orang lain, fikir apa yang ada di depan mata saja. Pendek kata, saya nampak rezeki tu ialah dapat duit semata. Cetek sungguh rasanya minda bila ingat balik. Padahal nikmat kesihatan nikmat makan minum jua adalah termasuk dalam rezeki.

Kalau ada entri sebelum ini saya bercerita tentang pusat tuisyen, entri kali ini pula saya ingin berkongsi tentang bermula sebagai sebuah syarikat  'hometuition' pula.

Baiklah sebenarnya berdaftar sebagai sebuah pusat tuisyen lebih rumit berbanding menjalankan khidmat hometuition. Tetapi kedua-duanya tetap memerlukan komitmen yang berterusan ya.

Saya pernah terfikir sampai bila saya akan terus mengajar begini? 10 tahun lagi kah atau hanya 5 tahun lagi? Maka perancangan seterusnya ialah dengan mengupah tutor baru dengan melatih mereka bagaimana berdepan dengan pelajar disamping membantu orang lain bekerja secara separuh masa bagi menjana pendapatan pasif.

Pertama sekali, bentukkan diri sendiri sebagai seorang pengurus yang sebenarnya layak. Bagaimana?
1. Mudah mesra dengan orang yang baru dikenali.
2. Mudah bergerak ( mempunyai kenderaan).
3. Mempunyai akses internet sebagai jaringan promosi.
4. Tegas tetapi sopan dan meyakinkan.
5. Fleksibel dan memang serius dalam bidang ini.
6. Seeloknya boleh mengajar sekali bukan bertindak sebagai pengurus semata- mata.

Paling penting, kita harus sedar tentang konsep `part-time' . Orang bekerja separuh masa untuk menambah wang poket mereka. Maka kalau mahu legasi tuisyen anda berterusan,  sudut kewangan adalah paling utama. Sebagai pihak pengurusan, uruskan aliran tunai anda sebaiknya. Seeloknya minta bayaran sebelum sesi bermula supaya tutor tahu komitmen yang harus mereka beri.

Selain itu, sekiranya anda mampu mengajar dengan hebat, lahirkan juga tutor hebat. Pendek kata, kalau mahu kaya, perlulah kayakan orang lain. Seorang sahabat pernah berkata kepada saya, tak mengapa sekarang kita dipandang sebelah mata, asalkan kita tahu hala tuju kita.

Jangan abaikan setiap klien yang anda peroleh kerana ia adalah salah satu promosi berterusan. Kalau anda pernah terlintas untuk menjadi pengurus hometuition, promosi perlu dilakukan setiap hari. Pastikan ada perkongsian dari anda setiap hari. Semoga kita semua mampu menjadi orang hebat. Semoga entri kali ini mampu membuka idea baru kepada sahabat yang sedang mencari idea berkenaan hometuition. Semoga bermanfaat.

Friday, 13 November 2015

MANISNYA SEBUAH DUGAAN DARI TUHAN

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 37 


Pagi tadi saya bangun macam biasa, melalui rutin yang sama. Usai bersarapan saya bersiap-siap untuk keluar. Hari ini saya ada tiga sesi pengajaran, kelas pertama bersama dua beradik tahun 3 dan 5 bermula pukul 9.00 pagi sampai pukul 11.00 pagi.
Dari rumah pelajar ini, saya akan ke rumah pelajar SPM, saya mengajar subjek matematik dan sains bagi kelas SPM.
Nak dijadikan cerita, saya yang memang pagi turun rumah naik motor, kadang-kadang bawak kereta, tapi pagi tadi keretanya dah lesap, saya pun naiklah motor kesayangan tu. Tengah nak pecut ke rumah pelajar kedua, masa tu dah pukul 11.15 pagi lebih kurang... Tiba-tiba, debammmm!!!! Dah sudah! Saya langgar kereta orang! Haiiiiii! Semua orang pandang dek bunyi kuat saya tampar pintu kereta berkenaan.
what should i do???? ohmyyy!!!

 Saya mula-mula nak buat-buat tak tahu tapi macam tak patut la pulak kan, saya pun berhentikan motor kat tepi jalan, tuan punye keta pun dah mula honkan kereta ingat saya nak lari mungkin. Blablablabla.... Saya mintak maaf lah, dah memang saya yang langgar. Nak kata apa. Walaupun kereta depan keta tu yang brek mengejut masa lampu isyarat tengah hijau. Hmmm 
Nasiblah kakak dan abang tu taklah marah-marah, kalau tak, susah juga saya nak setelkan. 2 lawan 1.
Akak tu mintak rm100, haisy..Saya duk congak-congak dalam kepala, macam tau-tau je duit paymen tuisyen aku baru dapat. Arghhh....
At last, saya buat muka kesian, saya kata, motor saya pun kena ni, maaf lah, saya terkejut la lampu ijau tiba2 awak break. Saya ada motor ni je, saya bagi rm50 ya? Huh. Calar sket la keta dia. Motor saya pun kena juga sedikit.
Dan! alhamdulillah, dia setuju.
Selesai.

Mungkin kita tak sedar, kita selalu juga berada dalam situasi macam ni, kita terfikir, macam tau-tau je aku tengah ade duit, time ni lah keta nak rosak lah, nak demam lah, tapi sedarkah kita sebenarnya sedang mengeluh. Ya Allah, ampunkan kami yang alfa sekejap.


Mungkin RM50 yang terbang masuk poket orang tu akan diganti dengan kemanisan yang lain. Tanpa kita sedar itulah sebenarnya yang terjadi.

Sedikit perkongsian tentang kisah seorang sahabat saya yang saya kadang-kadang naik hairan, dari mana datangnya duit beliau.
Kisahnya, sahabat saya ni gemar sangat berkongsi wang ke makanan ke apa-apa yang dia ada. Sikapnya yang gemar melebih-lebihkan kawan kadang-kadang buat kami serba salah. Yelah kami pun pinjam duit guna duit mak ayah macam dia jugak *masa ni tengah belajar*
Sampaikan ada yang mengambil kesempatan dek kebaikan yang dia tunjukkan.
Dan, duitnya sentiasa mencukupi. Sedangkan kalau dikira tambah tolak darab bahagi kami yang punya berjimat cermat ni jugak yang selalu tak cukup. Hujung semester mesti mintak dari squad wang tambahan.huh.
Ajaib kan? Tapi itulah namanya keberkatan. Berkat yang tak pernah kita nampak.
Mungkin sikapnya yang ikhlas membantu yang menarik magnet berkat untuk bersama dalam rezekinya.
Apa kaitan dengan cerita saya kena tercium kereta orang tu ya? Emmm saya nak cerita yang setiap yang kita nampak membebankan tu memang akan jadi terbeban kalau kita set dalam diri kita "ni yg buat aku stressss!"

Cubalah tengok dari sudut positif.
Kenapa saya terlanggar? sebab saya tak berhati-hati, nanti saya perlu lebih berhati-hati.
Kenapa saya terlanggar? sebagai pembakar dosa saya yang menggunung.
Kenapa saya yang kena? bukan orang lain? sebab Allah nak ingatkan saya.
Kenapa nak ingtkan saya? saya solat je macam orang lain? Sebab mungkin masa tu saya tak sedar saya lupakan Allah sedetik. Jadi dia bagi la 'chance' awak ingat kat Dia semula.
Alah, sekejap je pun saya lupa...
Awak mengaku Dia kekasih awak kan, Dia tak suka la awak lupakan Dia!
Kesimpulannya, alhamdulillah...

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.





MASA.

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 36



Sebab utama saya terlibat dengan hometuition ialah masa. Komitmen masa yang sebentar cuma untuk satu sesi pembelajaran. Tapi perkara yang masih dalam penambahbaikan dalam diri saya ialah ketepatan masa. Saya sering ke kelas lewat 5-10 minit. Saya pun tak tahu kenapa saya mesti akan 'drag' sedikit masa untuk sampai ke rumah pelajar walaupun memang laju je saya bersiap-siap. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjadi lebih baik. Insya'Allah.

Sesiapa yang mengajar hometuition pasti akan meletakkan 'kelebihan' masa yang singkat berbanding bayaran yang diperoleh sebagai satu perkara utama yanag akan diambil kira.
Siapa tak suka kerja 2 jam dah boleh dapat pendapatan bersih bermula RM 35 ke atas. Orang lain kerja 
RM3 500 kalau dibahagi dengan 30 hari sebulan dapatlah sehari RM 117 lebih kurang, kerja sehari 8 jam. Kadang-kadang lebih juga 8 jam. Dalam RM 15 sahaja sejam. 
**Betulkan saya kalau saya salah kira.


Masa memang sangat berharga terutamanya hari ini. Masa nak bersama keluarga, masa nak bercuti, masa nak jenguk mak ayah di kampung. Semuanya sangat terhad. Bila kerja di ofis, best sebab gaji tiap bulan masuk. Alhamdulillah. Tapi masa pula terhad. Bila anak demam, kena mintak cuti, kalau bos baik, senanglah kerja, kalau dapat bos 'terbaik' memang nahaslah kena maki dulu sebelum dapat kelulusan. Nama pun berkerja di bawah seliaan orang. Sebab itu saya suka berkerja sendiri. Syukur alhamdulillah rezeki kelas tak pernah putus. Dan saya boleh susun jadual saya sebaiknya. Saya boleh uruskan masa saya sekiranya ada sebarang kecemasan atau apa sahaja yang lebih penting. 
Kata ayah saya, pentingkan yang penting. 
Terima kasih ayah kerana selalu menyokong saya. Terima kasih mak sebab selalu tahan dengan pandangan orang kampung terhadap saya yang 'tidak berkerjaya' ini.

Sekarang, pilihan terletak pada kita. Mahukan nikmat kebebasan masa atau mahu sentiasa mengejar masa. Masa bujang memanglah tiada masalah berumah di pejabat, bila sudah berkeluarga, anak membesar dengan orang lain. Bermula kerjaya saya sebagai hometutor, saya semakin mahu berada di rumah. Sungguh takut melihat akhlak anak muda sekarang. Ya sekarang saya pun masih 'anak muda' tapi, di sini maksud saya akhlak para pelajar. Tak heran kalau mereka boleh tanya '' Cikgu ada motor je?''. Jangan terkejut kalau mereka kata '' Cikgu nak berapa, daddy saya boleh bayar lah, tak payah la buat kelas hari ni''. 
Semoga dakwah kecil saya bersama sahabat-sahabat tutor sekalian kan dipermudahkan. 
Selamat mengajar buat mereka yang baru tahu apa itu hometutor!
Semoga bermanfaat.